Ramadhan Bulan Perjuangan

Oleh : Nor Nazri (Aktivis Muslimah HTM)

Marhaban ya Ramadhan. Ramadhan al Mubarak! Alhamdulillah kita diberi peluang menjalani ibadah puasa di bulan yang mulia ini walaupun dalam suasana yang berbeza. Wabak pandemik virus Covid-19 adalah termasuk musibah yang Allah SWT timpakan kepada manusia. Sebagai mukmin, musibah wabak ini adalah ujian kesabaran dan tentunya kita tidak akan mencela keberadaan wabak dengan menyakini bahawa virus Covid-19 ini adalah salah satu di antara sekian banyak makhluk ciptaan Allah yang MahaKuasa. Tentunya tidak ada satupun ciptaanNya yang sia-sia. “Duhai Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Mahasuci Engkau. Kerana itu, peliharalah kami dari seksa Neraka” [TMQ Ali-Imran (3):191]

Subhanallah, Allah menghadirkan serangkaian hikmahNya di kala wabak melanda seluruh dunia. Siapa sangka dengan penularan wabak Covid-19 ini, seorang ahli sukan seni bela diri dari Jerman, Wilhelm Ott telah mengucap dua kalimah syahadah. Menurutnya Islam telah lama berada dalam dirinya sejak beberapa tahun, namun beliau tidak berkesempatan untuk mengkajinya dengan lebih mendalam. Dengan penularan wabak ini beliau mendapat ruang untuk beristirehat dan mencari kembali pegangan agamanya dan Islam memberinya kekuatan apabila menghadapi waktu yang sukar.[1] Alhamdulillah.

Menjalani ibadah Ramadhan dalam suasana PKP tidak akan melemahkan semangat kita untuk menggapai hikmahnya. Biarpun agak sukar, namun tentunya setiap dari kita berlumba-lumba memaksimakan amal ibadah dan ketaatan di bulan yang diberkahi Allah SWT yang penuh dengan maghfirahNya, pahala dilipatgandakan serta pelbagai keutamaan lainnya. Biarpun pergerakan kita terbatas, pelbagai agenda berskala peribadi, keluarga mahupun program yang ditujukan untuk kebaikan umat dapat diusahakan semampu mungkin. Dengan banyaknya masa kita di rumah, kesempatan ini perlulah digunakan untuk meningkatkan kualiti diri seperti muhasabah dan evaluasi akan sikap dan amalan kita sepanjang hidup. Dalam skala keluarga pula, kesempatan di bulan Ramadhan ini digunakan sebaiknya untuk solat berjemaah, membaca al-Quran bersama dan membuat pengkajian secara rutin sebagai pembinaan syakhsiah Islamiah serta menjalin silaturahim antara anggota keluarga yang sebelumnya mungkin memiliki kesibukan masing-masing sehingga membataskan pertemuan dan komunikasi.

Bulan Ramadhan perlu difahami oleh umat Islam sebagai bulan perjuangan. Umat Islam terdahulu telah mencontohkan kepada kita perjuangan sebenar yang terjadi di bulan Ramadhan. Salah satunya adalah pada 17 Ramadhan tahun ke-2 H. Ketika itu, berlakunya Perang Badar al-Kubra dimana kaum Muslim mendapat kemenangan atas pertolongan dari Allah SWT (TMQ Ali Imran [3]: 133). Pada tahun ke-5 H pula, berlaku peristiwa Perang Khandaq atau yang juga dikenali sebagai Perang Ahzab. Perang ini melibatkan lebih kurang 3000 kaum Muslim melawan pasukan gabungan (ahzab) yang terdiri daripada Bangsa Quraisy, Yahudi dan suku Ghathafan yang berjumlah dalam 10 000 orang. Perang Khandaq ini berlaku pada bulan Syawal. Namun yang menarik, persiapan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya iaitu menggali parit, berlaku pada bulan Ramadhan. Bayangkan, ketika itu musim sejuk dan kekurangan makanan hingga membuatkan para tentera muslimin kelaparan. Betapa besar pengorbanan dan perjuangan yang ditunjukkan oleh kaum Muslimin yang sedang berpuasa ketika itu.

Umat Islam terdahulu telah membuktikan perjuangan dan kesungguhan mereka demi menegakkan syariat Islam. Kini giliran kita pula untuk berjuang dan mengembalikan semula kehidupan Islam. Kehidupan Islam adalah kehidupan yang berlandaskan syariat Islam seluruhnya. Dengan erti kata lain, dakwah dan seruan penerapan syariat Islam kaffah tetap wajib disampaikan sekalipun kita berada di rumah. Kecanggihan teknologi boleh kita manfaatkan untuk menyebarkan dakwah dan mesej Islam. Suasana Ramadhan adalah kesempatan untuk saling berlumba meraih pahala. Suasana keimanan dalam kalangan umat Islam dan semangat mereka untuk bertaqarrub kepada Allah adalah peluang terbaik bagi menyeru mereka untuk mengkaji Islam dan mengamalkannya. Sesungguhnya rahmat dan ampunan dariNya hanya akan diraih ketika amal yang dilakukan bersesuaian dengan syariat Islam.

Mudah-mudahan kepatuhan kita pada setiap syariat terkait Ramadhan agar amal ibadah kita diterimaNya dapat menguatkan kita untuk bersiap sedia untuk patuh dan terikat dengan seluruh peraturan dan syariat Islam secara sempurna. Tibalah waktunya untuk kita berpaling dari kehidupan sekular yang mendatangkan kemurkaan Allah dan beralih kepada kehidupan dan peraturan Islam yang diturunkan oleh Zat yang Mahakuasa, Allah SWT sebagai pencipta setiap makhluk.

Rujukan:

  1. https://www.sinarharian.com.my/article/79642/BERITA/Viral/Hikmah-Covid-19-peninju-Jerman-peluk-Islam
  2. https://al-waie.id/fokus/ramadhan-bulan-perjuangan/amp/
  3. https://www.muslimahnews.com/2020/04/22/meraih-keberkahan-ramadan-di-tengah-wabah/