Hukuman Islam Yang Disekularkan Pun Sukar Dilaksanakan

altKartika mohon menghadap Sultan

IPOH: Ibu kepada dua anak yang dikenakan hukuman sebat kerana didapati bersalah meminum arak, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, berhasrat menghadap Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, untuk mendapat pandangan baginda mengenai penangguhan hukuman sebat ke atasnya sejak lima bulan lalu.

Kartika Sari berkata, Sultan Ahmad Shah sebagai Ketua Agama Islam negeri itu mempunyai kata pemutus terhadap hukuman enam sebatan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lalu.  

Katanya, beliau bersedia untuk akur dengan titah Sultan Ahmad Shah, sama ada meneruskan hukuman sebat atau membatalkannya.   “Saya ada menulis rintihan hati jika sesuai untuk dijadikan sebagai warkah dan diperkenan untuk disampaikan kepada Tuanku.

“Jika Tuanku mengampuni saya, dengan reda dan rendah hati, saya terima serta akur dengan titah Tuanku,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.    Pada 11 Julai 2008 penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang menahan Kartika Sari di sebuah hotel di Cherating, Pahang ketika meminum arak bersama rakan-rakan bukan Islam.

Kartika Sari berkata, tujuannya memohon perkenan menghadap Sultan Ahmad Shah bukan untuk menagih simpati, tetapi sekadar ingin mengetahui punca hukuman sebat terhadapnya tergantung sejak beberapa bulan.
Penangguhan hukuman sebat terlalu lama, katanya, mengakibatkan kehidupannya menjadikan rumit dan memberi tekanan kepada beliau dan anak bongsunya, Wann Kaitlynn Saridewi, 5.

“Saya sanggup menunggu sehingga 20 tahun jika masalah sebat ini terlalu rumit untuk diselesaikan tetapi kami sekeluarga juga berusaha sekadar termampu untuk merungkai masalah ini.   “Jabatan Agama Islam Pahang hanya berdiam diri sejak hukuman ditangguhkan,” katanya.

Sumber: Berita Harian 02/01/10

Hukuman Islam Yang Disekularkan Pun Sukar Dilaksanakan

Isu hukuman terhadap Kartika Sari Dewi Shukarno kerana kesalahan meminum arak yang dijatuhkan hukuman  enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lalu masih lagi tidak menemui titik noktahnya. Pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung terus membisu dan kaku dengan membiarkan Kartika berada dalam keadaan tertekan dan bingung. Inilah nasib malang yang menimpa seorang muslimah yang sudah menyedari kesalahannya dan ingin bertaubat kepada Allah SWT. Walaupun kita mengetahui bahawa hukuman sebatan sebanyak enam kali itu bukannya hukuman Islam namun timbul tanda tanya kenapakah hukuman ini masih tergantung dan lebih malang lagi pihak yang berkenaan membiarkan pesalah berada dalam dilema.

Inilah puncanya apabila kehidupan umat Islam itu diatur dan diacu dengan acuan sekular yang mana ketika ini,  kitab “1Malaysia” karangan Najib  dijadikan sebagai dalil dan panduan dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara untuk membenarkan seluruh sistem kufur kekal sehingga hari ini.

Wahai umat Islam! Telah terbukti kepada kamu, telah terang lagi bersuluh bahawa para pemimpin kamu pada hari ini adalah para pemimpin sekular yang tidak pernah bersedia untuk menerapkan Islam. Hatta hukuman Islam yang disekularkan dan yang dibuat oleh hawa nafsu mereka sendiri pun sukar untuk dilaksanakan. Apakah kita akan mengharapkan Islam akan diterapkan? Jika itu yang kamu impikan sudah pasti ianya seperti angan-angan Mat Jenin untuk melihat bulan jatuh ke riba.

Wahai umat Islam dan para pemimpin umat Islam! Seandai hududullah berjalan,  petunjuk Allah pasti akan bersama kita dan rahmatNya akan pasti tercurah ke atas kita semua. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Suatu hukum hudud yang didirikan di bumi lebih dikasihi (kerana manfaatnya) oleh penduduknya daripada ditimpa hujan 40 pagi” [HR Abu Daud].