Islam bukan punca balah dengan Barat – Abdullah
MADRID 15 Jan. – Islam tidak boleh dijadikan penyebab atau punca berlakunya perbalahan yang melanda antara dunia Islam dengan dunia Barat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Sebaliknya, menurut beliau, masalah yang berterusan di Afghanistan, Iraq, Bukit Golan di Syria, Lebanon dan Palestin berpunca daripada sikap menunjuk-nunjuk oleh kuasa besar dunia.
‘‘Akibatnya, masyarakat Islam berasa terhina dan ini menjadi punca utama mereka hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap Barat,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian pada Forum Tahunan Pertama Perikatan Ketamadunan yang diadakan di sini dengan matlamat untuk merapatkan jurang antara negara dan budaya di seluruh dunia serta membentuk perkongsian baru bagi menggalakkan persefahaman sejagat.
Ketika berdepan dengan isu-isu itu, Perdana Menteri berkata, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa menangani masalah ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana persoalan yang cuba dirungkai itu dilingkari dengan masalah membabitkan isu-isu budaya dan peradaban yang amat meluas.
Oleh itu, kata Abdullah, cara terbaik untuk menyelesaikan masalah antara Barat dan Islam ini ialah dengan menangani kedua- dua isu secara serentak kerana ia telah menjadi saling berkait antara satu dengan lain.
Perdana Menteri juga menegaskan bahawa terdapat kumpulan berpengaruh di Barat mahu masyarakat Islam, ketika mereka membangun dan bergerak maju dalam konteks material, mengasingkan soal kepercayaan agama daripada masyarakat sekeliling.
Kumpulan itu, katanya, mahu melihat masyarakat Islam menjadikan isu agama sebagai sesuatu yang peribadi kerana ia tidak mempunyai pengaruh besar terhadap masyarakat sekitar.
Bagaimanapun, ini tidak berlaku di banyak negara Islam mungkin kerana terdapat keinginan untuk melindungi identiti Islam di tengah-tengah arus permodenan yang mempunyai norma-norma sekularnya tersendiri.
Penganut Islam juga, tegas beliau, mungkin melihat globalisasi hanya sebagai satu dimensi yang menekankan soal kejayaan materialistik dan bertentangan dengan usaha mereka untuk mencari matlamat sebenar kewujudan manusia di dunia.
“Adalah tidak mungkin masyarakat Islam boleh menjadikan agama sebagai satu soal peribadi kerana tonggak Islam ialah tauhid iaitu satu pegangan holistik yang menjadi teras seluruh kehidupan dan manifestasinya.
“Nilai-nilai tauhid seperti yang terkandung dalam al-Quran boleh diguna pakai untuk kemajuan politik dan ekonomi serta hubungan budaya dan antara kaum,” jelas beliau.
Bagaimanapun, jelas beliau, ini tidak bermakna masyarakat Islam bertekad untuk mewujudkan lebih banyak ‘negara Taliban’ di merata tempat.
Penganut ajaran Islam yang sebenar tidak akan meminggirkan soal akauntabiliti kaedah kepimpinan politik atau mengenepikan soal keadilan semata-mata kerana mahu kekayaan, semuanya di atas nama kemajuan ekonomi.
Selain itu, tegas Abdullah, kerajaan di negara-negara Barat juga tidak seharusnya berasa resah apabila masyarakat Islam cuba meneruskan kehidupan berlandaskan ajaran al-Quran dan sunah Rasulullah.
Sebaliknya, mereka perlu melihat apa yang dilakukan oleh umat Islam itu sebagai satu lagi kepelbagaian hidup dalam realiti kehidupan semasa.
Masyarakat, katanya, perlu mengakui terdapat mereka yang terus berpegang kepada nilai-nilai keagamaan, walaupun terdapat banyak kerajaan dan masyarakat Barat ‘enggan menerima’ keperluan dan tidak akomodatif terhadap isu-isu agama lain, kecuali agama yang mereka anuti.
“Biar saya tekankan di sini, Islam menghormati budaya dan kepelbagaian agama. Bagaimanapun amat malang perkara ini tidak diberikan penekanan yang sepenuhnya oleh Barat.
“Saya juga ingin menegaskan bahawa Islam tidak pernah menghalang pertumbuhan ekonomi dan pembangunan,” tegasnya lagi.
Masyarakat Islam yang progresif atau apa yang dipanggil Islam Hadhari di Malaysia, kata Perdana Menteri, menekankan pembangunan modal insan dan ia perlu dijadikan fokus utama dalam memacu pembangunan ekonomi.
Oleh itu, soal pendidikan yang berkualiti sepanjang hayat adalah kritikal untuk manusia dan pembangunan ekonomi.
Menyedari wujudnya masalah kemiskinan dan kemunduran boleh menyebabkan ketidakstabilan dari segi hubungan kemanusiaan, katanya, dunia Islam sedang mengambil langkah untuk menangani masalah tersebut.
Sebagai contoh, Malaysia telah mengambil daya usaha mewujudkan Forum Ekonomi Islam Dunia dengan matlamat meningkatkan kerjasama perdagangan dan pelaburan di kalangan negara-negara Islam.
Forum dua hari yang bermula hari ini dirasmikan oleh Presiden Sepanyol, Jose Luis Rodriguez Zapatero.
Forum itu diwujudkan atas inisiatif kerajaan Sepanyol dan Turki pada tahun 2005 di bawah naungan PBB dan ia disokong oleh Group of Friends yang dianggotai masyarakat dari 75 buah negara dan badan serta pertubuhan antarabangsa.
Sumber: Utusan Malaysia 16/01/08
Ulasan:
Allah swt berfirman,
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka” [TMQ al-Baqarah:120].
“…mereka tidak akan berhenti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu, mereka suka apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi.” [TMQ Ali Imran (3):118].
“..mereka tidak henti-henti memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka mampu” [TMQ al-Baqarah (2):217].
Berdasarkan wahyu Allah di atas, kita harus memahami erti permusuhan antara barat dan Islam dari aspek yang benar. Permusuhan Islam-Barat bukanlah atas alasan budaya atau sikap ingin menunjuk kuasa, namun kebencian mereka adalah atas dasar ‘agama Islam’ itu sendiri. Barat sebagai pengembang Ideologi kufur Kapitalis sudah identik dengan imperialisme (penjajahan) dan pembunuhan. Sekarang mereka telah menukarnya dalam bentuk baru yang dinamakan neo-imperialisme. Umat Islam serta wilayah dudukan mereka dijadikan bidikan dan sasaran penjajahan sama ada bentuk lama atau baru ini di mana Barat tak putus-putus melancarkan peperangan fizikal, peperangan pemikiran (ideological war) dan juga serangan kewangan ke atas dunia Islam. Kebencian kuffar Barat terhadap Islam memang tidak pernah susut, bahkan sampai kiamat mereka tidak akan pernah redha biarpun sesaat. Pelbagai agenda dan strategi, kasar atau seni, mereka langsungkan demi menghancurkan Islam dan umatnya.
Pandangan apologetik Pak Lah terhadap kuffar Barat mencerminkan kedangkalan berfikir yang tidak disandarkan kepada ayat-ayat Allah dalam memahami kebencian dan permusuhan mereka dengan umat Islam. Tindakan mencari-cari jalan tengah (kompromi) agar dunia Islam boleh berhubung dengan Barat hanyalah merupakan paradigma berfikir golongan Muslim moderat yang bercakap tentang Islam untuk memuaskan nafsu Barat. Ia kelihatan intelektual, tetapi sebenarnya gagal berdiri di atas kebenaran Islam, sebaliknya menjadikan Islam sebagai agama yang perlu disesuaikan dengan kehendak Barat.
Puak Kapitalis Barat akan sentiasa menggunakan kelompok Muslim moderat (yang mereka namakan) yang boleh disesuaikan kepada agenda penjajahan alaf baru mereka untuk senantiasa menindas dan menjajah umat Islam. Sementara Kapitalis Barat (yang diketuai oleh Amerika Syarikat) sendiri langsung tidak pernah bersifat moderat, bahkan mereka ini terkenal dengan tindakan keganasan dan ekstremis yang mereka ambil terhadap umat Islam. Untuk menutup segala keganasan dan sikap ekstrem mereka, maka Barat melabelkan, menuduh dan menuding jari kepada kaum ekstremis dan radikal Islam sebagai penjahat yang mana golongan ini sebenarnya bagi mereka boleh mengancam agenda imperialis mereka dan merbahaya kepada ideologi mereka.
Sepatutnya, kita sebagai umat Islam mempunyai satu pendirian atas aqidah yang kita anuti. Jika aqidah yang kita yakini 100% ini dicabar dan ditentang oleh sesiapapun, maka wajar bagi kita mempertahankannya, bahkan tidak cukup sekadar itu, kita harus pula menentang penentangnya sehingga aqidah yang kita anuti menang dan ditinggikan kedudukannya dari akidah yang lain. Barat adalah penganut akidah kufur manakala kita adalah penganut akidah Islam. Kekufuran mesti dikalahkan dan ditundukkan, bukan mesti dikompromikan. Dengarlah kata-kata Allah dan jangan mendengar kata-kata musuh Allah atau pun kata-kata pemimpin yang memaksiati Allah!