Isu MB Selangor: Demi Kepentingan Rakyat Atau Kepentingan Parti?

Kemelut yang menyelubungi isu jawatan Menteri Besar Selangor semakin hangat diperkatakan semenjak kebelakangan ini. Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor telah didesak oleh beberapa pihak dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk melepaskan jawatan beliau bagi memberi ruang kepada Datin Seri Wan Azizah Ismail sebagai penggantinya. Beliau turut menerima tekanan daripada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presidennya, Azmin Ali agar melepaskan jawatan tersebut dengan segera. Namun Khalid bertegas enggan tunduk kepada desakan tersebut dengan mengisytiharkan akan terus menjadi Menteri Besar sehingga tamat penggal pentadbiran 2018.

Sementara itu, Majlis Presiden PR yang turut melibatkan rakan parti-parti komponen, iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dilaporkan akan bersidang dalam tempoh terdekat bagi mencapai kesepakatan dalam isu MB Selangor di samping membincangkan beberapa isu lain.1

Ura-ura penggantian Khalid selaku MB Selangor telah pun bermula sejak awal tahun ini apabila pakar strategi PKR, Rafizi Ramli mengumumkan sebuah perancangan yang dikenali sebagai “Langkah Kajang” yang menyaksikan Ahli DUN Kajang Lee Chin Cheh meletakkan jawatan pada 27 Januari 2014. Tindakan tersebut menimbulkan kemarahan dan kekecewaan rakyat kerana ia dilihat sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap kepercayaan yang diberikan oleh para pengundi Kajang. Di samping itu, tindakan tersebut juga telah menyebabkan pembaziran wang rakyat sebanyak RM1.6 juta bagi menampung kos pilihanraya kecil Kajang N25.2

Rafizi cuba menjustifikasikan pembaziran tersebut melalui penulisan dalam blog miliknya serta mengharapkan agar Langkah Kajang dapat mengukuhkan pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor sekaligus menjadi launchpad menuju Putrajaya.3 Walau bagaimanapun, hasrat tersebut gagal menjadi kenyataan apabila Anwar dikenakan hukuman oleh Mahkamah Rayuan atas kesalahan kes liwatnya. Pencalonan seterusnya diberikan kepada Wan Azizah dengan menggunakan slogan “Dari Kajang Menuju Putrajaya”. Wan Azizah telah menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Chew Mei Fun dan dilantik menjadi Ahli DUN Kajang yang baharu.

Persoalannya,  adakah benar Langkah Kajang ini direncana demi kepentingan rakyat Selangor khasnya dan rakyat Malaysia amnya? Atau sekadar langkah yang muncul daripada rencana perebutan kuasa dan perbalahan dalaman parti semata-mata?

Adakah isu MB ini timbul kerana seluruh rakyat Selangor sendiri tidak berpuashati dengan corak pentadbiran Khalid? Jika benar, mengapakah kajian yang dilakukan oleh Merdeka Centre selama dua bulan (16 Mei sehingga 17 Julai) telah merumuskan sebaliknya? 4

Ternyata bahawa isu ini timbul bukanlah demi memelihara kepentingan rakyat. Sebaliknya, ia lahir daripada perbalahan dalaman PKR serta perebutan kuasa demi meraih jawatan selaku MB di sebuah negeri yang terkaya di semenanjung. Hakikat ini turut disedari oleh seorang penganalisis politik merangkap pensyarah Sains Politik UKM, Profesor Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff yang melihat bahawa perebutan kuasa sebegini akan menyebabkan kepincangan dan nasib rakyat terabai.

“Lalu saya terfikir, mananya perjuangan untuk membelas nasib rakyat dan menegakkan hak rakyat? Nampaknya membela nasib rakyat bukan lagi keutaman pemimpin politik. Kegilaan mereka ialah berebut kuasa dan mengekalkan kuasa. Sesat politik macam ini!” katanya.5

Langkah Kajang dan isu MB Selangor telah membuktikan bahawa ahli Parlimen dan juga ahli Dewan Undangan Negeri sebenarnya tidak mewakili rakyat sebaliknya mewakili kepentingan parti masing-masing. Realiti ini sekaligus telah membongkar kebatilan sistem demokrasi yang kononnya meletakkan kekuasaan di tangan rakyat.

Isu MB Selangor juga membuktikan bahawa Pakatan Rakyat khasnya PKR tidak ubah sepertimana seteru politik mereka, BN. Persoalannya, adakah kita ingin terus menyibukkan diri dalam kancah politik demokrasi yang penuh dengan pertelagahan yang tidak berkesudahan sehingga mengalihkan pandangan kita daripada menuju ke arah kebangkitan yang sebenar?

Sedarlah wahai umat Islam tentang hakikat kebobrokan yang berlaku dan tinggalkanlah demokrasi yang busuk lagi membusukkan ini. Sampai bilakah kalian ingin terus bergelumang dengan sistem kufur ini dengan alasan kononnya untuk memilih kemudaratan yang lebih kecil? Bukankah Islam telah lama menggariskan petunjuk dalam soal sistem pemerintahan? Lalu mengapakah kalian masih berpaling daripadanya dan mencari-cari penyelesaian yang lain? Tepuklah dada dan tanyalah iman. Wallahua’lam.

Sumber:

1) Isu MB: Majlis Presiden PR bincang sebelum raya, Sinar Harian, akses pada 22 Julai 2014. (http://www.sinarharian.com.my/isu-mb-majlis-presiden-pr-bincang-sebelum-raya-1.299561)

2) Langkah Kajang masih berjalan, kata Rafizi Ramli, The Malaysian Insider, akses pada 22 Julai 2014 (http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/langkah-kajang-masih-berjalan-kata-rafizi-ramli)

3) The Kajang Move: Game changer in Putrajaya quest, laman blog Rafizi Ramli, akses pada 22 Julai 2014. (http://rafiziramli.com/2014/01/the-kajang-move-game-changer-in-putrajaya-quest/)

4) Rakyat puas hati cara MB tadbir Selangor, Sinar Harian, akses pada 22 Julai 2014. (http://www.sinarharian.com.my/rakyat-puas-hati-cara-mb-tadbir-selangor-1.301135)

5) Calon MB Selangor, Wan Azizah lebih sesuai, Sinar Harian, akses pada 22 Julai 2014. (http://www.sinarharian.com.my/politik/calon-mb-selangor-wan-azizah-lebih-sesuai-1.299895)