Hijrah: Tokoh Islam masih jauh hanyut

KUALA LUMPUR 28 Dis. – Umat Islam diminta mengambil kesempatan bermuhasabah diri dengan menjadikan akhlak Nabi Muhammad SAW sebagai contoh sempena sambutan Maal Hijrah esok.

Beberapa tokoh tempatan berkata, kisah pengorbanan dan sejarah penghijrahan baginda dari Mekah ke Madinah untuk menyebarkan syiar Islam itu wajar dibanggakan dan dijadikan contoh oleh semua penganut agama suci itu.

Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Ma’amor Osman berkata, tarikh 1 Muharam adalah sangat signifikan dengan permulaan penyebaran agama tersebut di dunia.

”Justeru, sambutan Maal Hijrah harus dibangga dan didahulukan oleh umat Islam berbanding perayaan lain di negara ini. Inilah masanya kita perlu beriltizam untuk memperbaiki diri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sambutan tahun baru kalendar Islam yang jatuh esok.

Exco Persatuan Ulama Malaysia, Ishak Sulaiman pula memberitahu, sambutan Maal Hijrah di negara ini kurang mendapat perhatian orang ramai kerana penganjuran yang kurang kreatif.

”Saya lihat banyak sangat program stereotaip seperti ceramah di masjid-masjid sempena perayaan itu dan ini perlu segera ditukar,” jelasnya.

Menurutnya, pihak-pihak berwajib perlu lebih kreatif dalam menganjurkan sambutan itu seperti mengadakan pertandingan tertentu bagi menggalakkan penyertaan orang ramai.

Dalam pada itu, pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul di Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid memberitahu, fenomena sambutan Maal Hijrah yang hambar di negara ini adalah sesuatu yang menyedihkan.

Katanya, keadaan tersebut menunjukkan seolah-olah pengaruh Islam di negara ini terlalu rendah, walaupun majoriti rakyatnya menganut agama berkenaan.

”Jadi saya menyeru umat Islam dari semua peringkat supaya memperkasakan pengetahuan sejarah Islam mereka dan membudayakan setiap perayaan dalam kalendar Islam,” jelasnya.

Penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin pula mengajak kesemua peminat mengambil berkat sambutan tahun baru Islam itu dengan melakukan amalan seperti doa awal dan akhir tahun serta amalan sunat lain.

“Sambutan Maal Hijrah ini lebih bermakna dan istimewa daripada sambutan tahun baru Masihi jadi golongan artis kena sama-sama menyambut dan meraikannya supaya menjadi ikutan peminat,” katanya.

Sementara itu, Angkasawan kedua negara, Mejar Dr. Faiz Khaleed berkata, “tahun baru Hijrah ini menuntut rakyat terus melihat dengan pandangan yang lebih besar bagi membawa negara ke mercu kejayaan.”

Sumber: Utusan Malaysia 29/12/08

Ulasan:

Inilah sebahagian pandangan masa kini terhadap ketibaan awal Muharram. Masing-masing cuba memperkatakannya mengikut perspektif masing-masing. Sering kali ‘bentuk sambutan’ dipersoalkan dan dicadangkan agar sambutannya dibuat dengan lebih meriah dan kreatif.

Inilah pandangan dan kesibukan beberapa tokoh di Malaysia dalam usaha mereka membincangkan dan ‘memeriahkan’ lagi sambutan awal Muharram, tatkala umat Islam di Palestin pada masa ini sedang ‘dimeriahkan’ dengan bedilan peluru dan bom Israel. Umat Islam di Malaysia masih sibuk membincangkan soal ‘perubahan diri’ dan soal memperkenalkan Malaysia di mata dunia, tatkala saudara mereka di Gaza merintih dan meraung memerlukan pertolongan.

Sesungguhnya 1 Muharram yang sering dikaitkan dengan hijrah bukanlah simbolik kepada perubahan diri, bahkan peristiwa hijrah itu sendiri perlu difahami agar ia dapat membentuk kesedaran politik kepada titik perubahan keseluruhan hidup kaum Muslimin, sama ada pada generasi tersebut mahupun generasi selepasnya. Hijrahnya Rasulullah dan para sahabat tatkala itu bukanlah hijrah ‘perubahan diri’, tetapi berhijrah dari kufur di mana umat Islam ditindas dan diperangi dengan begitu hebat oleh golongan kuffar, menuju ke Madinah bagi mewujudkan sebuah Negara Islam yang akan menyelamatkan darah dan nyawa kaum Muslimin. Inilah hakikat hijrah Nabi saw.

Negara Islam yang dibina oleh Rasulullah diteruskan lagi oleh para sahabat dan Daulah Khilafah ini terus berkembang dan ia menjaga harta, darah dan nyawa umat Islam yang bernaung di bawahnya. Setelah kejatuhan Daulah Khilafah pada 28 Rajab 1342 H (3 Mac 1924), Umat Islam kini sudah tidak lagi mempunyai sebuah negara. Bertambah malang, peristiwa hijrah Rasul hanya dikenang di dalam bentuk perarakan dan penganugerahan tokoh Ma’al Hijrah saban tahunnya. Apakah dengan sambutan sebegini, maka akan berubahlah nasib umat di Malaysia, atau apatah lagi nasib umat Islam di Palestin yang kini sedang diratah tentera Israel laknatullah.

Kesan yang signifikan dari peristiwa hijrah Nabi SAW adalah, umat Islam pada ketika itu keluar dari kegelapan hidup berselubungkan sistem kehidupan Jahiliyyah di bawah pemerintahan dan undang-undang kufur. Manakala kaum Muslimin di Mekah pula tidak henti-henti diperangi dan dibunuh oleh kuffar Quraisy. Justeru, hijrahnya Rasul SAW dan para sahabat dengan membentuk sebuah Negara Islam dan selepas itu barulah wujud kekuatan untuk melawan kekuatan musuh dalam bentuk ‘sebuah negara’. Kemudian, dengan Negara tersebut, Rasulullah SAW melancarkan jihad dan membebaskan kaum Muslimin dari kekejaman kuffar. Inilah hijrah Nabi SAW. Namun sayangnya saat ini di kala umat Islam diperangi oleh kuffar, sebahagian mereka yang bergelar tokoh di Malaysia masih membicarakan tentang ingin menyambut awal Muharram besar-besaran agar lebih meriah, dan lagi banyak memakan duit rakyat tentunya.

Saban tahun Ma’al Hijrah disambut dengan seruan agar umat berubah, tetapi skop perubahan hanya terangkum dalam aspek akhlak, tidak kepada perubahan total dari segi politik, ekonomi, ketenteraan, dasar luar negeri dan lain-lain lagi. Tokoh Islam di negara ini kebanyakannya hanyalah pengampu kerajaan dan langsung tidak berani membicarakan tentang perubahan total umat Islam, yakni hijrah dari sistem sekular menuju sistem Khilafah. Ini adalah kerana perubahan total itu sering dikaitkan dengan perspektif yang negatif, dan jika mereka membicarakan hal ini, maka habislah ‘periuk nasi’ mereka. Sudahnya, mereka sibuk berkokok mengampu kerajaan manakala nasib umat Islam masih sama saban tahun. Para pemimpin, tokoh dan ulama tajaan sekular ini akan memastikan ‘perubahan’ yang diserukan adalah perubahan yang sentiasa memanjangkan usia sekularisme di seluruh pelusuk negara. Ingin mengharap mereka berbicara pasal jihad…ya mereka pun akan berbicara juga, dan mereka akan berbicara secara panjang lebar…tentang jihad ekonomi, jihad diri, jihad busines, jihad pendidikan, jihad keluarga dan seumpamanya. Itulah jihad mereka!

Umat Islam sepatutnya meneladani peristiwa hijrah Rasulullah SAW sebagai sebuah kewajipan membangun sebuah negara Islam. Tanya diri setakat manakah aku telah berusaha untuk mewujudkan sebuah Negara Islam (Daulah Khilafah) sebagai muhasabah.  Perubahan diri yang hanya menyentuh aspek akhlak tidak akan membuahkan hasil yang sebenar menurut perspektif hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat r.a. Bangkitnya sebuah negara Islam (Khilafah) itulah perubahan yang sebenarnya. Dengan negaralah, seluruh kehidupan kita diatur dengan wahyu Allah SWT, nikmat Islam dapat dikecapi oleh sekalian umat yang bernaung di bawahnya dan musuh Islam akan pasti dapat dikalahkan. Ini terbukti oleh kegemilangan sejarahnya sejak 1 Muharram 1H hingga 28 Rajab 1342H. Semoga pada tahun hijrah yang akan datang, pertolongan Allah dengan wujudnya kembali Daulah Khilafah akan terealisasi.

Ayuh, bangkitlah saudaraku, mari kita sama-sama berhijrah dan menolak sistem sekular dan kita tegakkan Islam!