Hizbut Tahrir Malaysia Menyeru Kepada Syariah Dan Khilafah Bersempena Bulan Ramadhan Al-Mubarak

masjid-wilayahKUALA LUMPUR 13 OGOS: Sekali lagi Masjid Wilayah Jalan Duta bergema dengan seruan dari Hizbut Tahrir Malaysia Cawangan Kuala Lumpur. Seruan bermula selepas solat Jumaat yang disaksikan oleh para jemaah yang sama-sama bersolat di masjid berkenaan. Seruan dimulakan oleh Ustaz Umar Hussein selaku pengacara dan pembuka seruan. Beliau memulakan mukadimah seruan dan seterusnya mengajak para jemaah solat Jumaat yang hadir untuk mendengar seruan tersebut bersama-sama buat seketika. Dilihat para jemaah memberikan respon yang baik untuk bersama-sama bagi mendengar seruan yang dilakukan. 
 
Seruan kali ini telah disampaikan oleh Ustaz Wan Hisyam yang merupakan salah seorang dari syabab Hizbut Tahrir Malaysia. Dalam kesempatan tersebut Wan Hisyam  telah menjelaskan kepada para jemaah bahawa ketika ini kita berada di dalam bulan yang penuh keberkatan.
Bulan di mana turunnya al-Quran yang menjadi petunjuk kepada seluruh manusia. Bulan di mana terdapat di dalamnya suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu malam lailatul qadar. Beliau juga menegaskan bagaimana terdapat kesalahan pemahaman di kalangan umat Islam pada hari ini terutamanya para pemimpin sekular yang merasakan Ramadhan itu hanya sekadar bulan untuk ibadah puasa semata-mata. Mereka menjaga tadarrus al-Quran tetapi mengabaikan hukum hakamnya. Mereka menjaga amalan-amalan ibadah seperti puasa, solat dan sebagainya serta meningkatkan amalan-amalan sunat tetapi dalam masa yang sama mereka mengabaikan penerapan hukum-hukum Islam yang sewajibnya mereka terapkan di dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Sejarah kegemilangan Islam telah mencatatkan pelbagai peristiwa penting yang pernah berlaku dalam bulan yang penuh berkah ini. Antaranya ialah kemenangan umat Islam dalam peperangan Badar dan juga pembukaan kota Mekah. Dalam seruan tersebut beliau juga menyatakan bahawa hari ini umat Islam menjalani ibadah Ramadhan dalam keadaan yang cukup menyedihkan tidak sebagaimana umat Islam yang terdahulu.. Lihatlah nasib umat Islam di Palestin, Afghanistan, Iraq dan juga terkini mangsa-mangsa banjir di Pakistan yang terkapai-kapai namun pemimpin sekular mereka masih mempunyai kesempatan untuk melakukan lawatan ke Eropah! Inilah nasib sedih yang menimpa umat Islam secara keseluruhannya saat ini. Di dalam negara pula rakyat dibebankan dengan kenaikan harga barang seperti minyak, gas dan lain-lainnya, tetapi Najib selaku Perdana Menteri masih ada kesempatan bercuti dan bersantai keluar negara. Inilah kehebatan para pemimpin sekular di negeri-negeri umat Islam kita hari ini. Mereka sukar untuk merasakan kesulitan dan bebanan yang dialami oleh rakyat mereka sendiri kerana denyut nadi mereka tidak dengan selari dengan denyut nadi umat yang menjadi tanggungjawab mereka. Seruan diakhiri oleh Wan Hisyam dengan kata-kata: “Tiada kemuliaan tanpa Islam, tiada Islam tanpa penerapan syariat dan tiada syariat tanpa tegaknya Khilafah”. Ustaz Umar Hussein mengakhiri seruan dengan doa.. Semoga seruan Ramadhan yang dilakukan oleh HTM ini akan memberikan kesedaran kepada umat Islam yang hadir khasnya dan kepada seluruh umat Islam umumnya. Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak.

m.wilayah-01

m.wilayah-02

m.wilayah-03

Seruan Di Masjid Wilayah, Jalan Duta KL