‘Harga’ Ibu Para Ulama

Oleh : Zaidah Mohamad 

Ibu merupakan individu penting dalam membina sebuah peradaban . Lahirnya ramai ulama dan mujahidin pada masa dahulu adalah hasil daripada air tangan dan didikan seorang insan yang bergelar ibu. Untuk mengetahui ‘harganya’, mari kita bertanya  ibunya Imam Syafi’ie; ayah Imam asy- Syafi’ie meninggal dunia ketika beliau masih kanak-kanak . Ibunyalah yang membesarkan, mendidik, dan mengasuhnya sehingga Muhammad bin Idris asy-Syafi’ie menjadi seorang imam besar. Ibunya telah membawa Muhammad kecil berhijrah dari Gaza menuju ke Mekah. 

Di Mekah, beliau mempelajari al-Quran dan menghafaznya ketika berusia 7 tahun. Kemudian, ibunya menghantarnya ke sebuah perkampungan untuk mempelajari Bahasa Arab sehingga fasih. Tidak berhenti setakat itu, ibunya memastikan beliau mahir menunggang kuda dan memanah sehingga beliau menjadi pemanah ulung dengan rekod  panahannya tidak tersasar. 

Dengan taufik daripada Allah SWT, berkat kecerdasan dan pemahamannya yang mendalam, ketika berusia 15 tahun, Imam asy-Syafi’ie sudah diizinkan oleh Imam Malik untuk berfatwa. Ummu Habibah ibunya , juga merupakan seorang muslimah yang cerdas dan mahir  ilmu agama. Imam asy-Syafi’ie bercerita ketika beliau masih kanak-anak, “Aku adalah seorang anak yatim. Ibukulah yang mengasuhku. Namun dia tidak mempunyai wang untuk pendidikanku. Aku menghafaz al-Quran ketika berusia 7 tahun. Dan menghafaz (kitab) al-Muwaththa ketika berusia 10 tahun. Setelah menyempurnakan hafazan al-Quranku, aku masuk ke masjid, duduk dalam majlis para ulama. Ku hafazkan hadis atau suatu permasalahan. Keadaan kami dalam masyarakat berbeza. Aku tidak memiliki wang untuk membeli kertas.Aku pun menjadikan tulang sebagai tempat menulis”. Walaupun hidup dalam serba kekurangan, ibu Imam asy-Syafi’ie tetap memberi tumpuan khusus terhadap pendidikan anaknya. 

Mari bertanya pula kepada ibu Imam Bukhari; Imam al-Bukhari membesar sebagai seorang anak yatim. Ibunyalah yang mengasuhnya. Ibunya mendidiknya dengan pendidikan yang terbaik, menguruskan keperluannya, mendoakannya, dan memberinya motivasi untuk belajar dan berbuat baik. Semasa beliau berusia 16 tahun, ibunya mengajak Imam al-Bukhari safar ke Mekah lalu, meninggalkan puteranya di negeri haram tersebut. Tujuannya agar si anak dapat menimba ilmu dari para ulama Mekah. Daripada hasil bimbingan dan perhatian ibunya, jadilah Imam al-Bukhari seperti yang kita kenal saat ini. Seorang ulama yang gurunya pernah mengatakan, “Tidak ada orang yang lebih hebat darinya (dalam ilmu hadis)”. 

Peradaban Islam, Peradaban Ulama 

Itulah harga mahal yang harus dibayar oleh para ibu ulama besar. Memang apabila kita membaca biografi para ulama, rata-rata yang tertulis adalah jasa para ayah. Mengapa?  Hal ini kerana disebalik seorang lelaki hebat, ada seorang isteri hebat. 

Inilah peranan terbesar seorang ibu meskipun tidak tertulis dalam tinta sejarah. Azam yang kuat daripada para bonda tersebut nyatanya lahir daripada suasana keimanan yang kental.  Ibu-ibu ini membina suasana keimanan dalam keluarga sejak anak-anak mereka lahir seterusnya memberikan didikan Islam yang teguh sejak kecil. Pengaruh penerapan Islam Kafah saat itu juga cukup memberi celupan warna yang berbeza kepada generasi terdahulu. 

Asas keilmuan merupakan suatu hal yang menonjol dalam peradaban Islam saat itu. Suasana yang kondusif seperti banyak perpustakaan awam, misalnya perpustakaan Baghdad, Cordoba Sevilla. Majlis-majlis ilmu juga subur seperti cendawan tumbuh. Mereka sentiasa termotivasi untuk belajar. Pada masa yang sama, kaum muslimin saling berlumba dalam berinfaq untuk kelangsungan ilmu sebagai sedekah dan cara untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. 

Berapakah ‘harga’ ibu hari ini untuk melahirkan para ulama? 

Dalam era modenisasi tanpa sempadan kini, jelas sekali  ‘harga’ untuk para ibu  melahirkan para  ulama juga semakin tinggi. Manakan tidak, nilai-nilai sekularisme telah mengakar dalam fikiran para ibu hari ini. Jangankan  bermimpi untuk melihat anaknya menjadi ulama, untuk makan sehari-hari pun masih tidak mencukupi.  Para ibu yang terjebak dalam lingkaran kemiskinan, mereka ‘terpaksa’ menjadi tulang belakang keluarga, satu kerjaya yang sepatutnya menjadi tanggungjawab para lelaki. Faktanya, sebahagian para ibu era globalisasi kini  mengerahkan hidupnya untuk bekerja. Para ibu ini keluar  bekerja dari awal pagi dan pulang ketika matahari sudah terbenam.  Jadi, usaha untuk membentuk  keluarga muslim yang positif menjadi lebih sukar apabila para ibu sebagai tunggak utama pendidikan anak-anak tidak berada pada posisinya sebagai ummu wa rabbatul bait. 

Bagaimana pula dengan si ibu yang leka dengan alat perantinya? Malahan alat peranti seolah-olah telah menggantikan posisi anak-anak yang sepatutnya berada dalam dakapan ibu.Tidak peduli pada jeritan si anak yang kelaparan, ibu zaman gajet ini terus leka update status, atau sibuk memuat naik video di youtube. Lebih menyayat hati, akibat tekanan berada dalam kepompong  kapitalis, ada para ibu yang diserang virus kemurungan serius sehingga sanggup mendera dan mengorbankan nyawa anak tersayang. Adakah wajar untuk kita berharap kepada para ibu ini untuk mendidik anak-anak untuk menjadi ulama besar? Maka harapan itu sekadar angan-angan. 

Maka, para ibu persiapkan dirimu, kuatkan visi dan misimu, bahkan sebelum berkahwin, iaitu ketika memilih pasangan, seperti pasangan Najmuddin – ibu bapa Salahuddin al Ayyubi – ketika hendak berkahwin. Hiasi dirimu dengan sahsiah Islam yang unik, iaitu hanya menjadikan Islam sebagai landasan berfikir dan bertindak. Para ulama masa depan kelak tidak hanya berhak mendapatkan ibu yang cerdas, namun mampu menundukkan hawa nafsunya terhadap apa-apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW.  

Berdoalah untuk ulama kecilmu saat ini. Sematkan untaian doa sepanjang masa hingga apabila sesuatu berlaku di luar harapanmu, luruskan dan tetap mendoakan anak-anakmu kerana doa seorang ibu itu sangat dekat dengan sang Pencipta. Jadilah  ibu para ulama masa depan yang tidak hanya belajar untuk diri sendiri tetapi turut terjun dalam medan dakwah. Hal ini kerana anak-anak memerlukan persekitaran yang membantu mereka tumbuh menjadi muslim yang berwibawa. 

Menyiapkan para ulama masa depan bermaksud menyiapkan para ibu pada hari ini. Daripada garapan tangan seorang ibulah akan lahir para ulama besar yang akan menjadi perisai paling hadapan untuk terus menjaga umat ini seterusnya menyiapkan lingkungan yang kondusif, iaitu peradaban Islam itu sendiri. Wallahu a’lam.