Hukuman Qadzaf Bukan Untuk Kes Liwat

anwar-saifulSoalan : Bagaimanakah penyelesaian terhadap kes liwat yang sedang dihadapi di antara Saiful Bahri  dengan Anwar Ibrahim sekarang? Ramai yang beranggapan bahawa ia adalah kesalahan qadzaf, tetapi yang peliknya kes ini dibicarakan di mahkamah sivil. Bagaimana pula jika kes ini dibicarakan di mahkamah syariah, adakah wujud undang-undang berkenaan qadzaf di Malaysia? Diharap Ustaz dapat menjelaskan persoalan yang membingungkan ini.

Jawapan: Pertama-tama kita harus memahami tentang apa itu qadzaf. Qadzaf adalah melemparkan tuduhan terhadap wanita yang suci melakukan perbuatan yang haram (zina), kecuali orang yang menuduh itu membawa bukti. Qadzaf adalah perbuatan yang haram berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah. Allah SWT berfirman:

“Dan orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah 80 kali, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka untuk selama-lamanya. Mereka itulah orang-orang yang fasik, kecuali mereka bertaubat setelah itu dan memperbaiki (dirinya). Maka sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. [TMQ An-Nur ( 24) : 4-5].

Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik lagi beriman (melakukan zina), mereka terkena laknat di dunia dan  di akhirat. Bagi mereka azab yang besar sedang menanti.
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

“Jauhilah tujuh jenis keburukan. Para sahabat bertanya, “ Wahai Rasul, apakah itu?”.  Rasul menjawab, “Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan haq, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari daripada medan peperangan dan menuduh wanita-wanita yang baik-baik (melakukan zina)”.

Perkataan al-muhsanat (wanita-wanita yang baik) pada hadis tersebut bermaksud al-afaif,  berbentuk jama’ (plural) dan ‘afifah (wanita baik-baik). Perkataan al-muhsanat di dalam al-Quran mempunyai empat pengertian:
Pertama, al-afaif (wanita baik-baik), seperti yang terdapat pada dua ayat di atas.

Kedua, bermaksud seorang wanita yang telah bersuami. Sebagaimana firman Allah SWT:

“Dan (diharamkan juga kamu mengahwini) wanita yang bersuami, kecuali hamba-hamba yang kamu miliki (Allah telah menetapkan hukum itu) sebagai ketetapanNya ke atas kamu”. [ TMQ An-Nisa’ (4): 24]

Juga firman Allah SWT:

“Sedangkan mereka adalah wanita-wanita yang menjaga diri (wanita yang sudah bersuami) bukan penzina”. [TMQ An-Nisa’ ( 4): 25].

Ketiga, bermakna al-harair (wanita yang merdeka), merupakan lawan daripada perkataan al-ima’ (hamba). Sebagaimana firman Allah SWT:

“Dan barangsiapa di antara kamu (orang yang merdeka) yang tidak cukup perbelanjaannya untuk mengahwini wanita yang merdeka lagi beriman…”.  [TMQ An-Nisa’ (4):25]

“(dan dihalalkan mengahwini) wanita-wanita yang menjaga kehormatannya (wanita yang merdeka) di antara wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita di antara orang-orang yang diberi al-Kitab sebelum kamu”. [TMQ al-Maidah (5):5]

“Maka atas mereka separuh hukuman daripada hukuman-hukuman wanita-wanita merdeka yang bersuami”. [TMQ an-Nisa (4):25]

Keempat, bermakna Islam, sebagaimana firman Allah SWT:

“Dan jika mereka telah menjaga diri (Islam)…” [TMQ an-Nisa (4):25]  

Ibnu Mas’ud berpendapat, ihsanuha (terjaganya wanita) ertinya adalah Islamuha (masuknya Islam). Perkataan muhsanat termasuk sebagai lafaz musytarak (perkataan yang mempunyai banyak makna), seperti halnya perkataan ain yang mempunyai beberapa maksud. Yang dimaksudkan dengan muhsanat dalam perbincangan ini mempunyai satu makna sahaja, iaitu makna al-afaif (wanita yang baik-baik).

Barangsiapa yang menuduh wanita mukminat yang baik-baik melakukan zina, maka sabit kesalahan disebat dengan 80 kali sebatan. Syaratnya, si penuduh telah mukallaf dan melakukan perbuatan qadzaf  atas pilihannya sendiri (kesedarannya). Sedangkan bagi muhsanat (wanita yang dituduh), ia memenuhi syarat-syarat ihsan (kebaikan pada dirinya yang dikenali). Bagi penuduh/pendakwa, terdapat 5 syarat yang mewajibkan jatuhnya had (hukuman) qadzaf ke atasnya, iaitu ia mestilah seorang yang berakal, merdeka (bukan hamba), Islam, terjaga dirinya daripada melakukan zina, dan terjaga dirinya daripada melakukan dosa-dosa besar yang darjatnya sama besar dengan zina.

Setelah sempurna lima syarat tadi, had boleh dijatuhkan jika syarat dasarnya dipenuhi iaitu qadzif (si penuduh) tidak boleh membuktikan tuduhannya. Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

“Orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (melakukan zina), kemudian mereka tidak dapat mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka…”. [TMQ an-Nur (24):4]                

Sebatan terhadap mereka (qadzif) dijatuhkan kerana tidak adanya bukti dan juga tidak adanya ikrar (pengakuan) daripada maqdzuf (tertuduh), kerana ini termasuk sebahagian daripada syarat pembuktian. Jika penuduh adalah suaminya, maka terdapat pula syarat lain, iaitu perbuatan menolak untuk melakukan sumpah li’an. Jika isterinya tidak mahu melakukan li’an (sumpah penafian), maka isterinya akan direjam.

Dengan pemahaman di atas, adalah jelas bahawa qadzaf  hanya dikenakan ke atas kes zina dan bukannya kes liwat. Ini adalah suatu kesalahan yang sangat jelas dalam meletakkan hukum. Maka apa yang berlaku ke atas  kes Saiful Bahri dengan Anwar Ibrahim merupakan suatu pertuduhan liwat dan bukannya pertuduhan zina.

Ingin diterangkan pula di sini bahawa fakta zina adalah berbeza dengan fakta liwat. Kedua-duanya adalah berbeza sama sekali. Dalam Islam, liwat tidak dikategorikan sebagai perzinaan dan tidak boleh dikaitkan ke dalam keumuman dalil-dalil syarak yang menyebut tentang perzinaan.

Zina adalah perbuatan memasukkan alat kelamin laki-laki (zakar) ke dalam kemaluan wanita (faraj) secara haram tanpa nikah. Ia melibatkan pasangan yang berlainan jantina (lelaki dan wanita). Sedangkan liwat hanya melibatkan lelaki dengan lelaki, iaitu perbuatan memasukkan alat kelamin laki-laki (zakar) ke dalam dubur laki-laki.

Liwat juga tidak boleh diqiyaskan dengan zina sebab nas yang menerangkan tentang perzinaan tidak mengandungi illat yang membolehkan qiyas untuk dibuat. Selain itu, perbuatan mendatangi wanita pada duburnya (memasukkan zakar ke dalam dubur wanita) juga tidak dinamakan liwat kerana liwat bukan memasukkan alat kelamin ke dalam dubur semata-mata, tetapi ia melibatkan sesama jantina. Walaupun perbuatan mendatangi wanita pada duburnya adalah haram, tetapi ia tidak termasuk dalam hukuman hudud sepertimana liwat. 

Dengan demikian, zina adalah berbeza dengan liwat dan tidak boleh sama sekali diqiyaskan dengan zina. Adapun bagi hadis di bawah ini,

“Jika seseorang laki-laki mendatangi laki-laki yang lain, kedua-duanya adalah penzina. Jika seorang perempuan mendatangi perempuan yang lain, kedua-duanya adalah penzina”. 

Di dalam isnad hadis ini, terdapat Muhammad bin Abdurrahman Abu Hatim yang mendustakannya. Manakala Imam Baihaqi mengatakan bahawa ‘aku tidak mengetahuinya dan hadisnya adalah mungkar’. Seandainya kesahihan hadis ini diakui, maka maksud daripada hadis tersebut adalah tasybih (penyerupaan/penyamaan), yakni meliwat adalah sama seperti orang-orang yang berzina. Namun, tidak ada sebarang dalil atau nas yang menunjukkan bahawa Rasullullah SAW pernah meletakkan ketetapan hukum atau pernah menghukum mana-mana peliwat sama seperti hukuman penzina. (sila rujuk SN 207 – KISAH ANWAR, SAIFUL DAN . . .)

Adapun bagi hukuman liwat, di dalam uqubat Islam telah dijelaskan bahawa liwat dibuktikan dengan adanya pengakuan. Maka di sini kita perlu memahami bahawa Saiful Bahri pernah bersumpah dan sumpah  Mohd Saiful mengandungi dua unsur; iaitu,

(1)Pengakuan yang dia diliwat dan

(2) tuduhan bahawa Anwar meliwatnya.

Bagi ‘Pengakuan’ yang telah dilakukan (dia diliwat), maka hal ini wajib ditanya oleh Qadhi, sama ada liwat tersebut berbentuk paksaan atau sukarela? Jika dipaksa, maka ia perlu diperhalusi lagi, adakah paksaan tersebut bersifat ‘bersangatan’ (ikrahul mulji’) yang boleh membawa kepada kematian atau kecederaan yang berat, atau sekadar paksaan yang tidak memudaratkan? Qadhi perlu meneliti perkara ini agar perlakuan liwat tadi boleh ditentukan statusnya sama ada termasuk ke dalam perkara penganiayaan (jika ikrahul mulji’) atau kemaksiatan (jika dilakukan secara sukarela atau paksaan yang tidak memudharatkan).

Jika ia termasuk ke dalam penganiayaan dan dapat dibuktikan, maka Anwar Ibrahim wajib dipanggil untuk membela diri. Namun sebaliknya, jika perlakuan liwat itu berupa kemaksiatan, dengan sukarela atau tanpa paksaan yang bersangatan, maka Saiful Bahri wajib dijatuhi hukuman bunuh sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Barangsiapa yang kalian dapati sedang melakukan perbuatan kaum  Luth (yakni liwat), maka bunuhlah kedua-duanya (yang meliwat dan diliwat)” [HR Imam lima kecuali An-Nasa’ie]

Manakala bagi hal ‘Tuduhan’ pula, Saiful Bahri mesti membawa 2 orang saksi sebagai bayyinat (pembuktian) yang sah di sisi syarak untuk membuktikan dia diliwat. Dalam hal ini, dia mesti mendatangkan dua orang saksi, atau dia boleh bersumpah (bukan mubahalah) sebagai salah satu kesaksian, dan dia mesti datangkan seorang lagi saksi (lihat Syeikh Ahmad Daur dalam kitabnya, Ahkamul Bayyinat fil Islam). Jika dia gagal, maka Saiful Bahri layak dikenakan hukuman kerana menuduh orang tanpa bayyinat (saksi) dan selepas itu (selepas dia dihukum) kes tersebut ditutup. Jika dia berjaya membuktikan kesnya, maka Anwar Ibrahim mesti dipanggil untuk menyatakan pembelaannya. Wajib bagi Qadhi mendengar hujah dan pembuktian daripada kedua-dua belah pihak sebelum memutuskan hukuman.

Jika terbukti kedua-duanya melakukan liwat secara sukarela, maka kedua-duanya dihukum bunuh. Sebaliknya, jika Saiful Bahri dapat membuktikan bahawa dirinya dipaksa (dengan paksaan bersifat bersangatan/ancaman bunuh), maka hukuman tidak dijatuhkan ke atasnya.

Berkenaan ‘jenis’ mahkamah yang menjalankan perbicaraan mereka berdua, kita semua sudah sedia maklum bahawa  mahkamah di Malaysia berpegang teguh kepada Perlembagaan Lord Reid ciptaan penjajah dengan undang-undang yang telah dicipta dan digubal oleh manusia di Parlimen yang sudah barang pasti sumbernya bukanlah daripada al-Quran mahupun as-Sunnah, tetapi daripada akal manusia yang serba dangkal. Sudah pasti hukum tersebut tidak layak untuk dijalankan dan diterapkan ke atas manusia. Walaupun kes ini dibicarakan di “mahkamah syariah” Malaysia sekalipun, ia tetap tidak menepati hukum syarak kerana sumber hukumnya adalah tetap sama. Wallahua’lam. (Untuk bacaan lanjut sila rujuk SN207 – Kisah Anwar, Saiful dan…) .