HTM selami penderitaan Muslim Rohingya

SRI KEMBANGAN 8 Feb – Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) hari ini melakukan kunjungan ke pejabat ERCA (Ethnic Rohingya Committee of Arakan) Malaysia di Sri Serdang. Kunjungan yang bertujuan untuk menyelami masalah-masalah yang dihadapi oleh Muslim Rohingya itu disertai oleh Sdr Yusuf, Sdr Mahmud dan Ust Abdul Hakim bagi pihak HTM dan disambut dengan baik dan ramah oleh Sdr Mohd Rafique Khairul Bashar, merangkap pengerusi ERCA. Beberapa orang anggota ERCA juga turut hadir dalam pertemuan tersebut.

Dalam pertemuan lebih kurang 2 jam itu, Rafique menceritakan bagaimana penderitaan kaum Muslimin Rohingya di Mynmar yang dibunuh dan diseksa, dinafikan hak kewarganegaraan, pendidikan, kesihatan dan lain-lain. Rumah dan kampung mereka dibakar dengan sewenang-wenangnya oleh pihak rejim dan ekstremis Buddha. Semuanya adalah kerana puak kuffar tersebut ingin menghapuskan Islam dan kaum Muslimin dari bumi Mynmar. Semua kekejaman itu dilakukan secara sistematik dan berperingkat oleh rejim Mynmar, dengan mereka mempergunakan sami Budhha untuk menghasut kebencian di tengah-tengah masyarakat Buddha, terhadap Islam dan umatnya, ujar Anas, salah seorang anggota ERCA yang juga tenaga pengajar untuk anak-anak Rohingya di situ. 

Selain kesengsaraan yang dihadapi di Mynmar, pengerusi ERCA itu juga turut menceritakan penderitaan sebahagian besar Muslim Rohingya di Malaysia, yang juga tersisih dan tidak mendapat perhatian serta perlindungan yang sepatutnya dan bagaimana ERCA cuba membantu komuniti Rohingya tersebut. Dalam keadaan berat, termasuklah pejabat, peralatan, kewangan dan pergerakan ERCA itu sendiri yang serba daif, namun mereka tetap berusaha sedaya upaya mereka dalam menjaga kebajikan komuniti Rohingya di sini.

Delegasi HTM amat bersimpati dengan apa yang menimpa mereka. Ustaz Abdul Hakim menjelaskan yang sebagai sebuah parti politik Islam, HTM cuba membantu sewajarnya walaupun hakikatnya tidak akan dapat mengeluarkan mereka dari masalah dalam masa yang singkat. Hakim yang juga jurucakap HTM menjelaskan segala penderitaan Muslim Rohingya dan lain-lain kaum Muslimin di seluruh dunia dapat diselesaikan dengan mudah sekiranya pemerintah Muslim mengirimkan tentera untuk berjihad menyelamatkan mereka. Ini kerana, tidak ada kekuatan individu mahupun parti yang dapat melawan rejim Myanmar bagi menghentikan kekejaman mereka, kecuali dengan kekuatan sebuah negara. Negara mesti dilawan dengan negara, tentera mesti dilawan dengan tentera, tegas Hakim yang juga Ketua Maktab I’lami HTM.

Malangnya tidak ada pemerintah Muslim yang berbuat demikian, malah lebih buruk, ramai di kalangan pemerintah yang menghalang kemasukan pelarian Rohingya dan menganggap Muslim Rohingya sebagai pendatang tanpa izin, walhal Muslim Rohingya adalah saudara seakidah mereka yang wajib dijaga darah dan kehormatan mereka. Jika pemerintah ini ada sifat kemanusiaan dan kesedaran Islam, sudah pasti mereka akan menerima Muslim Rohingya dan lain-lain pendatang Muslim yang ingin bertempat tinggal di Malaysia. Namun hakikatnya tidaklah demikian, inilah memburukkan lagi keadaan, tegas Hakim lagi.

Delegasi HTM menjelaskan yang Hizbut Tahrir bergerak di lebih dari 40 buah negara di seluruh dunia untuk mengembalikan kehidupan Islam dengan jalan menegakkan Khilafah yang akan mempersatukan semula umat Islam dan seterusnya akan menyelamatkan keseluruhan umat Islam yang tertindas di muka bumi ini. Kehadiran Khilafah itu sudah semakin hampir dan Insya Allah tatkala ia berdiri nanti, segala sempadan negara-bangsa yang dibina oleh penjajah Barat selama ini akan dihancurkan dan kaum Muslimin akan kembali bernaung di bawah satu negara dan Khalifah akan menjadi penyelamat dan pelindung mereka.

Sebelum berangkat pulang, delegasi HTM melawat sekolah yang terletak bersebelahan dengan pejabat yang menempatkan lebih kurang 100 pelajar Rohingya. Keadaannya serba kekurangan, namun mereka tetap gigih mendidik anak-anak Rohingya yang bersekolah di situ demi masa depan anak-anak tersebut.