Istiqamah UMNO atas dasar apa?

Gambar BL 150416Istilah “istiqamah” sudah sinonim digunakan dalam konteks perjuangan, khususnya perjuangan Islam. Di luar perjuangan, istilah ini juga sering digunakan untuk tujuan-tujuan yang baik agar seseorang terus teguh dengan kebaikan yang dilakukan.

Baru-baru ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak juga dilihat tidak mahu ketinggalan menggunakan istilah “istiqamah” dalam rangka menyeru dan memujuk ahli UMNO agar terus setia dengan UMNO.

Semua orang tahu yang Najib sekarang diserang dari segenap penjuru, termasuk dari dalam UMNO sendiri, dengan pelbagai skandal hasil tindakannya, jadi tidak peliklah jika Najib meminta ahli UMNO agar terus istiqamah bagi memastikan sokongan dari akar umbi UMNO kepadanya terus dapat dipertahankan.

Semua orang tahu yang Najib juga penuh dengan retorik, maka seruan dan istilah yang boleh dijadikan retorik seperti “istiqamah” diharapkannya dapat menjadi talian hayat bagi meneruskan survival politiknya.

Persoalannya, apakah Presiden UMNO itu faham akan seruan istiqamahnya itu?

Imam Qurthubi dalam tafsirnya menjelaskan bahawa “istiqamah” adalah keadaan terus menerus di suatu arah tanpa menoleh ke kanan dan ke kiri dalam mentaati perintah Allah. Dalam konteks yang lebih tuntas, Rasulullah SAW mengaitkan “istiqamah” itu dengan iman, sepertimana sabda baginda SAW kepada sahabatnya, Sufyan bin Abdillah al-Tsaqafiy RA yang meminta nasihat dari baginda,

“Wahai Rasulullah, ajarkanlah kepadaku suatu kalimat yang dapat aku jadikan pegangan, sehingga aku tidak perlu bertanya kepada yang lain’. Nabi SAW menjawab,Katakanlah aku beriman kepada Allah kemudian beristiqamahlah” [HR Muslim].

Dalam mengupas mengenai jawapan Rasulullah SAW ini, Imam Nawawi dalam kitabnya Riyadhus Solihin menerangkan bahawa Rasulullah SAW seolah-olah ingin mengatakan,

“Perbaharuilah imanmu dengan penuh kesedaran, dengan bentuk ucapan yang disertai pengertian dan tanggung jawab atas pengakuan ucapan tersebut.”

Jadi, keimanan dan istiqamah sememangnya dua hal yang tidak dapat dipisahkan. Iman adalah sebuah i’tiqad hamba kepada Tuhannya, sementara istiqamah adalah sikap konsisten dalam menjaga kelangsungan hubungan hamba dengan Tuhannya (Allah SWT) dalam bentuk mentaati perintah dan laranganNya.

Berdasarkan penjelasan dan makna istiqamah di atas, jelaslah bahawa seruan Najib agar ahli UMNO istiqamah dalam meneruskan perjuangan serta taat setia kepada parti adalah seruan yang jauh tersasar dari makna sebenar istiqamah yang dituntut oleh Islam.

Hal ini kerana dasar dan hala tuju perjuangan UMNO itu sendiri tidak pernah selari dengan tuntutan Islam. UMNO merupakan parti yang berdiri atas dasar assabiyyah (nasionalisme), memperjuangkan assabiyyah dan sekularisme (pemisahan agama dari kehidupan), sedangkan assabiyyah dan sekularisme adalah haram di sisi Islam.

Justeru, seruan untuk istiqamah bersama UMNO bermaksud seruan untuk meneruskan dasar dan perjuangan assabiyyah dan sekularisme yang diharamkan oleh Islam!

Ahli-ahli UMNO sewajarnya sedar akan hal ini dan wajib bagi mereka untuk meninggalkan perjuangan yang berasaskan assabiyyah serta sekularisme tersebut, dan seterusnya beralih kepada perjuangan yang berasaskan Islam. Jika itu berlaku maka barulah seruan istiqamah itu menepati makna yang digariskan Islam.