Mrs Universe: HTM serah memo kepada Kementerian

PUTRAJAYA 22 Ogos – Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) mengadakan himpunan aman dan menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaan di Presint 5, Putrajaya, hari ini bagi membantah pertandingan Mrs Universe yang dijadual berlangsung pada 29 Ogos 2014.

Peserta perhimpunan mula berarak dari Surau al-Munawwarah yang terletak tidak jauh dari bangunan Kementerian selesai solat Jumaat. Sebaik tiba di depan Kementerian, sekumpulan Muslimah HTM yang telah sedia menanti di situ bergabung dalam barisan dan menaikkan sepanduk  bantahan di samping mengibarkan al-liwa’ dan al-rayah.

Muaz Abu Thalhah yang juga pimpinan Pusat HTM membacakan sebab-sebab bantahan HTM terhadap penganjuran tersebut, di selang-seli dengan jeritan slogan penolakan dan laungan takbir oleh semua peserta. Pertandingan ini merupakan sebuah kemungkaran dan kemaksiatan yang nyata dan wajib dibatalkan serta-merta, tegas Muaz semasa membacakan sebab-sebab penolakan tersebut.

Enam orang wakil HTM yang diketuai oleh Ustaz Abdul Hakim Othman memasuki pintu utama Kementerian dan menyerahkan memorandum yang diterima dengan baik oleh wakil Kementerian. Dalam ucapannya selepas itu, Ustaz Hakim yang juga Jurucakap HTM menegaskan bahawa penerimaan baik terhadap memo bantahan tersebut tidak mencukupi kerana apa yang penting ialah pihak Kementerian mesti membatalkan majlis maksiat itu segera.

Pertandingan Mrs Universe ini dianjurkan oleh SOGO (KL) Department Store Sdn Bhd sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 yang mana peringkat akhir pertandingan akan diadakan pada 29 Ogos nanti di Sunway Resort Hotel & Spa, Kuala Lumpur.