Media The Australian memberi amaran tentang bahaya laman web Hizbut Tahrir Indonesia

altSebuah media Australia, The Australian, pada 11 Disember yang lalu telah memuatkan  sebuah artikel yang mengingatkan bahawa kemenangan di dalam peperangan ideologi adalah merupakan kunci kepada kemenangan di dalam menghadapi gerakan Islam yang memperjuangkan syariah dan Khilafah. Dalam artikel yang berjudul ‘Islamists must be prevented from brainwashing kids‘ (gerakan Islam perlu dicegah daripada mempengaruhi pemikiran kanak-kanak) yang bersifat memprovokasi, penulis artikel ini telah melakukan pembohongan dengan mengaitkan usaha menegakkan syariah dan Khilafah sebagai suatu tindakan terorisme (keganasan). Kemudian diwujudkan logika bahawa adalah penting untuk menang dalam peperangan melawan teroris ini iaitu dengan mengalahkan ideologinya.

Dalam Artikel yang ditulis oleh Carl Ungerer, Pengarah Keselamatan Kebangsaan di Institut Polisi Strategik Australia itu menyatakan:

Untuk sesuatu ideologi itu berkembang, ideolagi itu perlu terus mencari anggota-anggota baru. Apabila sesebuah organisasi teroris generasi baru sudah terbentuk, masyarakat antarabangsa kelihatan sudah tidak mampu lagi untuk bertindakbalas  secara komprehensif  dengan cara yang strategik. Pada waktu ini, peperangan global melawan teroris telah terbahagi kepada sembilan puluh lima peratus operasi ketenteraan dan lima peratus operasi bersifat ideologi. Perkara ini perlu ditukar sebaliknya, kerana peperangan ideologilah yang akhirnya akan menentukan adakah sama ada kita berjaya atau gagal dalam melawan gelombang terorisme keagamaan masa kini.

Artikel ini juga secara khusus menulis tentang Hizbut Tahrir Indonesia. Meskipun diakui sendiri oleh Hizbut Tahrir bahawa mereka tidak menggunakan keganasan dalam perjuangan mereka, tetapi penulis ini telah memberi amaran bahawa Hizbut Tahrir adalah suatu ancaman kerana perjuangan ideologinya.

Tulisan di dalam artikel tersebut menyatakan “Jumlah serangan teroris di seluruh dunia mungkin telah berkurangan tetapi ideologinya yang  menghakis yang mendorong kepada teroris antarabangsa terus mendapat sokongan  yang bermula dari Somalia sehinggalah ke selatan Filipina. Dan fokus pengaruh ideologi ini semakin dituju kepada kanak-kanak.

Di Indonesia, gerakan Islam radikal Hizbut Tahrir memfokuskan perhatiannya kepada sekolah-sekolah, menyediakan bahan-bahan  bacaan dan arahan-arahan  yang menggalakkan para remaja untuk turut serta dalam  menggulingkan demokrasi sekular  serta diterapkan hukum Islam dan Khilafah.

Walaupun organisasi-organisasi seperti itu telah berhenti dalam mempromosikan keganasan,  tetapi hubungan radikal antara propaganda dan terorisme telah menjadi kukuh seperti memperluaskan liputan internet melalui pesanan-pesanan yang ekstrim.“

Artikel tersebut juga menyatakan bahawa laman web Hizbut Tahrir Indonesia adalah merbahaya kerana ia mampu bersaing dengan organisasi berita global.

“Hizbut Tahrir Indonesia mengelola sebuah laman web  yang canggih yang mampu bersaing dengan organisasi berita global. Remaja adalah pengguna internet terbesar, dan tapak-tapak  jaringan (website) sosial interaktif telah menyediakan bagi kelompok teroris ini peluang-peluang baru untuk merekrut dan meradikalkan  mereka.“

Tuduhan terhadap Hizbut Tahrir sebagai penyebar ideologi perantara atau pemberi inspirasi bagi tindakan terorisme juga sangat lemah. Tidak terdapat huraian yang jelas atau perincian tentang pandangan ideologi Hizbut Tahrir yang manakah yang membenarkan penggunaan keganasan dalam perjuangannya dalam menegakkan Khilafah dan syariah.

Jika dikatakan pemberi inspirasi, ini juga ternyata sangat kabur. Jika setiap orang yang memberikan inspirasi digelar teroris, sepatutnya AS yang paling layak untuk digelar sebagai teroris kerana AS sangat banyak melakukan tindakan keganasan yang  merupakan reaksi daripada dasar AS yang menindas Dunia Islam. Dalam kata lain, AS boleh dianggap telah memberi inspirasi bagi tumbuhnya golongan-golongan untuk melakukan penentangan terhadap Amerika seperti yang berlaku di Iraq ketika ini. Bukankah tindakan kejam tentera AS di Penjara Guantanamo dan pembunuhan yang dilakukan tentera AS terhadap orang awam di Iraq, Afganistan dan lain-lain adalah  antara faktor yang menimbulkan penentangan terhadap AS?

Bukan hanya di luar negara, usaha untuk mengaitkan Hizbut Tahrir dengan terorisme juga dilakukan di dalam negara. Mantan Pengarah Badan Intelijen Negara  (Agensi Perisikan Negara), A.M. Hendropriyono dalam satu wawancara di TVOne pada 29 Julai 2009 telah cuba untuk mengaitkan terorisme dengan apa yang digelarnya sebagai Wahabi radikal. Menurutnya, Wahabi radikal merupakan persekitaran yang sesuai (habitat) bagi terorisme. Hendropriyono lantas menyebutkan kaitan antara Wahabi radikal dengan Hizbut Tahrir dan Ikhwanul Muslimin.

Semua tuduhan itu sudah semestinya palsu. Hizbut Tahrir sentiasa konsisten dalam menegaskan tentang kewajipan jihad untuk mengusir penjajah Barat dari negeri-negeri kaum Muslimin seperti Iraq, Afganistan dan Palestin serta keutamaan mati syahid. Hizbut Tahrir juga telah menyatakan bahawa garis perjuangannya dalam menegakkan Khilafah bukanlah dengan menggunakan keganasan/mengangkat senjata (non-violence).
Perkara ini boleh dilihat secara terbuka dalam buku-buku rujukan Hizbut Tahrir seperti kitab Ta’rîf (Mengenali Hizbut Tahrir) atau Manhaj Hizb at-Tahrîr fî Taghyîr (Strategi Hizbut Tahrir untuk Melakukan Perubahan). Hizbut Tahrir dalam perkara ini berkeyakinan bahawa jalan menuju cita-cita perlu bermula daripada perubahan pemikiran serta menyakini bahawa masyarakat tidak boleh dipaksa untuk berubah melalui cara kekerasan dan keganasan. Oleh itu, garis perjuangan Hizbut Tahrir sejak ia diasaskan sehingga kini adalah tetap, iaitu bersifat fikriyah (pemikiran), siyâsiyah (politik) dan wa la ‘unfiyyah (bukan kekerasan).

Prinsip ini dibuktikan melalui kesemua aktiviti-aktivitinya lebih daripada lima puluh tahun sejak ia berdiri. Hizbut Tahrir tidak pernah sekalipun tersilap dengan menggunakan kekerasan meskipun terdapat banyak penguasa yang bertindak menindasnya. Dalam wawancara dengan Al-Jazeera pada 17 Mei 2005, Craig Murray iaitu mantan Duta Besar Britain di Uzbekistan mengatakan, “Hizbut Tahrir merupakan organisasi yang benar-benar tanpa kekerasan.”

Penolakan Hizbut Tahrir terhadap kekerasan juga diakui oleh Jean-Francois Mayer iaitu seorang penulis yang berasal dari Switzerland yang juga  pemerhati aliran-aliran agama moden, di dalam artikelnya yang di terbitkan pada 8 September tahun 2003 melalui agensi berita Roozbalt yang  bertajuk, “Mungkinkah Hizbut Tahrir Menjadi al-Qaeda di Masa Akan Datang?”, di mana ia menulis, “Dapat ditegaskan bahawa Hizbut Tahrir bukanlah gerakan perdamaian. Akan tetapi, pada fasa ini, Hizbut Tahrir tidak menggunakan kekerasan dalam pelbagai aktiviti-aktivitinya walaupun kritikannya dan seruannya sangat ekstrem. Sungguh amat menghairankan, ramai anggota-anggotanya benar-benar dapat mengawal emosinya walaupun tekanan semakin bertambah.”

Kesimpulannya, usaha untuk mengaitkan Hizbut Tahrir dengan kekerasan merupakan usaha yang  sia-sia yang penuh dangan pembohongan dari Barat. Penyebabnya hanya satu iaitu kerana Hizbut Tahrir ingin menegakkan kembali syariah Islam dan Khilafah. Barat sangat faham bahawa syariah dan Khilafah akan dapat menghentikan penjajahan mereka di dunia Islam yang selama ini mereka mengambil kesempatan ke atasnya.
Syariah Islam juga akan menyelesaikan seluruh permasalahan umat Islam di dunia termasuk manusia itu sendiri secara keseluruhannya, di mana ia akan mendedahkan  kapitalisme sebagai ideologi yang busuk dan akan ditinggalkan oleh manusia. Khilafah juga akan menyatukan umat Islam di seluruh dunia dan membebaskan negeri-negeri kaum Muslimin yang dijajah. Semua ini jelas sangat menakutkan sang penjajah Barat kerana Khilafah akan membebaskan negeri-negeri umat Islam dari penjajahan Barat yang buas lagi mengerikan. (FW)

http://hizbut-tahrir.or.id/2009/12/21/the-australian-ingatkan-bahaya-website-hizbut-tahrir-indonesia-dalam-perang-ideologi-melawan-kapitalisme/