Ilmu sebagai Infrastruktur Tamadun: Pemerintahan, Ijtihad dan Pembinaan Institusi – Siri 4

1. Dari Tradisi Ilmu ke Keperluan Struktur

Apabila generasi sahabat, tabi‘in dan tabi‘ al-tabi‘in mematangkan disiplin ilmu – melalui pengumpulan al-Qur’an, pembentukan ilmu hadis, penyusunan usul fiqh dan penginstitusian mazhab – satu asas kukuh telah terbina. Ilmu tidak lagi bersifat spontan atau bersandar pada karisma individu semata-mata. Ia mempunyai kaedah, disiplin dan jaringan transmisi yang tersusun.

Namun sejarah tidak berhenti pada tahap pembinaan metodologi. Apabila wilayah Islam meluas dari Semenanjung Arab ke Syam, Iraq, Mesir, Parsi dan seterusnya ke Andalusia, realiti sosial dan politik menjadi jauh lebih kompleks. Masyarakat kini terdiri daripada pelbagai etnik, bahasa dan latar budaya. Ekonomi berkembang dengan jaringan perdagangan antarabangsa. Pentadbiran memerlukan struktur yang stabil. Persoalan hukum tidak lagi bersifat lokal; ia menjadi persoalan pemerintahan yang meliputi wilayah yang luas dan masyarakat yang pelbagai.

Pada tahap ini, ilmu tidak lagi sekadar membentuk pemikiran; ia perlu membentuk realiti.

Kerangka fiqh dan usul yang telah dimatangkan pada generasi terdahulu – melalui penyusunan disiplin, pembentukan mazhab dan penetapan kaedah penggalian hukum – kini berhadapan dengan persoalan yang lebih luas; bagaimana hukum yang difahami dan disistemkan itu dapat diterapkan secara konsisten dalam masyarakat yang semakin kompleks dan berlapis. Di sinilah keperluan terhadap ijtihad tampil bukan sekadar sebagai proses akademik, tetapi sebagai mekanisme yang memastikan hukum terus hidup dalam realiti.

Dan ini membawa kita kepada peranan pemerintahan Islam – Khilafah – sebagai struktur kuasa yang memikul tanggungjawab ri‘ayah (penjagaan) urusan umat. Pemerintahan bukan sekadar alat kekuasaan; ia adalah kerangka penerapan hukum dalam kehidupan kolektif.

Apabila hukum diterapkan dalam seluruh aspek kehidupan, maka ilmu menjadi nadi sistem.

2. Pemerintahan sebagai Kerangka Penerapan

Sebuah pemerintahan yang menerapkan hukum Allah tidak boleh berfungsi atas dasar semangat atau simbol. Ia memerlukan kejelasan hukum dan ketepatan penerapan.

Kehakiman memerlukan qadhi yang mampu mengeluarkan keputusan berdasarkan dalil. Ekonomi memerlukan kefahaman mendalam tentang zakat, kharaj, jizyah, pengurusan harta awam dan distribusi kekayaan. Pasaran memerlukan pengawasan muhtasib yang memahami batas halal dan haram dalam transaksi. Hubungan luar memerlukan fiqh luar negara yang matang.

Setiap bidang ini tidak boleh dikendalikan oleh orang awam yang hanya mengetahui asas agama. Ia memerlukan kepakaran.

Di sinilah kewajiban ilmu berubah daripada sekadar tanggungjawab individu kepada keperluan sistemik. Fardhu kifayah tidak lagi hanya konsep dalam kitab fiqh; ia menjadi syarat kelangsungan pemerintahan. Tanpa ulama yang mampu berijtihad, penerapan hukum akan menjadi literal dan kaku. Tanpa penerapan hukum, ijtihad akan menjadi perbahasan yang tidak menyentuh realiti.

Hubungan ini menjadikan tradisi ijtihad dan struktur pemerintahan saling bergantung.

3. Ijtihad sebagai Dinamika Kelangsungan Hukum

Ijtihad dalam fiqh adalah usaha bersungguh-sungguh mengeluarkan hukum daripada dalil melalui kaedah yang sahih. Ia bukan kebebasan akal yang mutlak; ia adalah disiplin akal yang terikat dengan wahyu.

Sepanjang sejarah Islam, perubahan realiti sentiasa menuntut ijtihad. Apabila perdagangan maritim berkembang, persoalan kontrak dan risiko menjadi lebih kompleks. Apabila wilayah bertambah, persoalan pembahagian tanah dan cukai muncul dalam bentuk yang baru di. Apabila masyarakat berinteraksi dengan tamadun lain, persoalan adat dan hubungan sosial memerlukan penilaian yang halus.

Dalam semua keadaan ini, sistem pemerintahan yang menerapkan hukum memerlukan jawapan yang sahih. Jawapan itu hanya boleh diperoleh melalui ijtihad. Oleh itu, tradisi ijtihad bukan sekadar warisan akademik. Ia adalah jantung kelangsungan sistem hukum. Apabila ijtihad melemah, penerapan hukum menjadi formalistik. Apabila penerapan hukum terhenti, ijtihad kehilangan konteks sosialnya.

Keseimbangan inilah yang memungkinkan perkembangan tamadun.

4. Dari Halaqah ke Madrasah: Ilmu Menjadi Infrastruktur Sosial

Pada tahap awal, ilmu berkembang dalam bentuk halaqah — lingkaran kecil di masjid yang bergantung kepada kehadiran guru dan kesungguhan pelajar. Model ini melahirkan generasi yang kukuh, tetapi apabila masyarakat Islam berkembang secara geografi dan demografi, keperluannya berubah.

Wilayah yang luas, sistem kehakiman yang kompleks dan pentadbiran yang tersusun menuntut tenaga ilmiah yang bukan sahaja berilmu, tetapi terlatih secara sistematik. Di sinilah madrasah muncul — bukan sebagai inovasi yang terpisah daripada tradisi halaqah, tetapi sebagai evolusi yang diperlukan oleh masyarakat yang semakin berstruktur.

Madrasah Nizamiyyah pada abad ke-11 sering disebut sebagai simbol tahap ini. Ia bukan sekadar pusat pengajian fiqh, tetapi sebahagian daripada ekosistem sosial yang menyokong kehakiman dan pentadbiran. Kurikulumnya memberi tumpuan kepada fiqh, usul fiqh dan disiplin yang berkaitan dengan penerapan hukum dalam kehidupan sebenar. Ini menunjukkan bahawa ilmu agama bukan sekadar perbincangan teoritis; ia menjadi asas operasi masyarakat.

Yang berubah bukan kandungan semata-mata, tetapi bentuknya. Ilmu kini mempunyai tempat tetap, jadual teratur, jaringan guru yang diiktiraf dan kesinambungan yang merentas generasi. Tradisi ijtihad yang lahir daripada disiplin fiqh memerlukan suasana yang stabil agar dapat diteruskan. Tanpa institusi yang mapan, usaha ilmiah akan terhad kepada lingkaran kecil dan mudah terputus.

Di sinilah ilmu berubah daripada warisan peribadi menjadi infrastruktur sosial.

5. Ilmu Dunia dan Tanggungjawab Pemerintahan

Namun masyarakat tidak hanya hidup dengan persoalan hukum ibadah dan kehakiman. Pemerintahan yang memikul tanggungjawab mengurus urusan umat berhadapan dengan realiti yang lebih luas: keselamatan, kesihatan, perdagangan, pengurusan kewangan, navigasi dan pertahanan.

Semua ini menuntut penguasaan ilmu dunia yang matang.

Apabila wilayah Islam mula meluas, pengurusan kewangan awam memerlukan ketepatan matematik. Pertahanan memerlukan strategi dan teknologi. Perdagangan antarabangsa menuntut astronomi yang tepat untuk navigasi dan kalendar. Kesihatan awam memerlukan perubatan yang sistematik.

Ilmu dunia tidak muncul sebagai hiasan intelektual, tetapi sebagai keperluan pentadbiran.

Bayt al-Hikmah di Baghdad memperlihatkan bagaimana pemerintahan menyedari hakikat ini. Projek terjemahan berskala besar, pembangunan algebra oleh al-Khwarizmi dan penyelidikan astronomi berlaku dalam suasana yang disokong oleh dana awam dan kestabilan politik. Ilmuwan bukan sekadar sarjana bebas; mereka bekerja dalam ekosistem yang memungkinkan penyelidikan jangka panjang.

Hospital di Baghdad dan Damsyik pula berfungsi sebagai pusat rawatan dan latihan. Di situ, ilmu perubatan diterjemahkan menjadi khidmat sosial. Pemerintahan memahami bahawa menjaga kesihatan rakyat adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya.

Dalam semua contoh ini, satu perkara menjadi jelas: skala perkembangan ilmu berkait langsung dengan kestabilan dan visi pemerintahan. Tanpa struktur kenegaraan yang menyokongnya, usaha individu tidak akan mencapai tahap tamadun.

6. Struktur Kuasa dan Ekonomi Ilmu: Negara sebagai Kerangka, Wakaf sebagai Instrumen

Perkembangan institusi ilmu pada skala tamadun tidak berlaku dalam kekosongan politik. Ia memerlukan suasana yang stabil, sistem kehakiman yang berfungsi dan pentadbiran kewangan yang tersusun. Di sinilah peranan pemerintahan menjadi asas yang sering tidak disebut secara eksplisit tetapi menentukan arah sejarah.

Apabila hukum diterapkan secara konsisten dan struktur pentadbiran berfungsi dengan baik, lahirlah keyakinan sosial terhadap perlindungan harta, kontrak dan amanah. Kepercayaan ini membolehkan masyarakat merancang secara jangka panjang. Institusi tidak lagi bersifat sementara atau bergantung kepada karisma individu, tetapi berakar dalam sistem yang dilindungi undang-undang.

Dalam suasana inilah wakaf berkembang daripada amal kebajikan individu menjadi instrumen ekonomi institusi. Sejak zaman para sahabat, wakaf telah wujud sebagai bentuk pengabdian harta kepada Allah SWT. Namun apabila pemerintahan Islam stabil dan sistem kehakiman mantap, wakaf memperoleh bentuk yang lebih terstruktur. Dokumen wakaf direkodkan, syarat-syaratnya dilindungi dan pengurusannya diawasi oleh sistem qadhi. Harta yang diwakafkan tidak boleh diubah sesuka hati, sekalipun oleh penguasa. Perubahan ini penting. Wakaf bukan lagi sekadar sedekah jangka panjang; ia menjadi mekanisme pembiayaan institusi pendidikan, perpustakaan dan hospital secara berterusan.

Namun wakaf bukan satu-satunya sumber.

Negara melalui Baitulmal memainkan peranan strategik dalam projek-projek berskala besar yang memerlukan dana awam dan visi jangka panjang. Bayt al-Hikmah di Baghdad berkembang dalam suasana di mana pemerintahan menyediakan pembiayaan untuk projek terjemahan, ganjaran kepada ilmuwan dan pembangunan infrastruktur penyelidikan. Aktiviti seperti ini memerlukan kestabilan kewangan dan perlindungan politik yang hanya dapat disediakan oleh negara yang berfungsi. Dengan itu, kita melihat dua lapisan sokongan yang saling melengkapi:

Pemerintahan menyediakan kerangka, kestabilan dan dorongan strategik, wakaf menyediakan kesinambungan dan daya tahan jangka panjang. Negara memungkinkan skala. Wakaf memungkinkan ketahanan.

Walaubagaimanapun, tanpa pemerintahan yang stabil, wakaf tidak akan berkembang sebagai sistem yang dilindungi. Tanpa wakaf, institusi akan terlalu bergantung kepada perubahan politik. Apabila kedua-duanya berfungsi serentak, ilmu tidak sekadar hidup, tetapi mengakar dan berkembang.

Di sinilah ilmu berubah menjadi infrastruktur tamadun. Ia bukan lagi bergantung kepada individu yang luar biasa, tetapi berdiri di atas struktur kuasa dan ekonomi yang memahami nilainya. Tradisi ijtihad dapat diteruskan kerana terdapat institusi yang menyokongnya. Ilmu dunia dapat berkembang kerana pemerintahan melihatnya sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial.

Tamadun ilmu lahir apabila wahyu membentuk manusia dan sistem. Dengan sistem, negara dapat berfungsi untuk melindungi serta mengembangkan ilmu secara berterusan.

7. Analogi Kontemporari: Negara dan Ekosistem Ilmu

Fenomena ini tidak terhad kepada masa lampau. Dalam dunia moden, negara-negara yang mendahului bidang sains dan teknologi bukan sekadar memiliki ilmuwan yang cerdas, tetapi membangunkan ekosistem pengetahuan yang terancang. Universiti, pusat penyelidikan, industri dan dasar awam diselaraskan dalam satu orientasi strategik. Polisi pendidikan disusun mengikut keperluan nasional. Dana awam dilaburkan dalam penyelidikan jangka panjang. Infrastruktur makmal dan rangkaian teknologi dibangunkan secara sistematik.

Lonjakan kecerdasan buatan (AI) di China bukan berlaku secara spontan, tetapi melalui strategi nasional yang terselaras—pelan pembangunan AI, pelaburan awam besar-besaran, serta penyertaan aktif syarikat seperti Baidu dan Alibaba. Dasar, industri dan pembangunan bakat digerakkan dalam satu hala tuju strategik yang jelas.

Di Amerika Syarikat pula, inovasi berterusan lahir daripada integrasi kukuh antara universiti penyelidikan seperti Stanford University dan Massachusetts Institute of Technology dengan pembiayaan kerajaan melalui agensi seperti National Science Foundation dan DARPA, serta jaringan industri teknologi.

Dalam kedua-dua kes, ilmu diangkat sebagai instrumen strategik negara—bukan sekadar aktiviti universiti, tetapi sebahagian daripada visi kebangsaan dan daya saing jangka panjang.

Hakikat ini memperlihatkan satu prinsip yang jelas: lonjakan ilmu pada skala tamadun memerlukan struktur politik yang stabil, visi yang tersusun dan komitmen kewangan yang berterusan. Tanpa kerangka seperti ini, penyelidikan cenderung terhad dan tidak mampu membentuk arus peradaban.

Sejarah pemerintahan Islam menunjukkan prinsip yang sama pada tahap struktur. Bayt al-Hikmah, madrasah dan jaringan wakaf berfungsi dalam lingkungan pemerintahan yang melihat ilmu sebagai komponen tanggungjawab sosial. Perbezaannya terletak pada asas nilai yang membimbingnya. Namun secara struktural, kesimpulannya serupa: ilmu berkembang menjadi tamadun apabila disokong oleh sistem politik yang stabil dan berwawasan.

8. Keseimbangan antara Ilmu dan Kuasa

Namun hubungan antara pemerintahan dan ilmu tidak sentiasa tanpa cabaran. Peristiwa Mihnah pada zaman Abbasiyah memperlihatkan bahaya apabila kuasa politik melampaui batas dalam menentukan tafsiran aqidah.

Peristiwa tersebut mengingatkan bahawa pemerintahan yang sihat tidak mendominasi tradisi ilmu, tetapi melindunginya. Ilmu memerlukan sistem untuk berfungsi. Sistem memerlukan ilmu untuk kekal lurus. Apabila salah satu melampaui batas, keseimbangan tergugat.

Sejarah Islam klasik memperlihatkan bahawa apabila keseimbangan ini terpelihara, lahirlah dinamika yang subur antara ilmuwan dan pemerintahan.

9. Menuju Kemuncak di Barat Dunia Islam

Apabila tradisi ijtihad matang, institusi pendidikan stabil, struktur ekonomi melalui wakaf kukuh dan pemerintahan berfungsi sebagai pelindung serta penyokong ilmu, maka lahirlah rangkaian pusat tamadun yang saling terhubung di seluruh dunia Islam.

Baghdad menjadi antara pusat terawal yang memancarkan integrasi tersebut. Di sana, fiqh dan hadis berkembang seiring dengan matematik, astronomi dan perubatan. Bayt al-Hikmah, perpustakaan dan jaringan madrasah menjadikan kota itu bukan sahaja pusat politik, tetapi jantung intelektual. Di Kaherah, Damsyik, Nishapur dan Qairawan, institusi ilmu berkembang dalam kerangka yang sama –  dilindungi, dibiayai dan disokong oleh struktur pemerintahan yang stabil. Mobiliti ilmuwan antara kota-kota ini membentuk satu ruang peradaban yang bersambung dan dinamik.

Dalam kesinambungan jaringan inilah Andalusia muncul sebagai manifestasi paling menonjol di Barat dunia Islam. Cordoba mewarisi dan mengembangkan tradisi yang telah matang di Timur, lalu membentuk satu pusat ilmu yang berakar pada disiplin fiqh dan ijtihad, tetapi terbuka kepada pengembangan matematik, perubatan dan falsafah. Perpustakaannya yang luas, budaya penulisan yang subur dan institusi pendidikan yang tersusun bukan kebetulan, tetapi hasil integrasi antara tradisi intelektual dan kestabilan pemerintahan.

Namun peranan Cordoba tidak terhenti dalam lingkungan dunia Islam semata-mata. Melalui proses terjemahan dan interaksi budaya, ia menjadi jambatan yang menghubungkan warisan intelektual Islam dengan Eropah. Di kota-kota seperti Toledo dan kemudian di universiti-universiti awal Eropah, teks-teks yang disaring dan dikembangkan dalam persekitaran Andalusia memasuki arus pemikiran Barat. Ia bukan sekadar kemuncak integrasi ilmu dan pemerintahan, tetapi juga titik peralihan yang memindahkan tradisi tersebut ke dalam sejarah Eropah.

Di sinilah integrasi yang telah dibina selama berabad-abad mencapai tahap pengaruh antara peradaban, sebelum berhadapan dengan cabaran yang akan membentuk bab seterusnya dalam perjalanan tamadun Islam.

Kesimpulan

Ilmu sebagai kewajiban mungkin dapat bertahan tanpa sokongan struktur politik, khususnya dalam bidang agama yang berakar pada komitmen individu. Namun perkembangan ilmu sebagai tamadun – yang merangkumi institusi, penyelidikan, jaringan ilmiah dan kesinambungan generasi –  memerlukan sistem pemerintahan yang stabil dan berfungsi. Tradisi ijtihad memastikan hukum sentiasa hidup. Institusi memastikan kesinambungan generasi ilmuwan. Wakaf melindungi kestabilan jangka panjang. Pemerintahan yang menerapkan hukum menyediakan konteks penerapan dan perlindungan. Apabila unsur-unsur ini berfungsi secara seimbang, lahirlah peradaban yang bukan sahaja bertahan, tetapi mempengaruhi dunia.

Dari titik inilah sejarah peradaban Islam bergerak ke Andalusia – tempat integrasi antara ilmu dan pemerintahan mencapai kemuncaknya sebelum menghadapi cabaran yang cukup besar. Ini akan membentuk perbincangan dalam siri seterusnya.