Hubungan Malaysia-Saudi dan ketundukan kepada AS

Perdana Menteri Malaysia yang kerusinya sedang goncang, Datuk Seri Najib Tun Razak, baru sahaja selesai lawatan kerjanya ke Arab Saudi. Banyak pihak yang mempertikaikan lawatan tersebut yang dilakukan tatkala kemelut politik yang terhasil akibat Najib dalam negara mencapai tahap yang sangat serius. Apatah lagi, lawatan tersebut dilakukan ke negara yang menjadi penderma peribadi kepada Najib sebanyak RM2.6 bilion.

Dalam komenya mengenai lawatan tersebut, Najib turut menyentuh latihan Thunder of the North yang sedang disertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama dengan 19 negara lagi, di Hafar al-Batin, yang diketuai oleh Arab Saudi. “Arab Saudi sangat penting bagi Malaysia dan oleh itu kita perlu memberi segala sokongan dan salah satunya dengan menyertai latihan bersama ini,” katanya selepas mengakhiri lawatan kerja tiga hari ke negara yang kaya minyak itu. Menurutnya lagi, pengalaman yang dilalui oleh anggota ATM sepanjang latihan itu amat berguna terutama dalam operasi ketenteraan di padang pasir.

Walaupun latihan ketenteraan secara umumnya adalah baik, tetapi secara logiknya, apakah keperluan ATM untuk berlatih di padang pasir sedangkan di Malaysia tidak ada padang pasir? Apatah lagi Malaysia tidak pernah mengamalkan polisi memerangi musuh di luar sempadan negara, cuma sekadar polisi bertahan dari serangan musuh dalam Malaysia sahaja. Dengan kata lain, berdasarkan polisi luar negara yang diamalkan sekarang (dasar berkecuali), Malaysia tidak akan berperang di padang pasir di luar Malaysia, jadi apa gunanya latihan tersebut?

najib-obamaUmum sudah maklum yang Arab Saudi merupakan salah satu sekutu rapat Amerika Syarikat (AS) di Timur Tengah dan latihan yang diketuai oleh Arab Saudi itu diadakan di bawah ‘arahan’ AS dalam rangka negara musuh Allah itu memerangi umat Islam, atas alasan memerangi pengganas. Jadi, tujuan Malaysia melakukan latihan tersebut, yang merupakan latihan julung kali diadakan seumpama itu, tidak lebih daripada mengikuti ‘arahan’ yang sama serta ketundukan Malaysia kepada telunjuk AS, sebagaimana Saudi.

Arab Saudi telah menyatakan persetujuannya untuk menghantar tentera ke Syria jika pakatan tentera antarabangsa yang diketuai AS memutuskan bahawa operasi itu perlu. Inilah antara pengesahan daripada penasihat kepada menteri pertahanan negara itu, Brigadier Jeneral Ahmed Asseri baru-baru ini. Menurutnya lagi, Saudi bersedia untuk terbabit dalam operasi darat di Syria bagi menentang ISIS sekiranya dipersetujui oleh pakatan ketenteraan yang diterajui oleh negara imperialis terbesar AS itu.

Hal ini jelas mendedahkan kedudukan sebenar Arab Saudi di sisi AS dalam mendepani krisis di Syria. Di sebalik gelaran mulia khadam al-haramain (penjaga dua tanah suci), sungguh hina apabila Saudi beriya-iya hendak melaksanakan arahan Amerika melalui operasi ketenteraan, yang sudah pasti menguntungkan AS dalam perang mereka melawan Islam dan kaum Muslimin. Sejak dulu hingga kini, Saudi tidak pernah pun peduli dengan kezaliman Basyar, tetapi sebaik sahaja ada arahan dari AS, Saudi terus melaksanakannya, yang menunjukkan betapa taatnya Saudi kepada tuannya ini dan hanya akan bertindak atas arahan tuannya sahaja!

saudi-obamaInilah sikap selektif Saudi dalam menjalankan polisi luar negaranya, meskipun negara tersebut berusaha menampilkan imej selaku pembela umat Islam khususnya yang bermazhab Sunni. Apabila berdepan dengan ancaman daripada Iran, Saudi mencanangkannya sebagai ‘ancaman Syiah’ terhadap Sunni. Demikian juga ketika menyerang kedudukan Syiah Houthi di Yaman. Namun, sentimen yang sama tidak pula dicanangkan apabila berhadapan dengan Basyar di Syria. Saudi tidak memerangi Basyar, sebaliknya Saudi mentaati perintah AS untuk menyerang kelompok ISIS yang terkenal sebagai kelompok ‘Sunni’ yang sangat memusuhi Syiah.

Dengan tunduk kepada arahan AS, Saudi sebenarnya telah memanjangkan lagi hayat rejim Basyar si penyembelih yang zalim, sekali gus membantu agenda AS yang ingin melengah-lengahkan pengunduran Basyar sehingga berjaya mencari pengganti yang baru yang akan tunduk kepadanya. Dalam masa yang sama AS hanya perlu menjadi pengarah dan menyaksikan peperangan dan pembunuhan sesama Muslim.

Sungguh malang menyaksikan hubungan pemimpin Muslim dengan AS yang tidak lebih seperti hamba dengan tuan, manakala hubungan yang wujud sesama pemimpin Muslim pula hanyalah dibina atas dasar maslahat, bukannya atas dasar akidah Islam dan tuntutan syarak. Sepatutnya kesemua pemimpin Muslim bergabung untuk memerangi Amerika dan menamatkan dominasi penjajahan dan segala agenda jahat mereka ke atas Islam dan kaum Muslimin. Inilah tuntutan syarak ke atas mereka. Malangnya mereka bergabung dengan AS dan mengikut arahan AS untuk memerangi sesama Muslim!