Hari Wanita & LGBT

Telah tular beberapa gambar di media sosial mengenai kehadiran beberapa penyokong fahaman LGBT dalam sebuah perhimpunan hari wanita di ibu kota baru-baru ini. Ini sebenarnya bukanlah kali pertama kumpulan LGBT menyertai perhimpunan di Malaysia, namun kali ini kelihatan seolah-olah golongan tersebut ingin menguji sejauh mana toleransi dalam kerajaan baru terhadap mereka.

Hari wanita disambut untuk kononnya memberikan hak yang sama rata untuk wanita kerana suatu ketika dahulu wanita hanya dianggap sebagai manusia kelas kedua yang tiada hak seperti lelaki. Walaupun realiti hari ini tidak lagi seperti dahulu, namun itulah naratif yang masih cuba dibawa oleh mereka. Beginilah realiti hidup kita dalam sistem yang tidak pernah jelas mengenai peranan wanita dan lelaki. Malah lebih melucukan, mereka bukan sahaja tidak jelas apa peranan lelaki atau perempuan, bahkan mereka masih tidak dapat menentukan dengan jelas apa definisi wanita. Jika definisi wanita pun mereka masih tidak mampu memberikan jawapan yang konkrit, apatah lagi hak wanita!!

Islam sebagai sebuah cara hidup yang hebat telah lebih lama berada jauh kehadapan dalam menetapkan hak manusia dalam sebuah kehidupan yang bertamadun. Islam memberikan hak pada manusia hatta ketika manusia masih berada dalam kandungan rahim ibunya, ketika tamadun Barat tanpa segan silu mengabaikan hak kandungan untuk hidup dengan membenarkan pengguguran!! Islam telah lama memberikan hak kepada setiap manusia sama ada lelaki atau wanita, ketika tamadun Barat masih sibuk mencari apakah definisi untuk wanita!! Islam telah lama menjelaskan peranan dan hak lelaki dan wanita, sedangkan tamadun Barat pula semakin kabur mengenai konsep perkahwinan!! Golongan LGBT pula ingin bergerak dengan naratif yang tersendiri. Mereka menjaja cerita bahawa mereka didiskriminasi atau kadang-kala dibuli atau dihina dan sebagainya. Hakikatnya LGBT bukanlah hak, tetapi jenayah di sisi Islam.

Keinginan nafsu bukan tolok ukur untuk menentukan sesuatu itu betul atau salah. Benar atau salah sesuatu perbuatan jenayah tidak boleh tidak boleh ditentukan hanya dengan kecenderungan nafsu seseorang. Seseorang itu dikatakan melakukan jenayah apabila ia memanifestasikan kecenderungan tersebut. Ada dari golongan LGBT yang berhujah bahawa meskipun secara fizikal mereka dilahirkan sebagai lelaki (atau perempuan), mereka sebenarnya cenderung secara semula jadi merupakan dari jantina berlawanan. Ini adalah hujah yang dangkal kerana, realitinya mereka bukan lahir semula jadi begitu (kecuali golongan khunsa). Malah ramai yang mengambil hormon secara berkala atau membuat pembedahan untuk mengekalkan sifat “semula jadi” tersebut. Sungguh ironi, mereka sendiri tidak dapat menerima jantina asal mereka, tetapi mereka menuduh masyarakat yang harus dipersalahkan kerana tidak dapat menerima jantina ‘baru’ mereka. Mereka mendakwa mereka tidak mampu berubah, namun mereka berusaha begitu bersungguh-sungguh untuk mengubah masyarakat agar menerima mereka. Apa yang mereka mahukan sebenarnya?

Ada yang berhujah, kita perlu beri kebebasan supaya mereka mampu menilai sendiri dan memilih apa yang baik dan buruk, bukannya menghukum atau memburukkan mereka. Ini adalah hujah yang cukup dangkal. Golongan LGBT dan aktiviti mereka akan merosakkan masyarakat dan wajib dibenteras – bukan dibiarkan mengharapkan agar ‘mereka sedar sendiri’. Jika ada pelaburan scam pun kita mahu pihak berkuasa membanterasnya, inikan pula idea yang merosakkan nilai masyarakat yang jauh lebih buruk kesannya, sudah tentu ia lebih utama untuk dibanteras.

Kesimpulannya, segala masalah ‘hak asasi’ yang diwujudkan hari ini adalah kerana kita tidak mengambil jawapan dari sumber yang sepatutnya, iaitu kitab yang telah diturunkan oleh Pencipta manusia itu sendiri, iaitu Al-Quran. Islam tidak memerlukan sambutan Hari Wanita Sedunia, malah Islam juga tidak perlu mengiktiraf golongan LGBT. Islam telah lama menjawab semua persoalan mengenai hak dan tanggungjawab setiap jantina. Semoga Allah terus memelihara kita.