Jangan ekstrem dalam berdakwah tetapi ekstrem dalam menghalangi dakwah!
Berita:
Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam UKM, Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, individu yang ingin berdakwah perlu mempelajari kaedah yang betul bagi mengelakkan Islam dipandang serong.
“Kita telah diajar Islam untuk mengajak orang ke arah kebaikan dan melarang kemungkaran dengan berhemah. Jangan ekstrem dalam berdakwah takut nanti nampak keji.
“Kita boleh berdakwah tapi perlu kena dengan kaedah mendekati orang itu iaitu kita bersahabat dengan orang itu dan bercakap dengan penuh hikmah. Tidak bersifat paksaan tetapi lebih kepada toleransi dan kasih sayang agar orang lebih muda menerima dan beramal dengan Islam tanpa ada paksaan atau kekerasan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/nasional/jangan-ekstrem-dalam-berdakwah-1.783534
Komentar:
Thariqah dakwah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan juga para sahabat ialah dakwah secara intelektual tanpa kekerasan, baik gerak kerja dakwah yang dilakukan secara individu mahupun secara berkelompok. Inilah suri tauladan yang seharusnya kita contohi dalam melakukan dakwah.
Namun apabila proses dakwah tersebut melibatkan aktiviti yang bersifat tindakan fizikal, itu bukanlah peranan yang seharusnya dimainkan oleh individu mahupun kelompok dakwah, sebaliknya ia merupakan tugas bagi sebuah negara, khasnya bagi negara yang menjadikan Islam sebagai dasar perlembagaan dan hukum negara.
Apa yang dikesalkan, di negara ini terjadi sebaliknya. Umum telah mengetahui bahawa usaha-usaha untuk menghalang dakwah berlaku dengan sangat dahsyat dan lebih ironi lagi ia datang daripada pihak yang diamanahkan oleh negara untuk menguruskan hal ehwal Islam dan umat Islam (baca: Jabatan Agama). Mana-mana pendakwah atau penceramah yang tidak sealiran dengan kerajaan negeri mahupun persekutuan pasti akan disekat dan dihalang daripada berceramah, bahkan hingga ke tahap dilabel sebagai golongan radikal mahupun sesat.
Terbaru, larangan terhadap Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz untuk memberi ceramah di Johor, sedangkan sebelumnya larangan terhadap Ustaz Haslin Baharim dan Ismail Menk daripada menyampaikan ceramah di negeri berkenaan dengan alasan tidak mendapat tauliah. Negara yang seharusnya memberikan bantuan serta ruang yang luas kepada para pendakwah untuk melakukan dakwah, sebaliknya menjadi penghalang utama kepada usaha tersebut.
Inilah sikap radikal yang sebenarnya perlu dibanteras, yang menjadi penghalang utama kepada tersebarnya Islam serta kekayaan ilmu-ilmunya. Sikap ini jugalah yang menjadi doktrin pembodohan serta menjauhkan umat Islam daripada Islam.
Abu Irin
Aktivis HTM