Hukum Jual Beli Matawang Asing (Tukaran Matawang)
Ustaz, apakah hukumnya kita berjual beli atau melakukan pertukaran matawang asing?
Jawapan :
Dalam fiqih kontemporari, jual beli matawang dalam bahasa arabnya disebut dengan istilah tijarah an-naqd atau al-ittijaar bi al-‘umlat. Dalam kitab-kitab fiqih, ia disebut sebagai al-sharf (pertukaran matawang atau currency exchange). Definisi al-sharf menurut Abdurrahman al-Maliki adalah pertukaran harta dengan harta dalam bentuk emas atau perak, sama ada pertukaran dibuat antara jenis yang sama dengan kuantiti yang sama, ataupun antara jenis yang berbeza dengan kuantiti yang sama ataupun kuantiti yang berbeza.
Oleh sebab mata wang yang digunapakai sekarang dianggap sama dengan emas dan perak, maka Rawwas Qa’ahjie telah mendefinisikannya secara umum, iaitu pertukaran antara wang dengan wang. (Abdurrahman al-Maliki, As-Siyasah al-Iqtishadiyah al-Mustla, hal. 114 & 125; Ali As-Salus, Mausu’ah Al-Qadhaya al-Fiqhiyah al-Mu’ashirah, hal. 432; Rawwas Qal’ahjie, Mu’jam Lughah al-Fuqaha, hal. 85 & 208).
Hukum jual beli matawang adalah mubah (boleh/harus) selama mana ia memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh hukum syara’. Jika jual beli atau pertukaran matawang yang dibuat melibatkan jenis yang sama (contohnya ringgit dengan ringgit, atau dolar AS dengan dolar AS), terdapat dua syarat yang perlu dipatuhi:
Pertama, perlu ada kesamaan dari segi kuantitinya, iaitu nilainya harus sama. Contohnya RM50 ditukar dengan RM50, atau USD200 ditukar dengan USD200.
Kedua, perlu ada proses serah dan terima (at-taqabudh) wang tersebut ketika akad dibuat. Dengan kata lain, ia harus dibayar secara tunai (bukan hutang) dan tidak boleh berlaku sebarang penundaan dalam proses serah dan terima wang berkenaan.
Adapun jika jual beli atau pertukaran yang dibuat melibatkan jenis yang berlainan (misalnya ringgit dengan dolar AS), maka syarat yang perlu dipenuhi hanya satu iaitu jual beli atau pertukaran tersebut perlu dilakukan secara tunai (bukan hutang) tanpa sebarang penundaan. (Taqiyuddin an-Nabhani, Muqaddimah al-Dustur, 2/155; Abul A’la al-Maududi, Ar-Riba, hal. 114; Sa’id bin Ali al-Qahthani, Ar-Riba Adhraruhu wa Atsaruhu, hal. 23).
Antara dalilnya adalah sabda Rasulullah SAW, “Emas ditukar dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma, garam dengan garam, harus sejenis dengan sejenis, sama dengan sama (berat timbangannya), dan daripada tangan ke tangan (secara tunai). Maka jika berbeza jenis-jenisnya, juallah sesuka hati kamu asalkan daripada tangan ke tangan (secara tunai).” (HR Muslim no 1210; At-Tirmidzi III/532; Abu Dawud III/248).
Hadis ini menunjukkan bahawa jika yang ditukarkan itu satu jenis yang sama (misalnya emas dengan emas), maka syaratnya ada dua:
Pertama, harus ada kesamaan (at-tasawi) dari segi jenis dan berat timbangannya (contohnya 10 gram emas 916 ditukar dengan 10 gram emas 916 yang lain, atau 1 kilo kurma gred A ditukar dengan 1 kilo kurma gred A yang lain).
Kedua, harus ada proses serah dan terima (taqabudh) ketika akad dibuat, iaitu dibuat secara tunai (bukan hutang). Sebaliknya jika yang ditukar itu bukan daripada jenis yang sama (contohnya emas dengan perak, atau perak dengan kurma), syaratnya hanya satu iaitu pertukaran perlu dilakukan secara tunai tanpa sebarang penundaan. Dari segi gred dan berat, adalah dibolehkan untuk menukar berlainan gred dan berlainan berat timbangannya (contohnya 10 gram emas gred 916 ditukar dengan 200 gram perak gred 999).
Walaupun hadis di atas menjelaskan pertukaran emas dan perak, namun hukumnya tetap berlaku juga terhadap matawang lain pada hari ini. Ini adalah kerana sifat yang ada pada emas dan perak pada ketika itu sebagai mata wang juga terdapat pada matawang ketika ini (al-nuqud). (Taqiyuddin an-Nabhani, an-Nizham al-Iqtishadi fi al-Islam, hal. 264).
Kesimpulannya, jual beli matawang asing hukumnya adalah boleh (mubah) selama mana ia memenuhi syarat-syaratnya. Jika ia tidak memenuhi syaratnya, maka hukumnya adalah haram. Contohnya melakukan akad untuk menukar atau menjual beli RM100 dengan USD30, tetapi proses serah dan terima wang berkenaan ditunda ke tarikh tertentu beberapa hari kemudian. Walaupun ia dipersetujui oleh penjual dan pembeli, hukumnya tetap haram, tidak kira sama ada yang ditunda itu adalah wang ringgitnya, dolarnya, atau kedua-duanya sekali. (Ali As-Salus, Mausu’ah Al-Qadhaya al-Fiqhiyah al-Mu’ashirah, hal. 426).
Wallahu a’lam.