Haramkan Sahaja Perlawanan Bola Sepak Ashobiyyah
Mereka yang ditahan adalah seorang guru, penuntut institusi pengajian tinggi serta seorang pelajar ketika sedang bertindak aggresif termasuk membaling mercun dan batu-bata di luar stadium. Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya telah melihat semula video yang dirakamkan ketika kejadian dan telah mengenal pasti individu yang terbabit.
“Mereka kini sedang diburu bagi membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 malam itu iaitu selepas perlawanan Piala FA antara Kelantan dan Negeri Sembilan itu, tiga cedera termasuk dua anggota polis berpangkat Lans Koperal dan Konstabel akibat dibaling dengan batu-bata.
Sumber : Utusan Malaysia, 09/04/09
Ulasan:
Sukan pada suatu masa dahulu dianggap sebagai alat untuk mendamaikan dunia, sebagaimana dinyatakan, ‘Sukan Olimpik ini diadakan di Olympia dan bertujuan untuk menghormati Tuhan Zeus. Hadiah yang diberikan berbentuk sekalung daun zaiton dari tempat keramat di Olympia. Cuma peserta lelaki sahaja yang dapat melibatkan diri. Negara-negara yang terbabit dalam sukan ini merupakan negara-negara kota Yunani. Manakala acara yang diadakan meliputi gusti, melempar cakera dan merejam lembing. Sukan ini bertujuan untuk mengawal peperangan atau mengekalkan keamanan kerana apabila sukan ini berlangsung semua peperangan dihentikan’. [Wikipedia.org].
Hari ini, bolasepak merupakan sukan yang paling diminati ramai di serata dunia namun ia kerap dicemari dengan rusuhan oleh para penontonnya. Bahkan ada kerusuhan yang menyebabkan kematian, sehingga ada yang mencecah ratusan penonton gara-gara aksi samseng bolasepak. Hari ini, gejala kerusuhan dan aksi samseng dalam perlawanan bolasepak dikenali sebagai Football Hooliganism [Klik di sini].
Sukan hakikatnya merupakan aktiviti kesihatan yang digalakkan oleh Islam. Namun apa yang kita lihat hari ini adalah satu bentuk aktiviti sukan yang dirancang rapi dan bersistem (lahwun munazzhamun). Dalam bolasepak khususnya, bentuk aktiviti seperti ini boleh dijadikan alat untuk memicu semangat ashobiyyah dan wathoniyyah. Realiti yang kita lihat, terbaru, apa yang berlaku di Kelantan, para penyokong dilihat sebagai orang-orang yang sanggup ‘berkorban’ untuk negeri masing-masing. Mereka sanggup merusuh dan melakukan pelbagai tindakan ganas yang merosakkan. Hakikat ini amat bertentangan dengan Islam yang mengharamkan apa-apa jua usaha untuk membangkitkan semangat ashobiyyah dan wathoniah (semangat kenegerian).
Rasulullah Shallalahu Alaihi Wassalam pernah bersabda;
“Bukanlah dari kalangan kami orang yang menyeru kepada Ashobiyyah, dan bukannya dari kami orang yang berperang atas dasar Ashobiyyah dan bukanlah dari kalangan kami orang yang mati kerana Ashbobiyyah” [Riwayat Abu Daud XIII/25].
Apakah untungnya sukan yang memicu semangat kenegerian seperti ini? Sebagaimana berlaku di Barat, sukan yang mereka katakan sebagai alat untuk mendamaikan dunia, telah memicu api permusuhan, Belum sempat kita berfikir untuk menyatukan umat Islam yang dipecahbelahkan oleh Barat, kita anjurkan pula aktiviti sukan yang mengujakan lagi semangat ashobiyyah dan wathoniyyah.
Untuk penduduk dan pemimpin Kelantan, kami serukan, “ Pade dah dok balloh sama Isle tu, maghi kita pakat buat kejo ado pedah, tegok Khilafah” (Cukuplah perbalahan sesama Islam itu, mari kita sama-sama buat kerja yang mendatangkan faedah, tegakkan Khilafah).