Hiburan Untuk Hidup?

KUALA LUMPUR 31 Mei – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili masyarakat Islam di negara ini diminta supaya bersikap lebih kreatif untuk menyediakan pelbagai hiburan yang halal dari segi agama. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom (gambar) berkata, langkah itu penting bagi memastikan umat Islam mempunyai alternatif untuk menghiburkan diri mereka.

”Umat Islam khususnya generasi muda kini banyak terpengaruh dengan konsert hiburan yang melalaikan kerana mereka tidak mempunyai alternatif lain untuk berhibur,” katanya.

Di kala umat Islam di Palestin bergelut dengan rejim kafir (Zionis) yang saban hari menumpahkan darah suci dan air mata dan di kala kaum Muslimin di Iraq, Selatan Thai, Pakistan, Afghanistan  dan Mindanao bergelut dengan kemelut yang cukup memedihkan, masih adakah ruang untuk kita berhibur dari melaksanakan kewajipan kita membela saudara-saudara kita ini? Inilah persoalan utama kita. Apakah jenis Islam yang kita anut selama ini? Tidakkah ia melambangkan sikap ‘selfish’ (pentingkan diri sendiri) dan hidup dalam perpecahan, tidak peduli antara satu dengan yang lain? Ya, inilah sikap para pemimpin mahupun ulama lalai dan jahat yang meracun pemikiran umat Islam dengan ikatan kuffar –nasionalisme (assobiyyah) dan patriotisme (wathaniyyah). Semua ini dilakukan adalah demi kehendak kuffar Barat yang menjadi ‘tuan’ mereka secara langsung mahupun tidak langsung.

Apakah hiburan itu benar-benar merupakan elemen penting dalam kehidupan kita? Kita renungi kehidupan mulia para sahabat dan Rasulullah SAW secara nalar, apakah mereka memasukkan hiburan sebagai salah satu elemen penting agar mereka menjauhi kemaksiatan? Sebenarnya, persoalan utama yang harus diperhatikan adalah mengapa kemaksiatan itu sendiri tidak dicegah dengan Islam? Ini membuktikan bahawa dalam pemikiran para pemimpin dan ulama jahat ini wujud dualisme aliran, kemaarufan dan kemaksiatan, kedua-duanya perlu dikekalkan! Kemaarufan perlu dilaksanakan dan dalam masa yang sama, kemaksiatan juga dibiarkan merebak selari dengan usaha maaruf. Hasilnya, mereka cuba menegakkan kemaarufan di atas premis kemungkaran. Apakah akan ‘maaruf’ hiburan yang dibina di atas asas kemaksiatan sistem negara ini?

Kekeliruan dan tersasarnya pemikiran para pemimpin dan ulama ini adalah kerana sikap umat Islam yang tidak peduli syariat dan menyerahkan (urusan)nya kepada pihak pentadbir dan pemikir (yang mengenepikan Islam). Umat hanya peduli urusan makan-pakai dan hiburan sahaja, sedangkan urusan yang terpenting mereka abaikan. Mereka tidak lagi menyedari bahawa hakikat penciptaan mereka oleh Allah SWT adalah semata-mata untuk beribadah kepada-Nya, bukan yang lain. Biarpun sebenarnya Islam tidak menghalang bentuk-bentuk hiburan yang dibenarkan, namun dalam soal penyelesaian masalah umat, hiburan bukanlah  keutamaannya tetapi yang perlu diberi perhatian adalah penerapan hukum Allah sepenuhnya. Realitinya, kerosakan dan kenistapaan hidup yang merundung umat Islam hari ini bukanlah kerana kurang berhibur tetapi kerana tidak diterapkan di tengah-tengah mereka kehidupan Islam berlandaskan syariat Allah secara total.