Amaran PBB Penuh Auta Dan Dusta

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon ketika menghadiri mesyuarat duta-duta PBB daripada Kumpulan Negara Rakan Myanmar telah mengeluarkan kenyataan dengan memberi amaran kepada Myanmar supaya menghentikan serangan ke atas penduduk minoriti Islam jika mahu dilihat sebagai sebuah negara yang berwibawa.

Pada hakikatnya, mesyuarat tersebut yang dianggotai oleh Australia, China, Perancis, India, Indonesia, Jepun, Norway, Rusia, Singapura, Thailand, Britain, Amerika Syarikat, Vietnam dan Lithuania bukanlah merupakan suatu mesyuarat yang benar-benar ingin mencari jalan penyelesaian dan pembelaan terhadap etnik Muslim yang tertindas di sana. Ia tidak lebih hanya sekadar formaliti sepertimana mesyuarat dan persidangan yang dilakukan oleh OIC dan ASEAN yang sekadar mengutuk dengan lisan tanpa sebarang tindakan fizikal ke atas pihak yang menindas.

Lihatlah OIC, yang dianggotai oleh seluruh negeri umat Islam, tetapi pada hakikatnya mereka semuanya tunduk kepada kepentingan negara-negara besar seperti Amerika, Britain, Rusia, Perancis dan China. Mereka tidak berani sama sekali untuk bertindak apatah lagi melancarkan perang jihad ke atas musuh-musuh kaum Muslimin di Palestin, Iraq, Syria, Afghanistan, Mali, Selatan Thai termasuklah juga kerajaan Myanmar kecuali hanya sekadar mengutuk dan menunjukkan rasa simpati yang penuh dengan kedustaan. Setelah dengan jelas melihat para penguasa negeri-negeri umat Islam melakukan pengkhianatan demi pengkhianatan, perlukah kita masih mendengar kenyataan pemanis mulut yang dikeluarkan oleh badan kufur PBB dan negara-negara kufur yang lain? Sedangkan PBB adalah sebuah badan yang secara terang lagi nyata menjadi alat kepada kepentingan pihak kuffar, khususnya Amerika dan para sekutunya untuk membunuh, menganiaya dan menindas umat Islam di seluruh dunia.

ٱتَّبِعۡ مَآ أُوحِىَ إِلَيۡكَ مِن رَّبِّكَ‌ۖ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ‌ۖ وَأَعۡرِضۡ عَنِ ٱلۡمُشۡرِكِينَ

“Ikutilah apa yang telah diwahyukan kepadamu daripada Tuhanmu, tiada Tuhan selain Dia, dan berpalinglah daripada orang-orang musyrik”. [TMQ Al-An’am (6): 106].

Sumber: Utusan Malaysia 12/07/13