Inilah konsep sebenar “wakil rakyat” dalam demokrasi

Selain perang dengan parti seteru, perang dalaman sesama sendiri turut bermula apabila kebanyakan parti telah mengemukakan calon masing-masing untuk diketengahkan dalam PRU15 yang bakal tiba.

Baik parti sekular mahupun parti yang berasaskan Islam, suara-suara tidak berpuas hati telah mula kedengaran. Ada bilik gerakan parti yang baru dibuka, kini sudah ditutup gara-gara spekulasi yang bertiup kencang bahawa calon-calon tertentu tidak terpilih.

Ada pimpinan parti yang cuba “memujuk” calon yang tidak terpilih dengan menyatakan bahawa perjuangan parti bukan sahaja melalui pilihan raya, tetapi lebih daripada itu.

Ada pula pimpinan parti yang terpaksa bermain emosi meminta mereka yang tidak terpilih agar berlapang dada dengan keputusan parti dan redha dengan ketentuan Allah.

Apa yang menambah panas ialah kerana mereka yang tidak terpilih sebagai calon ini biasanya merupakan otai-otai parti yang mempunyai ramai pengikut, yang menyebabkan gelombang konflik dalaman parti semakin membesar.

Pendek kata, siri perang dalaman ini akan terus berlanjutan dan kita akan dapat menyaksikannya sehinggalah menjelang PRU nanti. Kita telah pun menyaksikan sejak dulu yang sesebuah parti boleh tewas di beberapa kawasan gara-gara perebutan calon, di mana wujudnya undi protes daripada ahli-ahli mereka sehingga menumbangkan calon parti mereka sendiri.

Sedar atau tidak, inilah realiti politik demokrasi yang mana semua calon pilihan raya adalah ditentukan oleh pemimpin tertinggi parti. Tidak akan ada siapa pun yang dapat menjadi calon sekiranya tidak mendapat restu daripada ketua parti, baik itu parti sekular mahu pun parti Islam.

Manakala sudah merupakan tabiat mana-mana pemimpin pun, yang mereka tidak akan memilih atau melantik orang yang mereka tidak suka, apatah lagi yang tidak sehaluan dengan mereka atau sering mengkritik mereka, sebagai calon pilihan mereka.

Inilah penipuan nyata demokrasi yang terjadi secara berulang-ulang di depan mata kita setiap kali menjelang pilihan raya. Demokrasi menyatakan bahawa ia adalah pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat. Ini kerana, adanya pilihan raya dalam sistem demokrasi yang kononnya rakyat diberikan hak memilih wakil mereka untuk mewakili mereka di Parlimen.

Hakikatnya, tidak pernah ada “wakil rakyat” dalam sistem demokrasi, kerana calon-calon yang bertanding sebenarnya dan sesungguhnya merupakan “wakil parti”. Mereka dipilih oleh parti, dibiayai oleh parti, dan terbukti hanya berkhidmat kepada parti selama hidup mereka, sejak dan selagi mereka berada dalam parti tersebut.

Jadi, umat Islam seharusnya mengambil iktibar dengan perbalahan dalaman yang sedang mereka saksikan sekarang ini, hanya gara-gara perebutan untuk menjadi calon. Apa iktibarnya? Iktibarnya ialah bahawa calon-calon tersebut bukanlah mewakili rakyat pun, tetapi hanya mewakili parti dan ternyata hanya mementingkan diri sendiri sahaja dalam rangka mendapatkan sebuah kerusi.

Manakala iktibar terpenting buat umat Islam ialah, mereka seharusnya sedar bahawa ini adalah antara penipuan terbesar demokrasi yang dapat disaksikan di depan mata sejak berpuluh tahun lamanya, khususnya setiap menjelang pilihan raya.

Wallahu a’lam.