Hukum Wanita Menjadi Ahli Majlis Umat (Bahagian 1)

Oleh : Maryam Ismail

Dalam artikel yang lalu (hukum wanita menyandang jawatan pemerintahan) kita mengetahui bahawa Islam melarang keras seorang wanita untuk menjawat mana-mana jawatan yang berkaitan dengan pemerintahan, sebagaimana sabda Rasulullah SAW, Diriwayatkan dari Abu Bakrah, beliau berkata, “Allah menjagaku dengan sesuatu yang aku dengar dari Rasulullah SAW pada perang Jamal iaitu ketika aku hampir bergabung dengan para penunggang kuda untuk berperang bersama mereka”. Abu Bakrah meneruskan, ketika Kaisar Parsi mati, Rasul bersabda, “Siapa yang menjadi penggantinya?” Mereka menjawab, “Puterinya”. Kemudian Nabi SAW pun bersabda, “Tidak akan beruntung suatu kaum yang menyerahkan urusan mereka kepada seorang wanita” [HR Bukhari, Tirmidzi, An Nasa’i, Al Baihaqi, dan al Hakim].

Hadis yang berasal dari jalur Hassan al-Basri, dari Abu Bakrah RA, dengan jelas melarang menyerahkan urusan kekuasaan atau pemerintahan kepada wanita, dan semua Mujtahid (Imam Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali) sepakat akan larangan tersebut.

Namun kini, tidak dinafikan bahawa ramai yang keliru tentang hukum wanita terlibat dalam urusan pemerintahan, terutama hukum wanita menjawat jawatan Majlis Umat dalam Islam sehinggakan ada sebahagian yang berpendapat bahawa fungsi Majlis Umat sama seperti sidang Dewan Rakyat (Wakil Rakyat) atau sidang Dewan Negara dalam sistem Demokrasi.

Kedudukan wakil rakyat dalam sistem demokrasi sekarang sangat berbeza dengan kedudukan “wakil rakyat” dalam sistem Islam (Khilafah). Dalam sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia di bawah ajaran Lord Reid, wakil rakyat yang terpilih (melalui pilihanraya) akan pergi ke Parlimen/DUN, yang secara ringkasnya, bidang kuasa wakil rakyat dalam Parlimen/DUN meliputi tiga perkara, iaitu:

  1. Mengawasi dan memuhasabah pemerintah
  2. Menjadi badan legislatif iaitu membuat dan menggubal undang-undang
  3. Melantik dan memberhentikan penguasa.

Jika dilihat pada bidang kuasa yang pertama, iaitu mengawasi dan memuhasabah pemerintah, ia bukanlah termasuk dalam aktiviti pemerintahan dan muhasabah pemerintah tidak terbatas hanya boleh dilaksanakan dalam parlimen sahaja, tetapi juga boleh dilaksanakan di luar parlimen. Namun, pada bidang kuasa kedua dan ketiga itulah yang menjadi qarinah (indikasi) bahawa jawatan tersebut termasuk dalam ruang lingkup pemerintahan.

Fungsi Majlis Umat tidak berkaitan langsung dengan aktiviti legislatif (membuat / menggubal undang-undang) atau badan yang melantik dan memberhentikan penguasa. Ini kerana dengan alasan pertama, pembuatan undang-undang hanyalah hak Allah secara mutlak. Allah SWT berfirman, “Keputusan itu hanyalah milik Allah” [TMQ Yusuf (12): 40].

Imam Ibnu Jarir At-Thabari menjelaskan dalam ayat ini dengan merujuk penjelasan dari Imam Ibnu Abi Hatim dalam tafsirnya “Keputusan itu hanyalah milik Allah. Dia telah memerintahkan agar kamu tidak menyembah selain Dia,” Beliau berkata, “Agama didasarkan pada keikhlasan kepada Allah semata-mata dan tidak ada sekutu bagi-Nya”. (Tafsir At-Thabari 14:685).

Ini berbeza dengan fungsi Parlimen/DUN yang telah mengambil hak Allah dalam membuat undang-undang. Hanya dengan menggunakan dalih suara majoriti, suatu akta dapat ditetapkan, ditolak atau dipinda. Kedaulatan yang seharusnya berada dalam tangan syariat telah diambil alih oleh manusia.

Kedua, fungsi Majlis Umat juga tiada kaitan dengan proses melantik dan memberhentikan penguasa. Tugas memberhentikan Khalifah adalah tugas mahkamah Mazhalim dan jelas merupakan salah satu tugas pemerintahan seperti badan legislatif atas faktor yang sama, iaitu memiliki indikasi dalam memegang tampuk pemerintahan.

Menurut Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dalam kitab Ajhizah Daulah al-Khilâfah, wanita dibenarkan menduduki pelbagai jawatan selama tidak termasuk dalam wilayah pemerintahan Khalifah (Ketua Negara Khilafah), Mu’awin (Pembantu Khalifah), Wali (Gabenor), Qadhi Qudhat (Pemimpim para qâdhi/ hakim), Qâdhi Mazhâlim (Qâdhi/Hakim yang mempunyai kewajipan menghilangkan kezaliman, termasuk memecat Khalifah jika melakukan kezaliman kepada rakyat atau menyalahi al-Quran dan Hadis), (Taqiyuddin an-Nabhani, Ajhizah ad-Dawlah al-Khilâfah, Beirut: Dar al Ummah, 2005, hlm.59,113,119,134 dan 153).

Hal ini berbeza dengan aktiviti memilih penguasa. Ini kerana aktiviti ‘memilih penguasa’ tidak menjadikan wanita sebagai penguasa, tetapi wanita hanya menjalankan hak memilih orang yang akan memerintahnya. Syarak telah membenarkan seorang wanita untuk memilih penguasa atau memilih mana-mana lelaki untuk menjalankan tugas-tugas pemerintahan. Dengan kata lain, nas syarak membenarkan seorang wanita untuk memilih dan membai’at seorang ketua negara. Ummu Athiyah menuturkan bahawa, “Kami membai’at Nabi SAW, kemudian baginda membacakan kepada kami ‘Bahawa mereka tidak akan menyekutukan sesuatu pun dengan Allah” [TMQ Al-Mumtahanah (60):12] dan baginda melarang kami untuk meratap. Maka seorang wanita di antara kami menarik kembali tangannya dan berkata, “Seorang wanita telah membahagiakanku dan aku ingin sekali membalasnya.” Baginda tidak memberikan apa-apa komen. Kemudian wanita itu pergi, dan kemudian kembali lagi. [HR al-Bukhari].

Bai’at terhadap Nabi SAW bukanlah bai’at atas kenabian baginda, tetapi bai’at untuk mentaati baginda sebagai ketua negara (penguasa). Hadis ini menunjukkan bahawa kaum wanita berhak membai’at penguasa dan memilihnya.