Jadikan Ramadhan Madrasah Jiwa dan Medan Perjuangan Anak Muslim Ideal
Oleh: Aliya Ab Aziz
Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan. Ia juga sinonim sebagai bulan perjuangan dan bulan pengorbanan, di mana umat Islam bukan saja menahan lapar dan dahaga, tetapi turut menjadi medan melatih diri untuk mencapai darjat sebagai hamba yang lebih taat kepada Allah SWT. Selain itu, Ramadhan juga menjadi momen untuk refleksi dan meningkatkan spiritual, di mana setiap individu berpeluang untuk memperbaiki diri, memperbanyakkan amalan kebaikan, dan mendekatkan diri kepada Allah dengan penuh kesedaran dan keikhlasan.
Pendidikan anak-anak dalam bulan ini juga perlu dilihat sebagai satu peluang untuk menanamkan nilai perjuangan dan pengorbanan dalam diri mereka. Ramadhan bukan sekadar bulan ibadah untuk individu, tetapi juga kesempatan untuk bertindak secara kolektif membentuk ketaatan kepada syariat, membina kesabaran dalam menghadapi ujian, dan kesediaan berkorban demi agama. Oleh itu, ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak mereka dengan pelbagai pengisian yang dapat membentuk nilai perjuangan, pengorbanan, dan usaha menegakkan Islam dalam kehidupan mereka.
Berikut adalah cadangan pengisian dan aktiviti yang boleh direncanakan oleh ibu bapa sepanjang Ramadhan untuk mendidik anak-anak tentang semangat perjuangan dan pengorbanan:
1. Memperkenalkan konsep perjuangan dan pengorbanan dalam Ramadhan
Dalam mendidik anak-anak tentang nilai perjuangan dan pengorbanan di bulan Ramadhan, ada dua konsep jihad yang boleh diterapkan sebagai pelajaran bagi anak-anak:
a) Jihad al-Nafs (perjuangan diri melawan hawa nafsu):
Ramadhan adalah detik berharga untuk latihan pembentukan nafsiyah diri. Ketika di bulan inilah kita dapat melatih jiwa dan mengukuhkan hubungan dengan Allah melalui pelbagai aktiviti taqarrub ilallah.
Al-Hafidz Ibnu Rajab rahimahullah menyebutkan bahawa Ramadhan mengandungi dua bentuk jihad bagi orang beriman, iaitu jihad di siang hari dengan berpuasa, dan jihad di malam hari dengan melakukan solat malam. Kedua-dua bentuk jihad ini menuntut kesabaran, disiplin, dan keikhlasan dalam beribadah, menjadikannya sebagai medan latihan untuk membentuk keperibadian yang kuat dan beriman.
Selain itu, untuk melatih anak-anak bermujahadah melawan nafsu, mereka perlu diingatkan untuk mengawal emosi dan keinginan. Seperti, menghindari marah atau berlebihan-lebihan dalam makan. Ibu bapa juga boleh mengadakan sistem setiap kali anak-anak berjaya menahan diri daripada melakukan perkara yang dilarang atau membatalkan puasa.
Anak-anak juga hendaklah dibiasakan dengan amalan zikir dan doa harian sepanjang Ramadhan, terutamanya semasa waktu-waktu mustajab. Jelaskan kepada mereka manfaat daripada amalan tersebut.
b) Jihad dalam menegakkan Islam:
Selain perjuangan menundukkan nafsu sendiri, anak-anak juga perlu dididik untuk mengambil ibrah daripada sejarah jihad fi sabilillah umat terdahulu. Kisah-kisah perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat mengandungi banyak ibrah berharga tentang keberanian, pengorbanan, dan keimanan.
Ibu bapa perlu menerangkan kepada mereka bahawa bulan Ramadhan pada masa dahulu sinonim dengan bulan perjuangan kerana banyaknya aktiviti jihad dilakukan semasa era kegemilangan Islam. Anak-anak perlu disampaikan tentang apakah makna dan tujuan sebenar pensyariatan jihad fisabillah, yakni untuk menyampaikan dakwah Islam ke seluruh alam dan menegakkan syariat Allah. Anak-anak juga perlu diajak menghayati usaha perjuangan para sahabat yang mempertahankan Islam dengan mengambil peranan sebagai ejen perubahan dalam kehidupan mereka. Galakkan mereka untuk menyebar-luaskan kebaikan, berkongsi tentang Islam, dan aktif dalam aktiviti seperti dakwah di komuniti. Kaitkan relevansi perbuatan ini dengan usaha perjuangan sejarah umat Islam terdahulu yang tetap istiqamah mempertahankan Islam dalam apa jua keadaan.
Kedua-dua konsep ini boleh dijadikan asas dalam merancang aktiviti pengisian Ramadhan bersama anak supaya tercapai tujuan daripada memaknai perjuangan dan pengorbanan yang benar.
2. Menanamkan niat dan mencipta suasana yang betul
Secara dasarnya, niat merupakan aspek paling awal dan penting dalam setiap usaha kita bernilai amal. Oleh itu, perjuangan dalam Ramadhan mestilah dimulakan dengan hati dan minda yang menanam niat ikhlas kerana Allah. Niat yang lurus inilah yang akan menjadikan usaha dan amal kita bermanfaat serta berkesinambungan, insyaAllah.
Terkait keikhlasan, Ibnu Taimiyah rahimahullah berkata,
“Segala sesuatu yang tidak didasari ikhlas kerana Allah, pasti tidak bermanfaat dan tidak akan kekal.”
Sebagai langkah awal, anak-anak kita perlu diberi kefahaman bahawa puasa bukan sekadar tentang tidak makan dan minum di siang hari, tetapi merupakan latihan untuk menguatkan jiwa dan membentuk ketaatan kepada Allah SWT. Perkara ini boleh dilakukan oleh ibu bapa sebelum masuknya Ramadhan. Ibu bapa boleh duduk bersama anak-anak untuk membicarakan tentang kepentingan Ramadhan, sebab kenapa mesti puasa, dan mengajarkan kepada mereka tentang pelatihan membina jiwa Muslim dari ibadah puasa.
Seiring dengan ini juga, ibu bapa perlu berusaha mencipta suasana yang mendukung nilai-nilai Islam di rumah agar hasrat menjadikan sepanjang bulan Ramadhan sebagai madrasah ketaatan dapat direalisasikan dengan motivasi yang tinggi. Ibu bapa juga boleh memotivasikan anak-anak untuk memilih moto keluarga yang berinspirasikan perjuangan semisal “Ramadhan Keluarga Aina: Kini masanya untuk Berjuang, Masanya untuk Menang“. Boleh juga menghias rumah dengan ayat-ayat motivasi daripada al-Quran dan hadis. Misalnya memaparkan terjemahan ayat-ayat pilihan seperti petikan surah Al Insyirah ayat 6, “Sesungguhnya, bersama kesulitan ada kemudahan”. Anak-anak boleh diajak mentazakkur ayat ini dengan mengaitkan bagaimana menempuhi cabaran di bulan suci ini dengan ganjaran kebaikan yang diperolehi. Dengan cara ini, anak-anak akan lebih memahami hakikat Ramadhan sebagai bulan perjuangan dan pembentukan diri.
Ajarkan juga kepada mereka bahawa Ramadhan bukan waktu untuk menumupukan perhatian pada peribadi, tetapi juga untuk menegakkan nilai-nilai Islam dalam semua aspek kehidupan. Oleh itu, mereka perlu diberi faham bahawa ketaatan sebenar kepada Allah memerlukan keimanan dan keteguhan dalam bertindak/berbuat. Itulah yang sepatutnya tercermin dalam kehidupan individu dan masyarakat buah dari Ramadhan. Sehubungan dengannya, kenalkan juga kepada anak-anak tentang konsep kemenangan melalui ketaatan. Ajarkan kepada mereka bahawa dengan mengikuti perintah Allah secara menyeluruh dan benarlah, mereka dapat menyumbang kepada kekuatan dan kejayaan Islam.
3. Melibatkan anak-anak dalam pelbagai ibadah
Mendidik anak-anak tentang perjuangan dalam Ramadhan turut melibatkan pembiasaan dalam beribadah. Ibadah seperti solat berjemaah, membaca al-Quran, dan bangun untuk qiyamullail adalah latihan yang dpaat membentuk disiplin dan kesungguhan dalam diri anak-anak. Misalnya, apabila anak bangun awal untuk solat Subuh padahal masih mengantuk, mereka sebenarnya sedang memulakan langkah awal perjuangan untuk menundukkan hawa nafsu diri sendiri, melawan rasa mengantuk. Selain itu, amalan membaca al-Quran setiap hari dan ikut serta solat tarawih adalah aktiviti yang memerlukan komitmen dan keistiqamahan, Ini akan melatih mereka tentang ketekunan, serta ketahanan fizikal dan mental. Semua ini akan membantu anak-anak memahami bahawa usaha dan pengorbanan dalam beribadah adalah bernilai besar di sisi Allah dan pasti akan ada ganjaran dari Allah Yang Maha Pemurah.
Jangan lupa juga untuk galakkan anak-anak berdoa tentang perkara yang mereka perjuangkan, seperti sabar, menahan marah, atau rajin dalam beribadah. Semua itu mestilah disandarkan kepada Allah sebagai langkah usaha dan tawakal yang benar.
4. Menerapkan semangat perjuangan umat terdahulu dalam Ramadhan
Konsep perjuangan dalam Ramadhan juga tidak hanya terhad pada ibadah dan pengendalian hawa nafsu, tapi juga terkait kesabaran dalam menghadapi ujian. Oleh itu, ibu bapa boleh menjadikan momen ini untuk mendidik anak-anak melalui penghayatan sirah. Selain memperkenalkan tokoh-tokoh Muslim, anak-anak juga boleh mengambil iktibar dan teladan daripada ikon yang sepatutnya. Misalnya, melalui kisah perjuangan Sumayyah binti Khayyat RA, yang merupakan syahidah pertama dalam Islam, anak-anak boleh diajak merefleksi bahawa perjuangan sejati dalam hidup sebagai Muslim adalah untuk tetap teguh dalam iman meskipun menghadapi pelbagai ujian yang berat. Begitu juga dengan kisah Asma’ binti Abu Bakar RA yang berkorban untuk membantu Rasulullah SAW dan bapanya dalam persitiwa hijrah. Dengan memahami kisah-kisah seumpama ini, anak-anak akan lebih menghargai konsep pengorbanan dan perjuangan dalam kehidupan mereka.
Selain daripada kisah keperibadian individu, pengajaran daripada peristiwa jihad fi sabilillah yang berlangsung dalam bulan Ramadhan seperti Perang Badar, Fathu Makkah, dan Perang Ain Jalut juga penting untuk disampaikan. Anak-anak boleh diberi faham bagaimana kemenangan dalam Islam hanya boleh dicapai melalui iman, usaha, dan kesatuan umat yang benar. Bacakan kisah-kisah seperti ini kepada mereka sambil menekankan nilai-nilai seperti tawakal, strategi, dan persatuan dalam menghadapi cabaran. Tegaskan juga bahawa sejarah yang dicapai umat Islam inilah bukti realiti perjuangan ummah yang mesti dibanggakan dan diteruskan.
Ibu bapa juga boleh mengajak anak-anak membuat projek khas sempena Ramadhan seperti melukis, bina model, atau melakukan sketsa pendek berdasarkan peristiwa sirah ini. Ini membantu mereka untuk lebih mudah faham dan ingat pelajaran daripada kisah-kisah tersebut. Selain itu, jangan lupa ajaklah mereka memuhasabah diri dengan peduli nasib umat hari ini akibat tidak diterapkan pensyariatan jihad dalam kehidupan. Bawa mereka menyoroti berita-berita semasa umat semasa bulan Ramadhan, dan tanamkan cita-cita dalam diri mereka untuk melakukan perubahan terhadap masa depan umat kelak. Inilah juga yang akan menjadi memori indah bagi anak-anak apabila mereka dewasa kelak.
Melalui penceritaan dan perbincangan mengenai kisah-kisah seumpama ini, anak-anak dapat mengetahui bahawa Ramadhan adalah bulan di mana umat Islam melalui perjuangan yang besar dalam sejarah demi menegakkan kebenaran dan agama. Jika, umat terdahulu mendapatkan kekuatan di bulan Ramadhan kerana quwwah ruhiyah yang terpancar dalam perjuangan, maka anak-anak kita hari ini perlu dimotivasi untuk me-recharge keimanan di bulan suci ini agar terbina kekuatan ruhiyah mereka, sebagaimana umat terdahulu.
5. Menggalakkan puasa dengan pemikiran perjuangan dan pengorbanan
Apabila anak-anak merasa putus asa ketika berpuasa, berbanding mengatakan, “It’s okay kalau kamu rasa terlalu letih”, sebaliknya doronglah mereka dengan motivasi terlebih dahulu. Ini sudah pasti perlu dilakukan tanpa pemaksaan kepada anak-anak untuk melaksanakan ibadah puasa. Dorongan dan motivasi lembut seperti, “Adik berusahalah berjuang selesaikan puasa, mudah-mudahan Allah berikan ganjaran penuh. Allah sudah semestinya melihat usaha adik” dan lain-lain, bukan dengan hanya mengulang perlu sabar dalam puasa, tapi tumbuhkanlah rasa tanggungjawab dan kesedaran pada diri mereka untuk memelihara hubungan dengan Allah SWT.
Terangkan juga pada anak-anak bagaimana melalui rasa lapar dan dahaga inilah kita perlu menumbuhkan empati kepada golongan miskin dan pupuk disiplin dalam mengawal keinginan.
6. Melibatkan anak-anak dalam aktiviti bersama komuniti dan melakukan kebajikan
Anak-anak perlu diberitahu bahawa nilai perjuangan bukan hanya bersifat peribadi. Perjuangan bukan tentang memenuhi kepentingan diri sendiri. Tapi ia juga tentang membantu orang lain. Anak-anak perlu cakna akan orang sekeliling, bahkan nasib umat sedunia.
Banyak aktiviti boleh boleh dilakukan bersama komuniti sekitar. Misalnya, membantu sediakan dan hidangkan makanan kepada yang memerlukan, menabung untuk sedekah dan membantu bersihkan masjid serta mengatur majlis iftar. Aktiviti sebegini sebenarnya boleh mendidik anak-anak rasa bersyukur dan menanamkan pemahaman bahawa perjuangan bukan hanya tentang puasa tetapi juga tentang pengorbanan masa serta usaha untuk manfaat orang lain juga. Malah, menjadi insan yang menebar manfaat sangat penting kerana ia adalah tuntunan Rasulullah SAW kepada umat Islam, sebagaimana sabdanya: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.” (HR ath-Thabrani)
Tekankan juga bahawa amalan kebajikan adalah sebahagian daripada perjuangan untuk menegakkan keadilan dan kasih sayang dalam masyarakat. Jadikan tema utama yang diangkat sebagai moto keluarga dalam Ramadhan di awal tadi sebagai motivasi.
7. Merancang rutin harian yang produktif
Akhir sekali, paling penting yang perlu diterapkan pada anak-anak terkait perjuangan adalah tentang konsistensi dan disiplin diri.
Rasulullah SAW bersabda: “Amal (ibadah) yang paling dicintai Allah Ta’ala adalah amal yang paling terus-menerus dikerjakan meskipun sedikit” (HR al-Bukhari (no. 6099) dan Muslim (no. 783)).
‘Aisyah RA. berkata: “Rasulullah SAW jika mengerjakan suatu amal (kebaikan) maka beliau SAW akan menetapinya” (HR Muslim (no. 746)).
Sebagai sarana untuk melatih diri berdisiplin dan istiqamah demi mencapai target-target dalam Ramadhan, buatlah “Jadual Ramadhan” atau Planner Ramadhan. Tetapkan masa untuk membaca al-Quran, solat, dan melakukan amal soleh lainnya. Lakukan ini semua bersama-sama ahli keluarga agar saling menyemangati. Yakinlah bahawa kejayaan datang dengan usaha yang terancang.
Tetapkan juga waktu refleksi bersama ahli keluarga setiap petang atau malam. Boleh jadi sebelum tidur atau ketika menunggu waktu iftar. Bincangkan: “Apa yang sukar pada hari ini? Bagaimana kalian dapat mengatasinya? Apa yang boleh kita sama-sama perbaiki esok hari?”
Agenda refleksi bersama ini bagus untuk membantu anak-anak menganalisis “perjuangan” mereka dan melihat progres prestasi diri dari masa ke masa. Selain itu, ia juga membuka ruang komunikasi antara ibu bapa dengan anak-anak yang baik.
Kesimpulan
Dengan mengintegrasikan pelajaran disiplin diri, ibrah daripada perjuangan tokoh Muslim dan sejarah umat Islam, serta ketaatan kepada perintah Allah, insyaAllah, ibu bapa dapat membentuk generasi yang bukan hanya sedia menghadapi cabaran, tetapi juga mampu muncul sebagai pemenang dalam kehidupan peribadi dan masyarakat. Mudah-mudahan pendekatan ini dapat membantu keluarga Muslim, untuk melihat Ramadhan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga sebagai bulan pembentukan jiwa, serta medan latihan untuk generasi Muslim, menjadi hamba Allah SWT yang sedia memperjuangkan dan berkorban demi agama Islam, serta berusaha untuk kejayaan ummah. Wallahu`alam.
Sumber rujukan:
https://www.hmetro.com.my/addin/2021/04/698066/dua-jihad-bulan-puasa