Amboi Angkuhnya Rosmah

altRosmah tidak risau pengkritik

MUSCAT 20 Jan. — Datin Seri Rosmah Mansor berkata, beliau tidak terganggu dengan komen negatif yang dilemparkan terhadap beliau berhubung lawatannya ke seberang laut. Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata, semua lawatannya diatur selepas beliau menerima jemputan daripada kerajaan atau menteri wanita sesebuah negara yang terlibat. Bercakap kepada media Malaysia pada akhir kunjungan empat hari ke Oman pada Rabu, Rosmah berkata, beliau akan membuat lawatan itu apabila diperlukan bagi menyampaikan ucaptama pada majlis tertentu.  “Jadi, biar mereka kata apa yang mereka nak kata, tapi saya rasa bahawa lawatan ini sangat berfaedah bukan sahaja kepada kita tetapi kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau malah parti apapun yang mereka wakili,” katanya menyentuh mengenai lawatannya terutama ke Oman. 

“Saya berada di sini bukan untuk mewakili seksyen tertentu masyarakat tetapi kami di sini mewakili rakyat Malaysia,” katanya. Rosmah menjelaskan, beliau dan anggota rombongannya diterima baik di sini dan pemerintah Oman, Sultan Qaboos Said sendiri mengambil berat lawatan itu.  Dalam lawatan itu, Rosmah disertai beberapa anggota Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti).  Beliau merupakan tetamu kerajaan Oman, kali pertama dalam tempoh 20 tahun, seorang kenamaan Malaysia diberi keistimewaan itu.  Rosmah juga mengulas mengenai lawatannya ke Arab Saudi baru-baru ini di mana beliau memberi ucapan dalam satu persidangan antarabangsa mengenai pengurusan kualiti menyeluruh dalam pendidikan.

“Saya dimaklumkan di Riyadh bahawa saya dijemput bukan hanya kerana saya isteri seorang Perdana Menteri. Apa yang nyata, mereka menyelidik dan mengkaji untuk melihat apa yang saya sumbangkan kepada pendidikan kanak-kanak terutama bagi mereka berumur di bawah empat tahun. Begitu juga dengan kanak-kanak yang berbakat. “Saya sangat gembira malah di Arab Saudi, mereka mengiktiraf kenyataan tentang kepentingan memberi perhatian kepada pendidikan awal, jagaan ke atas kanak-kanak dan juga kanak-kanak berbakat,” katanya. Kepada pengkritik beliau, Rosmah berkata: “Bagi saya, jika mereka mahu bersungut, saya tidak ada isu. Biarkan saja. Saya hanya lakukan ini sebagai isteri seorang pemimpin.  “Ia adalah tugas dan tanggungjawab saya untuk membantu setakat yang saya mampu terutama yang berhubung usaha untuk memperkasa wanita dan isu-isu kanak-kanak.  “Saya tidak terbabit dalam politik, saya tidak terbabit dengan polisi kerajaan – yang telah dijalankan oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Kabinet. “Kita hanya membantu dari segi masa dan usaha dan (demi) kepentingan kanak-kanak dan mereka yang kurang bernasib baik, jadi apa masalahnya.” – BERNAMA

Sumber : Utusan Malaysia, 21/01/2011

Amboi Angkuhnya Rosmah

Mungkin kerana saat ini orang yang paling berkuasa di Malaysia adalah suaminya selaku Perdana Menteri, maka inilah yang menyebabkan Rosmah tidak merasa risau dengan kritikan dari rakyat. Begitu hebat Rosmah beserta rombongannya mengelilingi dunia sehingga mendapat liputan yang begitu meluas dalam media cetak mahupun elektronik, dalam negara dan juga luar negara, meninggalkan suaminya berseorangan yang sudah pasti ”merindui kepulangannya”, konon kerana membawa tugas yang besar untuk negara.

Persoalan yang ingin rakyat ketahui ialah, wang siapakah yang beliau berserta rombongannya gunakan untuk ekspedisi ”hebat” itu? Begitu nyata nampaknya sandiwara yang dimainkan oleh para pemerintah sekular negeri-negeri umat Islam termasuklah Malaysia saat ini untuk terus memperbodohkan rakyat. Memanglah kritikan rakyat Malaysia ketika ini tidak sebagaimana kemarahan dan kebangkitan rakyat di Tunisia yang mengakibatkan runtuhnya kerajaan sekular pimpinan Ben Ali. Namun apa yang jelas, negeri kaum Muslimin kaya-raya dengan hasil bumi yang melimpah ruah namun para pemimpinnya hidup bersenang-lenang, boleh ke sana dan ke mari  menjelajah keseluruh dunia, tetapi rakyat jelata menderita terbeban dengan tekanan dan desakan hidup yang semakin menghimpit.

Apakah kita akan hanya berdiam diri atas apa yang berlaku? Apa yang kita perlu adalah figur-figur hebat sepertimana yang pernah ditunjukkan oleh generasi sahabat Rasulullah SAW; golongan Muhajirin dan Ansar yang bergerak di atas landasan Islam, yang berani untuk memikul tugas melakukan muhasabah kepada pemerintah sekular umat Islam hari ini dengan memberikan isyarat kepada para kelompok sekular itu bahawa kerakusan dan kekuasaan mereka itu tidak akan kekal selama-lamanya. Ini adalah tanggungjawab kita sebagai kaum Muslimin. Kitalah yang harus menjadi figur-figur ini.

Seperkara lagi yang perlu difikirkan oleh Rosmah ialah, apakah Rosmah sedar bahawa kelak dia akan dihisab di hadapan Allah SWT atas setiap perkara yang dia lakukan dan adakah beliau tidak risau untuk menghadapi keadaan itu kelak? Kalau saat ini kamu tidak risau dengan rakyat namun apakah kamu juga tidak risau dengan hisab Allah SWT di hari akhirat kelak? Hanya Rosmah sahaja yang boleh memberikan jawabannya.