HTM selami masalah Gelandangan
KUALA LUMPUR 3 Julai – Dalam usaha kecil untuk memenuhi kemaslahatan umat (qadha’ masolih al-ummah), Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) turun padang untuk menghulurkan sedikit bantuan kepada golongan gelandangan di sekitar Masjid Negara. Bantuan yang tidak seberapa itu diharap dapat meringankan sedikit masalah mereka.
HTM bukan sekadar mengagihkan bantuan keperluan harian tetapi turut menyampaikan fikrah Islam sebagai kesedaran dan motivasi kepada para gelandangan tersebut.
Para pemuda HTM seramai 12 orang tiba di perkarangan Masjid Negara sekitar jam 11 tengah malam dan terus memanfaatkan masa yang singkat itu untuk beramah mesra di samping menyelami perasaan gelandangan tersebut.
Walaupun fenomena gelandangan sudah menjadi lumrah di ibu kota, tetapi hati memang tersentuh apabila melihat sendiri anak-anak kecil yang hanya tidur beralaskan sekeping tikar buruk dan berbumbungkan langit. Apa yang jelas daripada perkongsian hati ke hati bersama beberapa orang gelandangan tersebut ialah kegagalan pemerintah dalam mengambil tahu dan memelihara rakyatnya.
Para gelandangan turut meluahkan karenah birokrasi institusi zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam mengagihkan bantuan, walhal peruntukan sangat banyak untuk membantu orang seperti mereka.
Para syabab (pemuda) HTM memberikan sedikit motivasi kepada gelandangan tersebut untuk tabah meneruskan hidup dengan berusaha mencari rezeki yang halal, di samping menjelaskan bagaimana solusi Islam terhadap masalah mereka secara khusus dan permasalahan umat manusia secara umum. Ketidakpedulian pemerintah terhadap mereka dan terhadap penerapan Islam menyebabkan berlakunya kezaliman terhadap rakyat, termasuklah melahirkan ramai gelandangan. Hal ini secara tidak langsung menyebabkan rakyat gagal melihat Islam sebagai agama yang membawa kesejahteraan dan rahmat.
Selain dengan gelandangan, syabab HTM turut beramah mesra dengan badan-badan lain yang turut mengagihkan bantuan kepada mereka dan aktiviti tersebut berakhir sekitar jam tiga pagi.
HTM mengingatkan kaum muslimin khususnya kepada pemerintah bahawa memelihara rakyat adalah urusan pemerintah dan bukanya terletak pada bahu NGO, badan amal atau pun mana-mana individu. Buruknya ria’yah (pengurusan) pemerintah dalam memelihara rakyatnya pasti akan dihisab oleh Allah SWT kelak sebagaimana sabda Rasulullah SAW,
“Sesungguhnya pemimpin itu adalah pemelihara dan dia akan disoal (dihisab) darihal pemeliharaan (rakyat)nya” [HR Bukhari ].