Ibu Idaman Anak

Oleh: Syamsiyah Jamil 

Pada mana-mana peringkat usia, anak-anak memerlukan ikatan emosi dengan ibu yang melebihi ikatan fizikal. Walaupun kehadiran fizikal ibu sangat penting, ia tidak akan bermakna jika ibu hanya bersama anak sepanjang masa tetapi terlalu sibuk dengan pekerjaan dan anak terleka dengan peranti elektronik. Jika situasi ini berterusan, anak akan mulai merasa bahawa ibunya tidak menyayanginya. 

Anak-anak memang suka apabila ibu mereka selalu mengungkapkan kata-kata sayang seperti “Ibu sayang Kakak/Adik” atau “I love you soooo much“. Ada anak yang mengharapkan kata-kata tersebut diucapkan setiap hari, manakala ada yang telah merasa malu mendengarnya. Hakikatnya, kasih sayang tidak selalu harus diungkapkan dengan kata-kata, tetapi lebih penting lagi diperlihatkan melalui tindakan. Ibu boleh melakukan sekurang-kurangnya tiga perkara ini untuk membuktikan kasih sayang kepada anak: 

1. Memahami Minat Anak

Setiap anak dilahirkan dengan potensi dan kecenderungan yang berbeza. Seiring dengan pertambahan usia, anak-anak akan mulai mempunyai minat mereka sendiri mengikut potensi dan kecenderungan masing-masing. Dalam hal ini, ibu memainkan peranan penting dengan membantu anak mengenali sama ada minat mereka selaras dengan tuntutan Islam dan sesuai dengan peringkat umur mereka. 

Ini merupakan peluang bagi ibu untuk lebih memahami karakter anak dan menyesuaikannya dengan kehidupan keluarga. Selanjutnya, ibu perlu memberikan ruang dan peluang yang sewajarnya kepada anak untuk meneroka minat mereka. Sebagai contoh, jika anak minat melukis, ibu boleh menyediakan peralatan melukis dan ruang khusus di rumah. Cara ini akan membuat anak merasa dihargai oleh ibunya. 

2. Pendengar yang Setia

Setiap kali anak meminta ibu untuk mendengar cerita atau pertanyaan mereka, mendengarkan dengan sepenuh perhatian sangat penting. Mendengar sahaja tidak cukup, tetapi ibu juga perlu memahami dan merasakan apa yang anak cuba sampaikan. Ketika mendengar, ibu perlu bersikap tenang dan tidak terburu-buru agar anak merasa aman dan percaya kepada ibunya. Anak yang percaya kepada ibunya akan lebih mudah menerima nasihat. Ini sangat penting bagi ibu yang mempunyai anak remaja, kerana pada peringkat ini mereka mudah terpengaruh oleh rakan sebaya. Untuk mengelakkan anak mudah terpengaruh dan percaya kepada rakan yang tidak baik, ibu perlu menjadi kawan dan orang yang dipercayai oleh anak terlebih dahulu. 

Anak yang belum matang akalnya sering kali terlalu bersemangat untuk menyampaikan apa sahaja yang ada dalam fikirannya tanpa mempertimbangkan waktu dan tempat yang sesuai. Dalam keadaan ini, ibu perlu bijak menilai apa yang anak cuba sampaikan. Ibu tidak boleh mencelah sehingga anak selesai berbicara. Cara ini akan membuat anak faham bahawa ibunya sentiasa berminat dan setia mendengarnya. 

3. Pemotivasi yang Bijaksana

Secara semulajadi, setiap anak mempunyai motivasi dalaman mereka sendiri seperti rasa ingin tahu dan keinginan untuk mencuba. Motivasi dan sokongan daripada ibu berperanan dalam membentuk keyakinan diri yang lebih tinggi dan membuktikan kasih sayang ibu terhadap usaha anak. Motivasi yang berkesan perlu disampaikan dengan cara yang bijaksana, bukan dengan memaksa. Jika anak menghadapi kegagalan dalam apa jua usaha yang dilakukan, ibu perlu menjelaskan bahawa kegagalan adalah proses untuk mengenali potensi diri dan peluang untuk memperbaikinya. Memaksa anak bukan sahaja tidak membantu mereka untuk terus berusaha, malah akan menjauhkan mereka daripada ibu. Firman Allah, 

“Dengan sebab rahmat Allah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Jika kamu bersikap keras dan berhati kasar, tentu mereka akan menjauh daripadamu.” [TMQ Ali Imran (3): 159] 

Khatimah 

Memang tidak mudah bagi seorang ibu untuk memenuhi keperluan emosi anak-anak sekaligus keperluan fizikal, mental, dan spiritualnya. Tetapi anak-anak tidak mengidamkan seorang ibu yang sempurna atau yang terbaik dalam semua aspek. Anak-anak hanya mengidamkan seorang ibu yang bahagia agar dapat membahagiakan mereka. Membahagiakan anak-anak adalah tanggungjawab ibu. Ingatlah pesanan Rasulullah SAW, seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar, “Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya. Seorang Amir (raja) adalah pemimpin, seorang suami juga pemimpin bagi keluarganya, dan seorang isteri juga pemimpin bagi rumah suaminya dan anak-anaknya. Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan diminta pertanggungjawaban atas kepimpinanmu.” [HR Bukhari dan Muslim]