Rosmah Membuat Bidaah Baru

iffRosmah: IFF mampu rapatkan jurang negara Islam-Barat
MONTE CARLO 10 Ogos – Penganjuran Festival Fesyen Islamik (IFF) mampu membantu merapatkan jurang antara negara Islam dan Barat kerana ia secara tidak langsung dapat memberi kefahaman kepada masyarakat dunia terhadap keindahan budaya Islam.  Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, sehubungan itu penjelajahan merentas dunia untuk mempromosikan busana Muslim mampu mengubah persepsi terhadap dunia Islam, memberi inspirasi di samping memperkukuhkan ikatan antara negara.  “Salah satu objektif terbesar IFF adalah menyatukan budaya dan negara untuk memberitahu bahawa melalui fesyen kita merangsang pemahaman dan rasa hormat antara masyarakat yang berbeza agama dan kepercayaan.  “Saya berbangga kerana IFF telah berjaya sampai sebegini jauh untuk mempromosikan busana Islam dan mendapat maklum balas daripada pelbagai latar belakang dan agama di samping memperkukuhkan industri fesyen tersebut ke peringkat lebih tinggi,” katanya.  Beliau berucap pada majlis malam gala amal dan pertunjukan fesyen IFF di The Monte Carlo Sporting Club dekat sini malam semalam. 
Antara pereka fesyen yang terlibat termasuk Datuk Tom Abang Saufi dari Malaysia dan Ghea Panggabean dari Indonesia.  Pada majlis tersebut sejumlah RM789,600 (188,000 euro) berjaya dikumpul menerusi lelongan tiga barangan termasuk foto Putera Monaco, Putera Albert II ketika mengunjungi Sarawak pada dua tahun lalu.  Kutipan itu akan disumbangkan kepada Yayasan Putera Albert II bagi membantu pemuliharaan alam sekitar.   Hadir sama ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Putera Monaco, Putera Albert II; Perdana Menteri Qatar dan isteri, Sheikh Hamad Al-Thani dan Sheikha Noora Abdul Aziz Al Hubaien; Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta pengasas dan pengerusi IFF, Datuk Raja Rezza Shah.  Penganjuran IFF kali ini melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kali dianjurkan di Eropah.   IFF mula diperkenalkan pada 2006 dan sudah memasuki edisi keempat dengan objektif memartabatkan fesyen Islam di mata dunia.  Rosmah yang juga penaung IFF berkata, sebagai perintis dalam menggerakkan fesyen Islam, Malaysia harus mengambil peluang jurang dalam pasaran busana Muslim yang luas memandangkan ia bukan sahaja sesuai dipakai Muslimah tetapi wanita keseluruhannya.  Lebih-lebih lagi, kata beliau, Malaysia sendiri sudah dikenali sebagai sebuah negara yang mengamalkan pendekatan sederhana dalam beragama selain pelopor kepada perdagangan Islam termasuk perbankan dan kewangan Islam dan dikenali sebagai hab halal untuk memasarkan pelbagai produk kepada pengguna Muslim di dunia.  Justeru, beliau yakin, penguasaan pasaran itu mampu menjadi realiti sekiranya semua pelopor pergerakan fesyen Islam meneruskan kesinambungan usaha tersebut.  Rosmah juga menganggap pemilihan kota Monte Carlo sebagai lokasi penganjuran kali ini amat tepat bukan saja untuk mempromosikan fesyen Islam tetapi juga pembuka jalan kepada pasaran Eropah bagi fesyen islamik yang diinspirasikan dari Malaysia dan seluruh Asia. Sementara itu, Albert berkata, penganjuran festival fesyen berkenaan merupakan langkah penting untuk mengubah perspektif negatif dan prejudis terhadap fesyen Islam.   “Acara malam ini sederhana tetapi amat penting untuk mengeratkan persahabatan dan memastikan alam sekitar terus dipelihara dan menyingkirkan ketakutan terhadap busana Muslim,” katanya. – UTUSAN

Sumber: Utusan Malaysia 11/08/10

Rosmah Membuat Bidaah Baru?

Amat pelik lagi melucukan kenyataan yang dikeluarkan oleh Rosmah, ketika Barat mengharamkan dan mengisytiharkan perang terhadap pakaian Muslimah di Perancis, Sepanyol, Belgium dan negara-negara Eropah yang lain, tiba-tiba beliau dan yang sepemikiran sekular dengannya bercakap dengan penuh keyakinan bahawa penganjuran Festival Fesyen Islamik (IFF) tersebut mampu membantu merapatkan jurang antara negara Islam dan Barat! Kuffar Barat telah memukul gendang perang terhadap Islam namun Rosmah masih ’terkial-kial’ dengan IFFnya. Tambahan pula apakah Rosmah layak berbicara tentang busana muslim sedangkan dirinya sendiri tidak berpakaian mengikut apa yang disyariatkan oleh Islam? Bukankah tindakan ini tidak lebih hanya mempermainkan Islam? Apakah Rosmah mengetahui dengan jelas pandangan Islam mengenai pakaian bagi seorang Muslimah? Islam sebagai suatu cara hidup yang sempurna telah menjelaskan secara mendalam bentuk pakaian yang wajib dikenakan oleh seorang Muslimah apabila seseorang itu berada dalam kehidupan khas mahupun kehidupan umum. Untuk itu, adalah amat wajar jika Rosmah ingin memberi komen mengenai busana muslim, beliau perlulah mendalami dan mengkaji pandangan Islam berkenaan busana/pakaian wanita Islam berdasarkan pemikiran yang mustanir, bersumberkan dalil al-Quran dan as-Sunnah dan bukannya bersandarkan nafsu beliau semata-mata.

Lihat: Fikratul Ummah Disember 2008