Isu Buang Bayi: Lagi Idea ‘Bijak’ Rosmah

sekolah-harapanCadangan tubuh pusat bersepadu bantu remaja hamil
KUALA LUMPUR 1 Okt. – Datin Seri Rosmah Mansor hari ini mencadangkan kerajaan untuk menubuhkan pusat bersepadu bagi membantu golongan remaja perempuan yang melahirkan bayi tanpa berkahwin. Isteri Perdana Menteri berkata, pusat itu diperlukan di negara ini berikutan kes pembuangan bayi yang kian meningkat.  Sehubungan itu, katanya beliau akan melawat “Centre of Integrated Family Welfare” di Brussels, Belgium semasa mengiringi Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) Kelapan di Brussels selama dua hari bermula Isnin ini.  “Lawatan itu akan membolehkan saya mengetahui cara dan langkah sewajarnya untuk mengelakkan berlakunya pembuangan bayi,” katanya pada sidang media selepas melancarkan buku bertajuk “Perkembangan Majlis Kebajikan Kanak-kanak Malaysia 1978” yang diterbitkan Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia (MKKM) di sini, hari ini.  Beliau berkata pusat itu, yang ditubuhkan di bawah kerajaan Belgium, bertujuan untuk mendekatkan lagi perhubungan ibu dengan anak di mana remaja yang tidak berkahwin ini akan diberikan latihan bagi menjalankan kehidupan seperti biasa. – Bernama
Sumber: Utusan Malaysia 01/10/10

Umat Islam Akan Mengikut Yahudi Dan Nasrani Sehingga Ke Lubang Biawak

Begitu hebat idea Rosmah untuk menyelesaikan  masalah gejala sosial!!! Setelah kempen “Kami Prihatin” yang dilancarkan sebelum dari ini, dengan mewujudkan “Baby Hatch”, Sekolah Harapan, memperkenalkan silibus Pendidikan Seks dan sebagainya kini Rosmah muncul dengan idea dan cadangan  agar pihak kerajaan menubuhkan pusat bersepadu bagi membantu golongan remaja perempuan yang melahirkan bayi tanpa berkahwin.

Inilah paradigma yang bercokol di dalam diri umat Islam hari ini termasuklah mereka yang berkuasa mahupun yang dekat dengan penguasa. Tidak ada satupun seruan untuk mendesak kerajaan yang berkuasa di saat ini , yang dipimpin oleh Najib suami kepada Rosmah agar menerapkan Islam dalam seluruh aspek. Apabila muncul masalah di dalam masyarakat hari ini, pihak yang berkuasa atau golongan yang mempunyai lesen besar untuk muncul di media, seperti Rosmah, akan mencadangkan penyelesaian sebagaimana yang diambil dan yang dijalankan oleh Barat. Keadaan ini sebenarnya telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW: “Daripada Abu Sa’id al Khudri ra, beliau berkata : Rasulullah SAW pernah bersabda : “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka”. Sahabat bertanya : “Wahai Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?” Nabi SAW menjawab : “Siapa lagi kalau bukan mereka?” [HR Muslim].

Wahai umat Islam! Inilah senario yang melingkungi dan merantai dan negara kalian saat ini. Masyarakat, terutamanya para pemimpin kalian yang berkuasa hari ini akan mengikuti dan mengambil cara hidup serta perundangan yang datang dari Barat tanpa ada rasa berdosa sedikitpun. Amat sekali apa yang dilakukan oleh para pemimpin sekular umat Islam hari ini.

Wahai umat Islam! Kekuasaan itu adalaah milik umat. Jika kamu merasai para pemimpin yang ada pada hari ini adalah pemimpin yang tidak bersedia menerapkan Islam, maka sudah menjadi kewajiban ke atas diri kamu masing-masing untuk bergerak bagi mendirikan Khilafah – sebuah institusi yang akan membawa kecemerlangan kepada  umat Islam hari ini sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan juga para Khalifah yang terdahulu.

Wahai umat Islam! Jauhilah golongan-golongan yang cuba membawa kalian masuk ke lubang biawak –  tempat yang penuh dengan kegelapan, kesulitan dan kemudaratan.