Isu kedatangan Dr Zakir Naik, apa pengajaran untuk kita?

Gambar artikel (1)Kedatangan penceramah terkenal dari India, Dr Zakir Naik ke Malaysia pada kali ini diselubungi terlalu banyak liputan, hasil sedikit kontroversi yang timbul, berbeza sekali dengan kehadirannya sebelum-sebelum ini. Hindraf dan MIC membantahnya dengan lantang tanpa mengambil kira sensitiviti umat Islam langsung. Dr Ramasamy, Timbalan Setiausaha Agung DAP yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, menggelar Dr Zakir Naik sebagai syaitan, walaupun kemudiannya ditarik balik. Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun dilapor turut meminta pihak polis mengekalkan larangan terhadap ceramah Dr Zakir Naik.

PDRM pula tunduk kepada suara minoriti non-Muslim sehingga membatalkan ceramah Dr Zakir Naik di UTeM Melaka. Bagaimanapun, pembatalan itu ditarik balik setelah KPN diasak oleh suara-suara dari banyak pihak yang menyelar sikapnya. Itu pun beliau tetap tidak mahu mengalah dengan meletakkan syarat pertukaran tajuk jika penganjur ingin meneruskan ceramah Dr Zakir Naik di Melaka itu.

Dalam masa yang sama, terdapat sekumpulan kecil dari umat Islam yang meminta KDN menapis penceramah luar seperti Dr Zakir Naik, yang menunjukkan nada tidak setuju mereka terhadap kedatangan penceramah antarabangsa itu.Gambar artikel (3)

Sungguh terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil dari kekecohan kedatangan Dr Zakir Naik kali ini:

  1. Kebencian orang kafir dan kaum liberal terhadap Islam – Tindakan segelintir pimpinan non-Muslim di Malaysia yang mengecam kehadiran Dr Zakir Naik tidak lain tidak bukan menunjukkan kebencian mereka terhadap Islam. Ini kerana, tidak ada apa yang dibawa oleh Zakir Naik, kecuali dakwah kepada Islam, khususnya dalam masalah akidah sehingga ramai non-Muslim yang telah memeluk Islam hasil ceramahnya. Lebih buruk, ada seorang dua Muslim yang berfahaman liberal turut mengecam uslub dakwah yang dibawa oleh Zakir Naik dan menuduhnya dengan pelbagai tuduhan. Walau apa pun alasan yang diberikan oleh kedua-dua golongan ini (kafir dan liberal), ia tidak mendatangkan apa-apa keuntungan kepada mereka sedikit pun dilihat dari kaca mata Islam, kecuali menambahkan kemarahan sebahagian kaum Muslimin kepada mereka yang ternyata gagal mengawal emosi serta dengan jelas menzahirkan kebencian mereka terhadap Islam.
  2. Keburukan segelintir kumpulan yang menolak orang yang tidak sependapat – Jika ada segelintir orang kafir dan liberal menolak kedatangan Dr. Zakir Naik, hal ini agak mudah difahami. Namun terdapat juga kumpulan yang mengaku diri mereka sebagai pejuang Sunnah, tetapi menolak kehadiran penceramah dari India ini atas alasan ‘penceramah luar’ yang perlu ditapis oleh KDN. Sedangkan ramai yang tahu bahawa isunya bukanlah isu ‘penceramah luar’ kerana kumpulan yang sama sering menjemput dan menerima ‘penceramah luar.’ Isunya sangat jelas, walaupun cuba disembunyikan oleh kumpulan terbabit, iaitu isu perbezaan pendapat. Mereka adalah golongan yang tidak boleh menerima perbezaan pendapat, selain suka memfitnah. Sudah menjadi tabiat kumpulan yang mengaku dirinya paling benar, bukan sekadar suka menyalahkan kumpulan lain, malahan menuduh kumpulan lain sebagai sesat dan menyeleweng, malah sampai ke tahap mengkafirkan kumpulan yang tidak sependapat dengannya. Kedatangan Dr. Zakir Naik kali ini membuka lagi segala kudis dan kurap kumpulan seumpama ini yang suka memusuhi sesama Muslim yang tidak sependapat dengannya.Gambar artikel (2)
  3. Sikap double standard PDRM – Hasil desakan sekumpulan kecil orang-orang kafir yang bencikan Islam, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar membatalkan ceramah Dr Zakir Naik di Melaka. Namun, atas desakan banyak pihak yang menyokong Dr Zakir Naik, KPN akhirnya menarik balik larangan tersebut dengan syarat tajuk ceramah di tukar. Sikap double standard yang ditunjukkan oleh PDRM di sini sangat jelas. Berapa banyak majlis maksiat berupa konsert artis-artis terkenal dari luar negara yang diluluskan dan dibiarkan sahaja oleh PDRM, tetapi majlis agama cuba disekat, malah “tajuk” yang ingin disampaikan pun mesti mendapat “kelulusan” terlebih dahulu. Ini dari satu sudut. Dari sudut yang lain, berapa ramai “penceramah luar” yang sebenarnya tidak pernah dihalang oleh PDRM apabila penceramah tersebut “disukai” oleh pihak-pihak tertentu, walhal terdapat penceramah yang suka menabur fitnah dan menyesatkan orang/kumpulan lain yang tidak sependapat dengan mereka, yang lebih layak untuk disekat.
  4. Nasionalisme – Desakan kumpulan yang mengaku diri mereka memperjuangkan Islam agar PDRM menapis “penceramah luar” seperti Dr. Zakir Naik jelas menunjukkan betapa kumpulan tersebut mengamalkan fahaman wathaniyyah yang diharamkan oleh Islam. Sesungguhnya Islam tidak pernah mengenal sempadan assabiyyah dan wathaniyyah yang dilakar oleh kuffar penjajah yang menjadikan umat Islam terpecah belah kepada lebih 50 buah negara pada hari ini. Umat Islam ialah umat yang satu dan negara Islam ialah negara yang satu. Kuffar penjajah-lah yang memisahkan umat Islam kepada negara-bangsa yang ada pada hari ini sehingga sebahagian umat Islam menganggap saudaranya dari negara lain sebagai “orang luar”. Berdasarkan menurut logik akal dan pegangan kumpulan tersebut, jika Rasulullah hidup bersama kita pada hari ini pun, sudah pasti Rasulullah dianggap “orang luar” yang perlu ditapis oleh KDN, kerana Rasulullah bukan berasal dari Malaysia! Inilah bahana nasionalisme yang ada pada umat Islam sejak runtuhnya Khilafah yang menyatukan umat Islam tidak lama dahulu.Gambar artikel (4)
  5. Dakwah secara intelektual – Umum mengetahui bahawa dakwah yang dibawa oleh Dr Zakir Naik ialah secara intelektual yang mengedepankan hujah, bukannya emosi atau kekerasan. Justeru, jika sesiapa pun yang tidak bersetuju dengannya, baik Muslim mahupun non-Muslim, seharusnya “melawan” beliau juga berdasarkan hujah. Bagi non-Muslim yang merasakan mereka benar (dalam berakidah), tidak sepatutnya melontarkan cacian, makian, tuduhan atau menggunakan apa-apa saluran dalam usaha menyekat dakwah Dr Zakir Naik, tetapi hujah seharusnya di lawan dengan hujah, keintelektualan harus dilawan dengan keintelektualan dan bukannya dilawan dengan cacian atau makian. Manakala bagi PDRM yang juga kelihatan “takut” terjejasnya keharmonian masyarakat akibat dakwah yang dibawa oleh Dr Zakir Naik, sesungguhnya “ketakutan” ini langsung tidak rasional. Hujah yang benar lagi kuat sudah pasti akan dapat mengalahkan hujah yang batil lagi lemah. Inilah ajaran yang dibawa oleh Islam sebagai satu-satunya agama yang benar yang dapat mengalahkan kesemua agama yang lain dari segi kekuatan hujahnya. Kalau orang kafir merasa tergugat atau terancam, hal ini amat wajar sekali kerana akidah mereka adalah akidah yang salah lagi rapuh dan hal ini tidak ada kena mengena dengan keharmonian kaum. Ia adalah persoalan akidah Islam yang sememangnya mengancam akidah kufur dari segi kebenaran dan keintelektualannya (bukan dari segi keharmonian), yang hakikatnya tidak sanggup ditelan oleh mereka yang merasa bersalah.
  6. Dr Zakir Naik ‘dimanfaatkan’ oleh orang politik – Sebagaimana semua maklum, kedatangan Dr Zakir Naik kali ini mendapat liputan yang luar biasa sehingga bukan sahaja PDRM, malah Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut masuk campur dengan menyalahi kenyataan PDRM, bagi memberi laluan kepada beliau untuk berceramah di Malaysia. Bukan sekadar itu, Dr Zakir Naik kemudiannya diberi sambutan dan layanan istimewa oleh Zahid yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri, apabila berkunjung ke pejabatnya. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal-ehwal Islam, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom turut menyambut Dr Zakir Naik dalam pertemuan yang penuh istimewa. Paling istimewa, apabila penceramah antarabangsa itu dijemput untuk bersarapan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak di kediaman Perdana Menteri Malaysia itu sendiri. Kemudiannya, Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang pula mengadakan pertemuan dengan Dr Zakir Naik di Hotel Seri Pasifik, Kuala Lumpur. Dengan kesemua pertemuan ini, hampir pasti tidak akan ada lagi halangan untuk beliau berceramah di sini di lain kali. Inilah “ujian sebenar” bagi pendakwah apabila pemerintah sekular mulai suka kepada mereka dan mereka mulai menyukai pemerintah sekular dan masing-masing saling memuji antara satu sama lain!
  7. Pemerintah double standard – Sambutan baik yang diberikan oleh pemerintah kepada Dr Zakir Naik memanglah suatu yang wajar, jika dilakukan atas sebab persaudaraan Islam dan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah. Namun demikian, ini bukan ajaran politik sekular Machiavelli, kerana berdasarkan ajaran Machiavelli, setiap tindakan politik mestilah berasaskan kepentingan/manfaat. Sifirnya mudah sahaja, tidak akan ada satu tindakan pun yang dilakukan oleh orang politik, jika tidak diiringi dengan kepentingan! Persoalannya cuku-cukup simple, jika Dr Zakir Naik disambut dengan baik, kenapa sambutan yang sama tidak diberikan terhadap individu atau gerakan dakwah yang juga bergerak di bidang dakwah secara intelektual? Malah individu/gerakan ini dipantau dan ditangkap oleh pemerintah kerana menyebarkan dakwah secara intelektual dan ceramah-ceramah mereka sering dihalang! Inilah sikap double standard pemerintah dalam hal ini yang menampakkan kekotoran permainan politik mereka dengan lebih jelas lagi dengan kedatangan Dr Zakir Naik kali ini.
    Gambar artikel (5)

Demikianlah antara beberapa pengajaran yang dapat diambil dari kehadiran Dr Zakir Naik ke Malaysia kali ini. Sesungguhnya hikmah di sebalik setiap kejadian itu merupakan suatu yang ada kalanya diketahui oleh manusia dan ada kalanya tidak. Walau apa pun yang berlaku, dakwah itu wajib dilakukan, amar makruf nahi mungkar itu wajib dilakukan, muhasabah kepada pemerintah itu wajib dilakukan dan menegakkan syariah dan Khilafah itu juga wajib dilakukan, tidak kiralah siapa pun Muslim itu, tersohor atau tidak.

Wallahu a’lam.