HTM serah memo kepada hotel bantah Mrs Universe

PETALING JAYA 29 Ogos – Walaupun bantahan telah dibuat dan memorandum juga telah pun diserahkan oleh Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, namun nampaknya tidak ada apa-apa tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan bagi membatalkan pertandingan Mrs Universe. 

Justeru, HTM hari ini sekali lagi mengadakan perhimpunan dan menyerahkan memorandum bantahan secara langsung kepada Sunway Resort Hotel & Spa, tempat di mana berlangsungnya pertandingan maksiat tersebut. HTM memulakan seruan di Masjid al-Husna yang terletak kira-kira 500 meter dari hotel tersebut, menjelaskan tentang kewajipan umat Islam untuk menolak segala bentuk kemaksiatan dan sekaligus mengajak para jamaah untuk bergerak bersama-sama ke hotel bagi menyatakan bantahan.

Para peserta berarak dengan membawa liwa’ dan rayah sambil melaungkan slogan “Tolak Mrs Universe” dan “Tolak Maksiat” yang diselang seli dengan takbir. Barisan perarakan berhenti di hadapan sepasukan anggota polis yang telah siap menunggu di depan hotel.

Dr. Muhammad selaku wakil HTM membacakan sebab-sebab bantahan untuk diketahui oleh para peserta dan juga hadhirin yang menyaksikan. Setelah itu, Ustaz Abdul Hakim Othman menyerahkan memo bantahan kepada wakil hotel. HTM menolak sekeras-kerasnya pertandingan maksiat ini dan menggesa pihak penganjur dan hotel agar membatalkannya serta-merta, tegas Ustaz Hakim yang juga merupakan Jurucakap HTM, kepada wakil hotel yang hanya mendengar dan tidak berkata apa-apa.

Perhimpunan ditutup dengan bacaan doa oleh Ustaz Umar Hussein yang juga pimpinan Pusat HTM, memohon ke hadrat Allah agar memasukkan hidayahNya ke jantung-jantung para pemimpin agar mendapat petunjuk dan menjauhkan umat Islam dan bumi umat Islam dari sebarang kemaksiatan dan kemurkaan daripada Allah SWT.
 

{gallery}aktiviti-htm/29082014{/gallery}