Hindarilah Dusta Dan Bohong
Hidup di dunia masa kini telah membentuk manusia bersifat materialistik. Manusia meletakkan seribu satu macam impian dan keinginan yang hendak dikecapi sehingga ada yang berusaha memenuhinya tanpa memperkirakan halal dan haram. Justeru, keterikatan kepada hukum syarak yang kuat dengan akidah Islam yang mantap sahaja dapat membatasi diri setiap manusia agar sentiasa mentaati perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah SWT walau sampai tidak terpenuh apa yang diimpikan.
Akhlak yang Baik
Akhlak wajib diatur sesuai dengan kehendak syarak. Apabila syarak menyatakannya buruk, maka disebut akhlak yang buruk dan apabila syarak menyatakannya baik, maka disebut akhlak yang baik. Ini kerana akhlak merupakan sebahagian daripada syariat yang mengandungi perintah dan larangan Allah SWT. Syarak telah memerintahkan manusia untuk berakhlak baik dan melarang daripada berakhlak buruk. Hadis daripada Abdullah bin Amr sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda :
“Sesungguhnya orang-orang yang terbaik di antara kalian adalah orang-orang yang paling baik akhlaknya.” [Mutafaq `alaih]
Setiap muslim wajib bersungguh-sungguh mempamerkan dirinya dengan akhlak yang baik , menjadi qudwah hasanah, sesuai dengan hukum syarak yang berkaitan tuntutan berakhlak baik. Hanya sahaja akhlak yang baik di sini wajib dibangunkan berasaskan akidah Islam. Seorang muslim mesti menyedari bahawa akhlak yang baik ini merupakan sebahagian daripada perintah dan larangan Allah SWT. Ini bermakna apabila mereka berakhlak baik mereka mesti mengharapkan pahala dan reda daripada Allah SWT.
Contohnya, apabila seorang mukmin berlaku jujur, mereka mesti menyedari bahawa Allah yang memerintahkan mereka berakhlak jujur. Mereka akan terus berusaha menghiasi diri dengan sifat amanah kerana mereka menyedari Allah yang memerintahkannya untuk bersifat amanah. Bukan dilakukan sifat terpuji itu kerana ada manfaat seperti menarik perhatian orang lain terhadap dirinya untuk dijadikan pemimpin atau melariskan dagangan dan sebagainya. Inilah yang akan membezakan kejujuran seorang mukmin yang mana ianya semata-mata kerana Allah SWT, manakala kejujuran seorang kafir bertujuan untuk memperoleh manfaat dunia semata-mata.
Antara dalil-dalil yang menggalakkan berakhlak baik adalah;
Daripada Abdullah bin Amr sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya orang yang terbaik di antara kalian adalah orang yang paling baik akhlaknya“. [Mutafaq`alaih]
Jelas bahawa orang yang terbaik dalam kalangan manusia adalah orang yang paling baik akhlaknya sesuai ketaatannya kepada perintahNya dan meninggalkan laranganNya. Contoh ketaatan Nabi Ibrahim ketika diperintahkan untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail, zuriat yang ditunggu sekian lama. Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail akur dan taat dengan apa yang diperintahkan dan berdoa supaya mereka sentiasa berada dalam kalangan orang-orang yang sabar. Di sinilah akhlak yang terpuji itu terlihat.
Diriwayatkan dari Nawwas bin Sam`an , ia berkata , aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang kebaikan dan dosa, maka Rasulullah SAW bersabda,
“Kebaikan adalah akhlak yang baik. Dosa adalah yang meragukan dalam dirimu dan engkau tidak suka jika manusia melihatnya“. [HR Muslim]
Diriwayatkan daripada Abu Darda RA., bahawa Nabi SAW bersabda, “Tidak ada satu pun yang lebih berat pada timbangan amal seseorang mukmin di hari kiamat daripada akhlak yang baik. Dan sesungguhnya Allah sangat membenci orang yang ucapan dan tingkah lakunya yang buruk“. [HR at Tarmidzi, ia berkata, “Hadis ini hasan shahih, dan Ibnu Hibban dalam kitab Shahihnya].
Rasulullah SAW pernah ditanyakan tentang perkara yang paling banyak menjadi penyebab masuknya manusia ke dalam neraka, lalu baginda bersabda, “Perkara itu adalah mulut dan kemaluan“. [HR at Tarmidzi, Shahihnya ; al Bukhari dalam al Adab al Mufrad ; Ibnu Majah ; Ahmad; dan al Hakim.]
Diriwayatkan daripada Abu Umamah, ia berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Aku menjamin rumah di sekitar syurga bagi orang-orang yang meninggalkan al–muraa (berdebat kerana perasaan sombong) dan rumah di tengah-tengah syurga bagi yang tidak suka berdusta, walau hanya bergurau; dan rumah di bahagian paling atas syurga bagi orang yang baik akhlaknya“. [HR Abu Dawud, an Nawawi berkata, “Hadis ini shahih”].
Daripada beberapa hadis di atas, jelaslah bahawa Allah SWT sangat membenci orang yang ucapan dan tingkah lakunya buruk. Perkara yang menyebabkan orang paling banyak masuk ke neraka adalah bersumber daripada mulut dan kemaluan, walau setakat bergurau senda juga dikira berdusta. Allah SWT juga menyukai orang yang menjaga dirinya dengan berakhlak mulia sesuai dengan hukum syarak.
Dosa Dusta dan Bohong
Dusta adalah merupakan pernyataan salah yang dibuat oleh seseorang (pendusta) dengan tujuan orang yang mendengar itu mempercayainya. Hadis daripada Abu Mas`ud ra., dia berkata ; Rasulullah SAW bersabda,
“Sesungguhnya dusta itu pemacu kepada kejahatan, dan kejahatan akan menghantar ke neraka. Jika seseorang membiasakan diri dalam kedustaan, maka akan dicatat di sisi Allah sebagai pendusta“. [Mutafaq `alaih]
Daripada Hasan bin Ali ra., dia berkata; aku telah menghafal sebuah hadis Rasulullah SAW, “Tinggalkanlah perkara yang meragukanmu, dan ambillah perkara yang tidak meragukanmu. Sesungguhnya jujur itu akan mententeramkan hati dan dusta akan menggusarkan hati“. [HR Tirmidzi. Ia berkata, “Hasan Shahih”].
Dalam hadis Mutafa`alaih, Rasulullah SAW bersabda, “Ada empat perkara, siapa sahaja memilikinya, maka ia menjadi munafik dengan sempurna. Barangsiapa yang memiliki salah satunya, maka ia memiliki salah satu sifat kemunafikannya, hingga ia meninggalkannya. Iaitu apabila seseorang diberi amanah, dia khianat; apabila berbicara, dia berdusta; apabila berjanji, dia tidak menepatinya, dan apabila berdebat, dia akan berbuat curang“. [HR Mutafa`alaih]
Daripada Abu Bakar ash Shiddiq , dia berkata , Rasulullah SAW bersabda, “Kalian mesti menjauhi dusta kerana dusta akan sentiasa bersama dengan kejahatan dan keduanya ada di dalam neraka“. [HR Ibnu Hibban dalam Shahihnya, at Tirmidzi daripada Muawiyah, al Haitsami dan al Mundziri menyatakan hadis ini hasan].
Daripada Samrah bin Jundub ra., dia berkata, “Rasulullah SAW merupakan orang yang banyak berbicara dengan para sahabatnya. “Apakah salah seorang di antara kalian telah bermimpi?” Lalu, berceritalah siapa sahaja yang Allah telah kehendaki untuk menceritakan kepada beliau. Suatu pagi, beliau bersabda :…Tentang seseorang yang engkau temui; dia merobek-robek mukanya (dekat mulut ) hingga ke hujung, dia adalah seorang yang berangkat dari rumahnya kemudian berdusta dengan dusta hingga memenuhi cakerawala“. [HR al Bukhari]
Daripada Ibnu Umar ra., ia berkata ; Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya perkara yang paling dibuat-buat (dusta) adalah ia memperlihatkan kepada kedua matanya apa yang tidak ia lihat“. [HR al Bukhari]
Maka jelaslah di sini bahawa dusta itu akan menjadi laluan kepada kejahatan-kejahatan dan kejahatan itu sendiri menjadi pemandu kepada neraka Allah SWT.
Namun, ada tiga keadaan dusta yang diperbolehkan oleh syarak iaitu berdasarkan hadis daripada Umu Kalsom binti Uqbah bin Abi Mu`ied ra. Riwayat Muslim. Umu Kalsom berkata,
“Aku tidak pernah mendengar Rasulullah SAW memberikan keringanan pada perkataan manusia kecuali dalam tiga perkara, iaitu pada ketika peperangan, pada ketika mendamaikan permusuhan di antara manusia, dan dalam perkataan suami terhadap isterinya, serta perkataan isteri terhadap suaminya“.
Khatimah
Oleh itu, jauhilah sifat berbohong dan dusta yang merupakan akhlak yang buruk seperti yang telah disyariatkan dalam Islam. Manakala, jujur itu adalah merupakan akhlak yang mulia yang mententeramkan jiwa dan kedustaan itu pula merupakan akhlak yang buruk yang menggundah gulanakan hati. Sifat dusta itu juga merupakan salah satu sifat munafik sehingga diperintahkan untuk dijauhi.
Wallahu`alam.
Rujukan :
- Pilar-pilar pengukuh Nafsiyah Islamiyah
- Islam Rahmatan Lil`alamin.
Oleh : Ustazah Husna Suriani (Aktivis MHTM)