Isu Baitul Maqdis: Erdogan membela atau hanya pandai beretorik ?

ISTANBUL: Presiden Recep Tayyip Erdogan, hari ini mempengerusikan sidang tergempar pertubuhan Islam utama dunia, berusaha mengemudi pemimpin Islam memberikan reaksi kepada pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Berita penuh: https://www.bharian.com.my


Ulasan:

Dalam tindak balas terhadap pengiktirafan Donald Trump yang menjadikan Baitul Maqdis sebagai ibu kota Entiti Yahudi, presiden Turki Recep Tayyip Erdogan antara orang yang begitu lantang menyuarakan bangkangannya terhadap keputusan Donald Trump tersebut. Ia dapat dilihat daripada tindak balas Erdogan dalam sidang tergempar OIC baru-baru ini.

Namun ada beberapa fakta tentang hubungan Turki-Entiti Yahudi yang menjadi tanda tanya iaitu di pihak mana sebenarnya Turki berada. Apabila kita menelusuri semula sejarah, pada tahun 1949 Turki merupakan negara majoriti Muslim pertama yang mengiktiraf entiti Zionis, sejak daripada itulah ekonomi dan ketenteraan Turki- Entiti Yahudi semakin berkembang pesat malah sangat signifikan ketika era kekuasaan AKP sebagai parti pemerintah.

Sebagai contoh perdagangan diantara Turki- Entiti Yahudi pada tahun 2002 ialah sebanyak $1.4b sedangkan pada tahun 2014 peningkatan kepada $5b. Di awal tahun 2017 Turki juga mengisytiharkan tiga kali ganda jumlah perdagangan dengan Entiti Yahudi untuk 5 tahun mendatang dan ia sangat berhasil pada suku pertama tahun 2017 dengan export Turki kepada entiti Zionis Yahudi meningkat sebanyak 20% dan sebaliknya export entiti Zionis Yahudi kepada Turki meningkat dengan 45%. Sebagai tambahan, Menteri Tenaga Turki juga membuat lawatan ke negara Entiti Yahudi bagi menyimpulkan perjanjian projek pembinaan saluran paip gas asli yang menghubungkan Entiti Yahudi -Turki.

Oleh itu, di sebalik retorik Erdogan yang begitu lantang membela tanah suci Baitul Maqdis daripada dijadikan ibu kota entiti Zionis, maka perlu dinilai dan dicermati juga hubungan baik yang telah terjalin sekian lama di antara Turki- Entiti Yahudi agar kita dapat menilai pendirian sebenar Turki terhadap entiti Zionis tersebut.

Abu Irin
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia