Indek Rasuah Meningkat. Simptom Kepada Penyakit Kapitalisme

altRasuah: Malaysia merudum lagi, negara Islam tercorot

KUALA LUMPUR
, 25 Sept: Ketika Pulau Pinang diiktiraf kerana usahanya memerangi rasuah oleh Transparency International (TI), Malaysia terus merudum dalam Indeks Persepsi Rasuah apabila berada pada kedudukan ke-47 pada tahun 2008 berbanding tangga ke 43 pada tahun 2007.

Malah, kedudukan Malaysia lebih buruk dari Israel yang dilabel sebagai entiti haram pengganas dan negara yang dianggap kurang membangun seperti Botswana dan Bhutan. Israel berada pada kedudukan ke-33, Botswana ke-36 manakala Bhutan berada pada kedudukan ke-45.  Paling mendukacitakan ialah apabila indeks yang dikelaurkan oleh TI itu menunjukkan negara-negara umat Islam tidak mengamalkan ajaran Islam yang memerangi rasuah.  Negara-negara seperti Somalia, Iraq, Afghanistan dan Sudan berada di tangga paling bawah. Somalia berada di kedudukan tercorot iaitu ke-180, Iraq ke-178, Afghanistan ke-176 dan Sudan ke-173.   Negara yang berada di tempat teratas ialah Denmark diikuti oleh New Zealand, Sweden dan Singapura.   Di Malaysia, negara menanggung kerugian sebesar RM10 bilion setahun akibat rasuah – iaitu jumlah yang mencukupi untuk membina lebih dari 150,000 kos rendah jika diambilkira permohonan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) kepada kerajaan untuk menaikkan harga rumah kos rendah kepada RM60,000.   Dalam laporannya, TI membangkitkan amalan keluar masuk yang berterusan di antara bidang politik dan perniagaan di mana pihak tertentu bertukar-tukar tempat dari kedudukan sebagai ahli politik kepada ahli perniagaan atau dari ahli perniagaan kepada ahli politik dan terus keluar masuk di antara kedua-dua bidang itu.   Keadaan itu, menurut TI, mengakibatkan pengaruh yang negatif kepada konsep semak dan imbang. 

Laporan tersebut juga menyatakan bahawa hubungan serba kompleks antara politik, sektor awam dan sektor swasta itu mungkin mengakibatkan rasuah berlaku dengan bebas tanpa sebarang hukuman.   Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low berkata, usaha mencegah rasuah di negara ini tidak ubah seperti melepas batuk di tangga sahaja jika tidak dilaksanakan tindakan drastik untuk memisahkan hubungan selesa antara kerajaan, perniagaan dan politik.   Low berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula tidak memperlihatkan hasil yang diinginkan dan orang ramai menganggap suruhanjaya itu mengamalkan penyiasatan dan pendakwaan secara berpilih-pilih.   Satu-satunya sisi yang positif dari laporan tersebut mengenai Malaysia ialah pengiktirafan yang diberikan kepada kerajaan Pulau Pinang dalam memerangi rasuah.   Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyatakan pihaknya menerima pujian itu dengan rendah hati.   Beliau juga mengumumkan bahawa Pulau Pinang berjaya mengurangkan RM36 juta atau 12 peratus perbelanjaan operasi hasil usaha memerangi rasuah itu. _
 
Sumber : HarakahDaily, 26/09/09

Indek Rasuah Meningkat. Simptom Kepada Penyakit Kapitalisme

Peningkatan indeks rasuah ini memberikan gambaran awal bahawa di Malaysia nampaknya semakin ramai yang mengundangkan laknat Allah dan RasulNya. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

“Allah melaknati pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam hukum.”
  [HR al-Tarmizi, Ahmad & Ibnu Hibban].

Dari Ai’syah r.a., katanya:

“Rasulullah s.a.w. melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah .” [HR al-Bazzar & Abu Ya’la]. 

Dari Thauban katanya:

“Rasulullah s.a.w. melaknati pemberi rasuah dan penerima rasuah dan perantaranya,” [HR Ahmad & Hakim].

Gejala rasuah ini sebenarnya adalah sesuatu yang lumrah dalam kehidupan dunia Kapitalisme. Kewujudan rasuah dalam dunia Kapitalisme adalah ibarat watak “upin’ dan “ipin” – sesuatu yang tidak dapat dipisahkan. Laporan indeks rasuah ini memperlihatkan kepada kita bahawa pemikiran masyarakat Malaysia telah banyak dicemari dengan Kapitalisme di mana ramai meletakkan manfaat sebagai sasaran utama dalam kehidupan mereka. Islam pula meletakkan keredhaan Allah SWT sebagai matlamat kebahagian kehidupan seseorang itu. Persoalannya, mengapa gejala rasuah ini nampaknya semakin membarah di negara ini? Hakikatnya, para pemimpin negara dan mereka yang memegang kekuasaan pada hari ini kebanyakannya adalah orang Islam?

Nampaknya kewujudan SPRM masih gagal untuk membendung gejala ini dari terus membarah dalam masyarakat. Undang-undang dan hukuman yang ada pada hari ini tidak mampu untuk mencegah masyarakat dari melakukan perbuatan yang dilaknat oleh Allah dan rasulNya ini. Ini memberikan kepada kita petanda dan petunjuk yang jelas bahawa sebenarnya pemerintah sekular yang ada pada hari ini telah terbukti gagal dan akan pasti gagal untuk membentuk dan melahirkan masyarakat yang menolak rasuah. Yakinlah wahai umat Islam! Selagi Islam tidak dijadikan asas untuk mengatur kehidupan individu, masyarakat dan negara maka selama itulah penyakit rasuah ini akan terus subur. Hanya Daulah Khilafah sahajalah yang akan bersedia untuk menerapkan Islam secara kaffah dalam kehidupan di dunia ini. Sudah tiba masanya untuk umat Islam yang mencintai dan ingin menggapai redha Allah SWT agar berusaha untuk mengembalikan Khilafah Islam untuk kedua kalinya. Ini adalah perkara yang dijanjikan dan merupakan kewajiban ke atas seluruh umat Islam saat ini.