Isu Pembuangan Bayi : Di mana puncanya?
KUCHING 23 Julai – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, isu pembuangan bayi yang semakin menular dalam masyarakat ketika ini perlu dikaji secara mendalam dengan mencari punca utama kenapa kes tersebut berlaku. Beliau berkata, dengan hanya menyediakan tempat untuk bayi-bayi terbuang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab tidak akan menyelesaikan masalah tersebut sebaliknya lebih banyak usaha perlu dilakukan melalui pendekatan agama dan pengukuhan institusi keluarga. “Seperti masalah gatal pada kulit, ia tidak mencukupi hanya dengan menyapu minyak pada bahagian yang gatal, sebaliknya kita mesti tahu kenapa kita menghadapi masalah tersebut sama ada melalui pemakanan dan begitu juga masalah bayi ini kenapa ia berlaku,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada program sesi bersama pemimpin, perpaduan 1Malaysia di sini hari ini.
Katanya kes pembuangan bayi semakin serius sejak akhir-akhir ini dan ia merupakan antara masalah utama dalam masyarakat ketika ini selain masalah penceraian rumah tangga. Menurutnya peranan institusi keluarga yang menjadi asas utama dalam membentuk sebuah mesyarakat yang lebih maju dan bertamadun perlukan perhatian khasnya yang melibatkan pendidikan awal akhlak anak-anak. Mashitah berkata, gaya hidup dalam sesebuah keluarga banyak mempengaruhi cara pemikiran anak-anak hari ini kerana mereka akan lebih mudah meniru apa yang dilakukan oleh orang tua mereka sendiri sama ada ia perbuatan yang baik mahupun sebaliknya. – Bernama
Sumber : Utusan Malaysia 23/07/10
Punca kepada Masaalah buang bayi adalah kerana Syariat Islam Tidak Diterapkan
Tidak sukar untuk memahami permasalahan isu pembuangan bayi ini; Kebanyakan bayi yang dibuang adalah anak zina. Anak zina lahir dari aktiviti perzinaan yang berlaku di antara lelaki dan perempuan. Perbuatan zina itu berlaku apabila lelaki dan perempuan yang bukan mahram terjebak dengan pergaulan bebas. Pergaulan bebas ini berlaku apabila individu yang terlibat memegang prinsip idea kebebasan dalam kehidupan sehingga mereka menganggap bercampur-gaul lelaki dan perempuan dibolehkan dengan pelbagai alasan berlandaskan akal semata-mata. Faktanya, pergaulan dan percampuran bebas ini dibenarkan oleh undang-undang negara. Jadi, kerana itulah negara yang sebenarnya merupakan punca utama idea kebebasan ini berkembang dengan suburnya.
Maka daripada rantaian di atas, kita dapat melihat bahawa kunci permasalahan adalah berpunca daripada negara. Namun, setiap kali isu sosial muncul di dalam kehidupan masyarakat terutama yang melanda umat Islam pada hari ini maka yang hanya dipersalahkan adalah individu dan institusi keluarga. Negara dan perlembagaannya seolah-olah suci, bersih dan putih seperti kapas dan tidak boleh dipertikaikan apalagi hendak dipersalahkan. Para ulama dan cendekiawan langsung tidak pernah mengaitkan masaalah sosial dengan negara dan perlembagaannya, mengapa? Adakah mereka juga bersubahat di dalam mempertahankan sistem kehidupan hari ini yang menjadi punca kepada segala permasaalahan umat? Apabila negara pada hari ini menolak Islam sebagai suatu sistem yang mengatur kehidupan individu, masyarakat dan negara maka sudah pasti kita akan menghadapi 1001 macam masalah seperti mana yang berlaku pada hari ini. Apakah Mashitah tidak faham dengan firman-firman Allah SWT ini;
”Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan”. [TMQ Al- Baqarah (2) : 85].
”Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”. [TMQ Taha (20) : 124].
”Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”. [TMQ Al-A’raaf (7) : 96].
”Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”. [TMQ Ar-Ruum (30) : 41].
Allah SWT telah memberi jaminan bahawa apabila Islam diterapkan, sudah pasti ia akan memberi rahmat kepada sekalian alam. FirmanNya lagi;
”Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”. [TMQ Al-Anbiyaa’ (21) : 107].