IM529 – Kekejaman Rejim As-Sisi di Bawah Telunjuk AS-Israel

Sebanyak 529 orang aktivis dan penyokong Ikhwanul Muslimin telah dijatuhkan hukuman mati oleh sebuah mahkamah di wilayah Minya, Mesir. Pejabat Media Ikhwanul Muslimin di London melalui kenyataan media yang dikeluarkannya telah mengecam keputusan kehakiman tersebut yang dikatakan berat sebelah. Dalam perbicaraan yang berlangsung hanya selama dua hari, sebanyak 529 orang defendan telah disabitkan kesalahan dan dihukum mati, manakala sebanyak 16 orang lagi dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.1

Dalam perkembangan yang sama, jurucakap Jabatan Kenegaraan AS, Marie Harf telah mengeluarkan kenyataan mempertikaikan keputusan tersebut. Namun, beliau menegaskan bahawa AS masih lagi melihat kepada kepentingan untuk memelihara hubungan dua hala dengan rejim As-Sisi.2

Terdapat beberapa perkara yang wajar direnungi daripada krisis yang melanda Bumi Kinanah tersebut:

1. Kezaliman rejim As-Sisi dalam menyekat pengaruh pihak pembangkang khasnya Ikhwanul Muslimin. Hal ini jelas ketara melalui tindakan ganas rejim tersebut dalam menamatkan penentangan rakyat Mesir semenjak Presiden Mursi digulingkan pada bulan Julai 2013. Keputusan mahkamah tersebut merupakan sebuah lagi manifestasi kezaliman yang cuba disembunyikan di sebalik keputusan mahkamah yang bertujuan untuk “mengabsahkan pembunuhan beramai-ramai secara undang-undang” (attempt to legalize a massacre).

2. Keputusan mahkamah ini juga menggambarkan betapa rosaknya sistem kehakiman yang digubal berasaskan akal manusia tanpa bimbingan wahyu. Meskipun pihak Kementerian Kehakiman Mesir menafikan campur tangan pihak rejim dalam penghakiman tersebut, namun keputusan yang dikeluarkan itu jelas bermotifkan politik dan bertujuan untuk melenyapkan pengaruh Ikhwanul Muslimin selaku pembangkang terbesar di negara tersebut.

3. Krisis ini secara keseluruhannya juga merupakan antara bukti bahawa perjuangan melalui jalan demokrasi ternyata gagal untuk memenangkan Islam. Walaupun Parti Kebebasan dan Keadilan yang mewakili Ikhwanul Muslimin telah berjaya membentuk kerajaan secara demokratik, namun kerajaan tersebut dapat digulingkan dengan begitu mudah oleh pihak rejim tentera yang sekular. Sejarah telah membuktikan bahawa perjuangan yang sama oleh parti FIS di Algeria pada awal 90-an dahulu, begitu juga dengan parti Rafah di Turki, kedua-duanya turut mendatangkan natijah yang sama. Selaku seorang Muslim, kita sewajarnya tidak mengulangi kesilapan yang sama sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Tidak selayaknya seorang Mukmin itu dipatuk ular dari lubang yang sama sebanyak dua kali” [HR Bukhari & Muslim].

Hizbut Tahrir telah acapkali mengingatkan bahawa jalan menuju perubahan tidak akan sesekali tercapai melalui jalan demokrasi dan Hizbut Tahrir tetap konsisten dengan perjuangan yang ditabanni daripada thariqah (jalan/method) dakwah Rasulullah SAW.3

4. Kemelut di Mesir juga jelas menggambarkan sikap hipokrit AS yang bermuka-muka dalam polisi luar negaranya. AS yang kononnya memperjuangkan demokrasi masih lagi mengekalkan hubungan dengan rejim As-Sisi demi memelihara kepentingannya di Terusan Suez dan rantau Timur Tengah amnya. Hakikatnya, AS merupakan negara yang membekalkan persenjataan kepada pihak tentera Mesir dalam rangka memastikan agar pihak tentera Mesir tunduk kepada polisi AS di rantau tersebut. Setiap tahun, AS memperuntukkan hampir 1.6 bilion dolar AS kepada tentera Mesir sebagai habuan bagi memastikan Mesir sentiasa akur terhadap “Pelan Damai” AS yang hakikatnya bertujuan untuk memelihara kelestarian negara haram Israel.

Wahai kaum Muslimin, sudah tiba masanya untuk kita menyedari hakikat bahawa kemelut yang melanda umat Islam di Mesir bukan sekadar konflik dalaman semata-mata. Jelas bahawa rejim As-Sisi yang zalim itu tidak lebih daripada sekadar bidak catur yang akur kepada telunjuk AS dan sekutunya Israel.

Hanya dengan kembalinya Khilafah atas manhaj kenabian, segala krisis dan kemelut tersebut akan dapat ditangani secara tuntas. Kembalinya Khilafah kelak, Khalifah yang dibai’ah akan memimpin ketumbukan tentera kaum Muslimin yang ikhlas dalam melakukan pembelaan serta menamatkan hegemoni AS-Israel di seluruh dunia. Ayuh, sahutlah seruan Hizbut Tahrir dalam rangka mengembalikan syariah dan Khilafah!

Sumber:
1) Press Release: Mass Sentencing to Death of 529 Egyptians Violates Judicial Norms

2) Egyptian court sentences 529 Brotherhood members to death; Reuters March 24, 2014  
3) SN 247: Mesir Bangkitlah Menuju Perubahan Hakiki dengan Khilafah