HTM serah memo bantahan dan kutipan tandatangan ke JPM
PUTRAJAYA 8 Oktober – Setelah lebih sebulan melancarkan kempen tandatangan menolak kedatangan presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama ke Malaysia, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) hari ini menyerahkan memorandum bantahan dan keseluruhan kutipan tandatangan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini.
Delegasi HTM yang diketuai oleh Presidennya, Ustaz Abdul Hakim Othman, tiba di pintu masuk Bangunan Perdana Putra lebih kurang jam 2.30 petang. Abdul Hakim yang diiringi oleh lima orang pimpinan HTM yang lain bagaimanapun tidak dibenarkan naik ke atas untuk menyerahkan memorandum berkenaan, sebagaimana disetujui sebelumnya. Video dan gambar juga tidak dibenarkan untuk diambil di sepanjang proses penyerahan tersebut.
Perancangan asal untuk menyerahkan memorandum dan kutipan tandatangan berkenaan terus kepada Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Najib Tun Razak tidak kesampaian kerana orang nombor satu Malaysia itu berada di luar negara.
Bagaimanapun, Setiausaha Sulit Kanan kepada Perdana Menteri, En. Saiful Azhar telah menerima memorandum berkenaan dan berjanji akan menyampaikannya kepada Najib apabila beliau balik nanti. Dua kotak yang penuh berisi tandatangan juga turut diserahkan kepada Saiful.
Di sepanjang kempen menolak Obama, HTM telah berjaya mengumpulkan hampir 60,000 tandatangan dari seluruh Malaysia, termasuk dari Sabah dan Sarawak. Apa yang menarik ialah, selain umat Islam, ramai juga non-Muslim dan para pelancong dari luar Malaysia yang turut menurunkan tandatangan mereka sebagai membantah lawatan pengganas nombor satu dunia itu ke Malaysia.
Obama telah membatalkan lawatannya ke Malaysia dan melantik Setiausaha Negara AS, John Kerry sebagai wakilnya ke Persidangan Keusahawanan Global (GES) ke-4 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 11 Oktober 2013.