Himpunan bantah TPPA bukti Parlimen tidak berkesan

bantahtppaSejarah bakal tercipta sekali lagi di Malaysia pada 23 Januari ini apabila Kongres Rakyat menganjurkan satu perhimpunan besar-besaran di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur bagi membantah Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang ingin dimeterai oleh kerajaan. Parti politik pembangkang adalah antara yang telah mengesahkan akan hadir pada perhimpunan tersebut.

TPPA memang wajar ditentang oleh rakyat atas pelbagai sebab, apatah lagi apabila kerajaan beria-ria menyembunyikan kandungannya kepada rakyat. Namun, persoalan emosi, maruah, kedaulatan negara dan kepentingan rakyat tidak seharusnya dijadikan penyebab utama kepada penentangannya. Ini kerana, setiap tindakan individu itu, termasuklah tindakan negara (pemerintah) wajib dinilai terlebih dahulu dari segi hukum syarak. Jika ia bertepatan dengan syarak, maka barulah dinilai aspek lainnya sama ada memberi keuntungan atau kerugian atau sama ada membawa kebaikan atau keburukan.

Manakala jika sesuatu tindakan itu berlawanan dengan syarak, maka sudah tidak perlu lagi menilai kebaikan dan keburukannya atau keuntungan dan kerugiannya, kerana jika ternyata membawa segunung keuntungan sekalipun, ia tetap haram dilakukan apabila bertentangan dengan syarak.

Atas dasar itulah (hukum syarak), tindakan kerajaan dalam isu TPPA ini wajib dinilai sebagai kayu ukur utama. Ringkasnya, perjanjian yang bakal ditandatangani bersama dengan Amerika Syarikat ini merupakan sebuah perjanjian haram kerana dimasuki bersama dengan sebuah negara kafir harbi fi’lan (negara kafir yang sedang memerangi umat Islam secara nyata) seperti Amerika. Islam hanya membenarkan satu jenis perjanjian sahaja dengan negara seperti itu yakni perjanjian gencatan senjata, manakala perjanjian lainnya haram untuk dimasuki.

Justeru, atas dasar inilah (hukum syarak) bantahan wajib dilakukan terhadap kerajaan dan bukan atas dasar selainnya.

Itu dari satu sudut. Dari sudut yang lain, apabila parti politik pembangkang ingin turut terlibat dalam perhimpunan seperti ini, perkara ini sesungguhnya membuktikan bahawa perjuangan melalui Parlimen selama ini ternyata tidak membawa apa-apa kesan. Ini kerana, walaupun terdapat ramai anggota pembangkang dalam Parlimen, malah ada yang bergelar ulama dan agamawan yang kononnya dahulu bertanding pilihan raya untuk memasuki Parlimen bagi menasihati pemerintah atau menjadi check and balance kepada kuasa pemerintah, agar tidak melakukan maksiat atau menzalimi rakyat, ternyata alasan itu meleset sama sekali.

Ternyata keberadaan mereka dalam Parlimen, selain haram sekiranya terlibat dalam urusan pembuatan hukum, gagal menjadikan pemerintah lebih baik atau ‘lebih Islamik’ sebagaimana mereka dakwakan. Pemerintah tetap sahaja zalim, malah semakin zalim dari semasa ke semasa dengan segala bentuk undang-undang dan peraturan yang digubal yang semakin mencengkam dan menindas rakyat.

Akhirnya, parti politik pembangkang ini sendiri memilih untuk turun ke jalan raya, yakni jalan “di luar” Parlimen untuk menuntut perubahan atau menuntut keadilan atau menghentikan kejahatan pemerintah, walhal merekalah yang selama ini mendakwa perjuangan melalui Parlimen dalam sistem demokrasi adalah jalan terbaik untuk menyekat kezaliman pemerintah mahupun menegakkan Islam!

Sungguh malang apabila mereka (dan umat Islam) masih belum sedar bahawa sistem demokrasi dan Parlimen hanyalah suatu yang dusta dan khayal jika ingin menerapkan Islam melaluinya. Sudah berapa lama parti Islam dan umat Islam ditipu dengan sistem ini, namun sayang seribu kali sayang apabila masih ada yang menaruh harapan dengan sistem kufur yang berasal dari Barat ini.

Hakikatnya, himpunan membantah TPPA ini bukanlah himpunan pertama yang diadakan besar-besaran untuk menolak kezaliman pemerintah, malah sudah banyak perhimpunan besar sebelum ini seperti Bersih, himpunan tolak ISA, himpunan Black 505 dan banyak lagi yang kesemuanya dilakukan “di luar” Parlimen, yang ternyata jauh lebih berkesan dalam memberi tekanan kepada pemerintah, berbanding perjuangan melalui Parlimen yang sejak dulu hingga kini tidak pernah berkesan.

Semoga mereka yang ikhlas akan sedar hal ini dan berpaling dari jalan demokrasi yang haram lagi gagal, seterusnya berjuang untuk menegakkan Islam dan Khilafah Islamiyyah melalui jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, bukannya melalui jalan demokrasi yang ditunjukkan oleh musuh-musuh Islam.