Hudud tak boleh kurangkan kadar jenayah, benarkah?
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad membuat kenyataan bahawa negara yang melaksanakan hukum hudud masih tidak dapat mengurangkan kadar jenayah. Dan kadar jenayah di negara yang majoritinya Muslim seperti Pakistan, Nigeria dan Sudan masih mempunyai kadar jenayah yang tinggi. Beliau juga melanjutkan bahawa pelaksanaan hudud di Makkah dan Madinah tidak boleh digunakan sebagai kayu-ukur tentang keberhasilan hukum tersebut untuk mengurangkan kadar jenayah kerana orang yang pergi ke Makkah adalah untuk beribadat, selain dari majoritinya sudah berumur dan ingin bertaubat [The Malaysianinsider].
Sebelum itu, bekas duta Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin, yang juga Jurucakap kumpulan G25 mengatakan bahawa perlaksanaan hudud akan menyebabkan pelaku jenayah seksual berkerumun ke Kelantan [Astroawani].
Bagaimana bekas Ketua Hakim Negara ini boleh mengemukakan dakwaan tanpa bukti dan bagaimana beliau langsung tidak menoleh kepada sejarah untuk melihat dan membuat perbandingan sebelum membuat kenyataan? Tidakkah beliau tahu yang negara seperti Pakistan, Sudan dan Nigeria, walaupun dikatakan majoritinya Muslim, tetapi merupakan negara sekular yang tidak menerapkan hukum Allah, kecuali hanya sedikit dalam beberapa bab tertentu sahaja?
Hujah bahawa Makkah dan Madinah tidak boleh digunakan sebagai kayu-ukur atas alasan orang ke sana untuk beribadah adalah hujah yang naif. Ini kerana beliau tidak mengambil kira penduduk Makkah itu sendiri yang berjumlah lebih kurang 2 juta orang dan Madinah seramai 1.5 juta dan juga keseluruhan penduduk Arab Saudi lebih kurang 30 juta.
Itu dari satu sisi. Dari sisi yang lain, Madinah pernah menjadi ibukota Daulah Islam yang pertama yang ditubuhkan oleh Rasulullah SAW pada 623 Masehi dan menjadi ibukota Khulafa’ al-Rasyidin selama lebih 30 tahun yang melaksanakan hukum Allah secara kaffah dan sekali gus menjadi pusat pemerintahan Islam yang bukan sahaja menguruskan masalah uqubat (termasuk hudud), tetapi juga pelbagai sektor ekonomi, perdagangan, pertanian, dasar luar negeri, jihad, dakwah dan pelbagai lagi. Ternyata, ia menjadi ibu kota contoh kepada seluruh dunia yang memberi keamanan kepada penduduknya dan membawa rahmat kepada seluruh alam, hasil penerapan hukum Allah SWT.
Kini, bandar Makkah dan Madinah masih dipenuhi dengan aktiviti selain ibadah seperti perdagangan, malah dalam skala yang jauh lebih besar, dengan wujudnya bank-bank dan hotel-hotel, di mana manusia menjalankan kehidupan harian tak ubah seperti di bandar-bandar yang lain dan bukan menjadi tempat amal ibadat semata-mata. Tidak pula kita mendengar berita yang kadar jenayah menggunung di sana atau penjenayah seksual berkerumun ke dua kota suci Islam itu! Malah kalau kita menoleh ke negeri jiran Malaysia sahaja, Brunei, yang dikatakan telah melaksanakan hudud, pun tidak kedengaran penjenayah seksual berkerumun ke sana!
Justeru, kenapa bekas Ketua Hakim Negara dan bekas duta Malaysia ke Belanda itu begitu memandang serong dengan hudud?
Selain itu, laporan kadar jenayah pada 2014 sebenarnya menyangkal dakwaan kedua-dua individu tersebut.
10 negara yang mempunyai kadar jenayah yang tertinggi di dunia
1) USA
2) Canada
3) Germany
4) Poland
5) South Africa
6) Italy
7) Zambia
8) Uganda
9) Korea
10) Ethiopia
10 bandar di dunia yang paling merbahaya untuk diduduki
1) London (England)
2) Distrito Central (Honduras)
3) Birmingham (England)
4) Rio de Janerio (Brazil)
5) Ciudad Juarez (Mexico)
6) Mumbai (India)
7) Cape Town (SouthAfrica)
8) Florida (USA)
9) Caracas (Venezuela)
10) Chicago (USA)
10 negara yang mempunyai kadar kes bunuh yang tertinggi di dunia
1) USA
2) Belgium
3) South Africa
4) Italy
5) Japan
6) United Kingdom
7) France
8) Germany
9) Thailand
10) India
10 negara yang mempunyai kes rogol yang tertinggi di dunia
1) India
2) Spain
3) Israel
4) USA
5) Sweden
6) Belgium
7) Argentina
8) Germany
9) New Zealand
10) Poland
Dalam senarai di atas, ternyata kadar jenayah yang paling tinggi adalah berada di negara-negara yang TIDAK melaksanakan hudud.
Namun demikian, perlu ditegaskan bahawa hudud hanyalah sebahagian daripada hukum Islam dan ia tidak akan dapat dilaksanakan secara efektif tanpa melaksanakan hukum Islam yang lain secara kaffah.