HTM serah memo kepada PM gesa gerak tentera ke Myanmar

memo-jpm-1PUTRAJAYA 28 Nov – Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) menyerahkan Memorandum Peringatan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini dalam rangka mendesak Perdana Menteri Malaysia mengambil tindakan tegas ke atas Myanmar.

Memorandum diserahkan oleh Ust Abdul Hakim Othman yang diiringi oleh dua orang lagi wakil HTM, Ust Umar Hussein dan Mu’adz Abu Thalhah. Ketiga-tiga mereka tiba di perkarangan JPM sekitar jam 3.10 petang dan disambut oleh pegawai keselamatan di pintu masuk utama.

Setelah menunggu lebih kurang 10 minit, Pembantu Khas kepada PM, En. Nik Zawawi Nik Mohd Hussain tiba untuk menerima memorandum berkenaan. Ust Hakim yang juga Jurucakap HTM menjelaskan tujuan penyerahan memorandum iaitu bagi mengingatkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak akan tanggungjawabnya sebagai pemerintah Muslim dan seterusnya menggesa beliau agar menggerakkan tentera dengan kadar yang segera ke Myanmar.memo-jpm-2

“Satu-satunya solusi yang tuntas untuk menyelamatkan Muslim Rohingya adalah dengan mengisytiharkan jihad fi sabillah ke Myanmar bagi menjawab kebiadaban dan keganasan yang dilakukan oleh tentera kuffar rejim Myanmar ke atas saudara-saudara kita di Arakan”, jelas Hakim kepada Zawawi.

Setelah diberi penerangan ringkas tentang kandungan memorandum dan butir-butir tuntutan HTM, Pembantu Khas kepada PM itu berjanji akan menyampaikan memorandum berkenaan kepada Najib.

“Tanggungjawab kami sebagai parti politik ialah mengingatkan PM dan mendesak beliau melaksanakan kewajipan beliau, sama ada beliau akan melakukannya atau tidak, itu terserah kepada beliau dan beliau mesti menjawab kepada Allah SWT kelak jika tidak melakukannya”, jelas Jurucakap HTM itu mengakhiri proses penyerahan memorandum tersebut.

Beberapa orang yang dipercayai pegawai Cawangan Khas turut berada di lokasi penyerahan bagi memantau keadaan. Proses penyerahan berjalan lancar dan berakhir sekitar jam 3.40 petang.