Hukum Islam Berkaitan Li’an (Bahagian 1)

Li‘an adalah istilah yang berasal daripada perkataan al-la‘nu (laknat). Ini kerana dalam situasi ini, suami isteri masing-masing melaknat diri mereka sendiri dalam sumpah kelima mereka jika mereka berdusta. Dalil asal hukum li‘an adalah firman Allah SWT:

“Dan orang-orang yang menuduh isterinya (berzina), padahal mereka tidak mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri, maka persaksian bagi setiap seorang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali bahawa sesungguhnya dia adalah termasuk orang-orang yang benar. Dan (sumpah) yang kelima, (hendaklah dia berkata) ‘bahawa laknat Allah akan menimpanya jika dia termasuk orang-orang yang berdusta.’ Dan bagi menghindarkan hukuman terhadap isteri (yang tertuduh itu), hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh itu) sesungguhnya termasuk orang-orang yang dusta. Dan (sumpah) yang kelima, (hendaklah dia berkata) ‘bahawa laknat Allah atasnya jika suaminya itu termasuk orang-orang yang benar’ [TMQ an-Nur (24): 6-9].

Perkara ini diambil daripada kisah seorang lelaki yang bernama Hilal ibn Umayah yang menemui Rasulullah SAW untuk menyampaikan kepada Baginda bahawa beliau menyaksikan sendiri isterinya berzina tetapi tidak dapat menghadirkan saksi-saksi selain dirinya sendiri.

Imam Abu Dawud telah meriwayatkan hadis daripada Ibn ‘Abbas RA, bahawa dia berkata:

Hilal datang menemui Rasulullah SAW dan berkata:

Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mendatangi isteriku, tetapi aku mendapati seorang lelaki di sisinya. Aku sungguh melihatnya dengan mata kepalaku sendiri dan mendengarnya dengan telingaku sendiri’. Rasulullah SAW merasa kurang senang dengan apa yang disampaikan oleh Hilal. Kegelisahan pun menyelimuti Hilal. Tidak lama kemudian, turunlah dua ayat berikut: “Dan orang-orang yang menuduh isterinya (berzina), padahal mereka tidak mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri, maka persaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah, sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang benar. Dan (sumpah) yang kelima,’bahawa laknat Allah atasnya, jika dia termasuk orang-orang yang berdusta” [TMQ an-Nur (24): 6-7].

Rasulullah SAW merasa gembira dan berkata:

“Bergembiralah wahai Hilal, kerana sesungguhnya Allah telah memberimu kelapangan dan jalan keluar.” Hilal berkata, “Aku memang mengharapkan hal itu dari Tuhanku Yang Maha Suci lagi Maha Tinggi.” Rasulullah SAW kemudian bersabda, “Utuslah seseorang kepada isterinya.” Maka, dikirimkanlah utusan kepada isterinya. Rasulullah SAW lantas membacakan kepada isteri Hilal ayat yang baru diterimanya sambil mengingatkan kedua-duanya serta memberitahu mereka bahawa azab akhirat lebih pedih berbanding azab dunia. Hilal kemudian berkata, “Demi Allah, aku berkata benar mengenai dirinya.” Isterinya berkata, “Dia berdusta.” Rasulullah SAW bersabda, “Saling melaknatlah di antara kamu berdua!”

Rasulullah SAW seterusnya menunjukkan tatacara pelaksanaan li’an ke atas Hilal dan isterinya yang seharusnya dicontohi pelaksanaannya oleh umat Islam sehingga ke hari ini kerana ia sangat penting melibatkan status hubungan suami isteri serta nasab keturunan selepas pelaksanaan li’an.

Kemudian Rasulullah SAW meminta Hilal bersumpah sebanyak empat kali sumpah atas nama Allah SWT bahawa dirinya adalah termasuk orang yang benar. Dan sumpahnya belum diterima melainkan jika dia menyempurnakan sumpahnya dengan sumpah kelima. Apabila hendak mengucapkan sumpah kelima, dikatakan kepadanya, “Hilal, bertakwalah engkau kepada Allah, kerana sesungguhnya azab dunia itu lebih ringan dibandingkan dengan azab akhirat, dan sumpah kelima ini boleh menyebabkan azab ke atasmu.” Hilal kemudian bersumpah untuk yang kali kelima bahawa sesungguhnya laknat Allah SWT akan menimpanya jika dia termasuk orang-orang yang berdusta. Seterusnya Rasulullah SAW meminta isteri Hilal melakukan perkara yang sama seperti yang dilakukan oleh Hilal iaitu bersumpah sebanyak empat kali sumpah atas nama Allah SWT dan kemudian menyempurnakan sumpahnya dengan bersumpah untuk kali kelima bahawa laknat Allah SWT atas dirinya jika suaminya termasuk orang-orang yang benar. Apabila hendak mengucapkan sumpah kelima juga dikatakan kepadanya, “Bertakwalah engkau kepada Allah, kerana sesungguhnya azab dunia itu lebih ringan dibandingkan dengan azab akhirat, dan sumpah kelima ini boleh menyebabkan azab ke atasmu’.

Demikian lah cara li‘an dan demikian juga ucapan atau susunan ayat dalam li‘an. Seterusnya Rasulullah SAW memisahkan kedua-duanya dan memutuskan bahawa Hilal tidak berkewajipan memberi nafkah termasuk menyediakan tempat tinggal ataupun makan minum kepada isterinya itu.

Bersambung di Bahagian 2…