Hudud Ditenggelami Sekularisme
Apa yang menghairankan adalah, cara huraian yang diberikan oleh Dr Mohamed itu seolah-olah umat Islam pada hari ini tidak boleh bercakap melainkan mesti mengikut acuan perlembagaan Persekutuan. Sebagai seorang Islam, bukankah lebih baik jika dia bercakap mengikut acuan Islam? Bagaimana mungkin hudud yang diwajibkan oleh Allah SWT untuk dilaksanakan itu mesti mendapat persetujuan semua pihak? Bukankah ini bermakna seolah-olah manusia itu lebih berkuasa dari tuhan yang menciptakannya?
Lihatlah betapa dahsyatnya idea-idea racun daripada barat yang telah meresapi pemikiran golongan intelktual kita hari ini sehingga mereka berpandangan bahawa perlaksanaan hukum hudud di negara ini perlu persetujuan semua pihak sebelum ia dilaksanakan. Apakah beliau benar-benar waras ketika mengeluarkan kenyataan tersebut. Inilah akibatnya apabila pemikiran umat Islam, terutamanya golongan intelektualnya telah diracuni dengan pemikiran sekular Barat. Maha suci Allah dari kalimah-kalimah buruk yang keluar dari mulut –mulut mereka yang begitu celupar itu. Maha Agung Allah dari kejahilan makhluk ciptaannya.
Perlu diketahui bahawa hukum hudud adalah salah satu dari bentuk hukuman di dalam sistem ‘uqubat Islam selain dari qisas, takzir dan mukhalafat. Wajibnya hudud itu samalah seperti kewajiban solat, puasa, haji dan kewajiban-kewajiban syara yang lain. Cuma yang membezakan hudud dengan kewajiban-kewajaiban syara yang lain itu adalah, kewajiban itu dibebankan kepada siapa? Ini adalah kerana, kewajiban untuk melaksanakan hukum syara itu sebahagiannya ada yang dibebankan kepada individu, parti politik dan juga negara. Secara umumnya syara telah menjelaskan bahawa kewajiban menerapkan dan melaksanakan hukum hudud ini adalah menjadi kewajiban dan menjadi kewajiban pemerintah. Maka tidak ada alasan dan helah serta dalih dari pihak pemerintah untuk tidak melaksanakan kewajiban ini.
Lebih malang dan lagi hina apabila pihak pemerintah umat Islam itu perlu mendapat persetujuan daripada orang-orang kafir untuk melaksanakan syariat Islam. Apakah Perlembagaan Persekutuan itu lebih agung dan tinggi daripada hukum Allah sehingga kita perlu berpandukan Perlembagaan Persekutuan untuk melaksanakan hudud Allah!!
Firman Allah SWT:
“tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? mereka suka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada taghut itu. Dan syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh”. [TMQ an-Nisaa’ (4) : 60].
“ maka demi tuhanmu (wahai Muhammad)! mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah Engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya”. [TMQ an-Nisaa’ (4) : 65].
Ketahuilah bahawa Rasulullah SAW dan para sahabat sentiasa mempunyai suatu pemahaman bahawa melaksanakan sistem kehidupan Islam termasuk hudud itu adalah suatu kewajiban yang tidak boleh dikompromi secara mutlak. Ini amat berbeza dengan umat akhir zaman disaat ini yang mencari dalih terlebih dahulu untuk tidak menerapkan Islam daripada berusaha dengan semaksimum mungkin untuk berusaha bagaimana Islam itu dapat diterapkan. Alangkah jauhnya mereka-mereka itu daripada Rasulullah SAW dan para sahabat. Alangkah malangnya umat Islam jika ada kalangan kita yang hanya berdiam diri sambil melihat hukum Allah terus dipermainkan. Jika demikianlah keadaannya, maka di manakah kita di sisi Allah SWT kelak di hari akhirat?
Sumber : Sinar Harian 10/7/2012