HTM serah memo bantah kedatangan Obama
KUALA LUMPUR 13 Nov – Selepas seminggu perhimpunan dan serahan memo di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) hari ini mengadakan demonstrasi dan menyerahkan memorandum bantahan di Kedutaan Besar Amerika Syarikat, di Jalan Tun Razak, atas lawatan Obama ke Malaysia yang dijadualkan antara 20-22 November ini.
Perhimpunan yang disertai oleh lebih 300 anggota dan penyokong Hizbut Tahrir itu diadakan sejurus selepas solat Jumaat di mana para peserta berarak dari Masjid Tabung Haji dan Masjid Asy-Syakirin menuju ke kedutaan dengan laungan Takbir dan juga kata-kata menolak Obama.
Ini merupakan lawatan kedua Obama ke Malaysia dalam tempoh tidak sampai 2 tahun, yang memberi mesej akan keseriusan ketua negara kufur terbabit untuk masuk campur dalam hal-ehwal Asia dan juga Malaysia secara khusus.
Selain menghadiri Sidang Kemuncak AS-Asean dan Asia Timur, Duta AS ke Malaysia, Joseph Yun menjelaskan bahawa kehadiran Obama ke negara ini bakal menyentuh mengenai isu-isu keselamatan serantau dan juga berkaitan isu TPPA yang sudah pun dipersetujui oleh Malaysia dan hanya menunggu ratifikasi.
“HTM menolak sekeras-kerasnya kedatangan Obama ke Malaysia kerana Obama yang mewakili AS merupakan negara kafir harbi fi’lan yang sedang memerangi umat Islam dan haram untuk disambut sebagai tetamu” tegas Ustaz Abdul Hakim Othman semasa berucap dalam perhimpunan tersebut. “Obama juga sehingga kini masih meneruskan polisi luar AS iaitu war on terror yang jelas-jelas merupakan war on Islam, yang menjadikan Obama sebagai musuh Islam, musuh Allah, musuh RasulNya dan musuh kaum Mukminin”, laung Abdul Hakim lagi, yang juga merupakan Jurucakap HTM.
Ustaz Hakim bersama seorang lagi wakil HTM dibenarkan masuk untuk menyerahkan memorandum yang diterima oleh Mr. Green, di mana wakil kedutaan itu berjanji akan menyampaikannya kepada Duta AS untuk seterusnya disampaikan kepada Obama.
Peserta perhimpunan bersurai dengan aman setelah berhimpun lebih kurang setengah jam di hadapan kedutaan dengan diiringi hujan rahmat yang turun sebaik sahaja perhimpunan bermula. Semoga usaha kecil (bantahan) ini memberikan satu mesej yang jelas kepada presiden negara penjajah itu bahawa umat Islam di Malaysia membantah dan tidak akan berdiam diri di atas kehadirannya dengan tangannya yang masih berlumuran dengan darah umat Islam itu.
HTM mengucapkan jazakumullahu khairan kepada semua peserta dan juga kepada anggota keselamatan yang telah membantu melancarkan perhimpunan aman dan penyerahan memo tersebut.