Berbaik Sangka Dalam Berdakwah

quranAllah SWT memerintahkan agar setiap Muslim berfikir dan bersangka baik kepada saudaranya (umat Islam) yang lain, sebagaimana firmanNya:

لَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ الْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بِأَنفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا هَذَا إِفْكٌ مُّبِينٌ

“Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang Mukminin dan Mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri dan (mengapa tidak) berkata, ‘Ini adalah suatu berita bohong yang nyata” [TMQ al-Nur (24):12].

Abu Hurairah (ra) berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda,

إِذَا قَالَ الرَّجُلُ هَلَكَ النَّاسُ فَهُوَ أَهْلَكُهُمْ

“Jika seorang lelaki mendakwa bahawa manusia telah binasa, maka sesungguhnya dia telah membinasakan mereka” [HR Muslim].

Ayat dan hadis di atas menyeru agar umat Islam memiliki sikap baik sangka, sekali gus melarang daripada bersangka buruk dan memandang rendah kepada orang/kaum lain dengan cara yang tidak sepatutnya, apatah lagi sesama umat Islam.

Umat Islam, apatah lagi para pendakwah harus memandang serius akan perkara ini. Kita perlu menyedari betapa pentingnya untuk melihat aspek kebaikan dalam tubuh umat Islam, kerana jika kita tidak melihat aspek ini, ia boleh menyebabkan kita menolak umat (dalam usaha untuk mengubahnya) yang akhirnya akan mengakibatkan kegagalan dalam dakwah dan kecuaian dalam menjalankan kewajipan tersebut. Ia juga akan menyebabkan timbulnya pelbagai kekecewaan dalam jiwa para pendakwah dan menyebabkan mereka memiliki visi yang sangat terhad. Kita akan jadi berputus asa dalam mencapai kemenangan walaupun kemenangan sudah sangat dekat, lebih dekat dari apa yang kita bayangkan. Ruh dakwah akan hilang dan kita akan hanya merasa berputar-putar di tempat yang sama dalam usaha dakwah seperti tidak bergerak ke mana-mana.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk merealisasikan kebaikan dalam tubuh umat Islam dan manusia secara umum. Seperti yang kita ketahui, manusia bertindak atas dasar mafhum (konsep) yang dipegangnya. Oleh itu,  jika mafhumnya tidak betul, maka tindakannya juga akan menjadi rosak dan salah. Namun jika mafhumnya adalah benar, maka tindakannya juga akan menjadi benar dan menjadi jalan  yang akan membawa kepada keredhaan Allah SWT.

Jika kita mengaplikasikan hal ini kepada orang di sekeliling kita dan kepada berbilion manusia dalam dunia ini,  kita akan melihat banyak tindakan yang diambil oleh manusia merupakan tindakan yang rosak dan salah akibat dari rosak atau merosotnya taraf berfikir manusia, termasuk umat Islam. Walaubagaimanapun kita perlu sedar bahawa 1.7 bilion umat Muhammad SAW saat ini memiliki akidah dan pemikiran Islam, walaupun sebahagian besarnya dalam keadaan yang sangat lemah dan rendah.

Justeru, demi kebaikan umat ini, kita hendaklah berusaha meningkatkan taraf berfikir mereka dan mengoptimumkan potensi mereka dan tidak boleh sekali-kali kita mengasingkan atau memisahkan diri dari mereka. Ini kerana, selagi akidah Islam masih wujud dalam diri umat Muhammad, maka selagi itulah ia boleh menjadi titik harapan bagi para pendakwah untuk membangkitkan mereka tanpa mengambil kira sikap atau kelakuan orang tersebut. Walaupun akidah tersebut mungkin wujud hanya secara emosi, namun kita boleh menjadikannya sebagai sebuah akidah yang rasional (akidah yang dibangun atas dasar berfikir). Manakala sekiranya akidah tersebut adalah rasional, tetapi dibangun dari sumber yang salah, maka kita bertanggungjawab untuk meluruskan semula pemikirannya agar dia dapat memahami dan menghargai implikasi akidah Islam yang rasional dan mengaitkan implikasi ini kepada seluruh aspek kehidupannya. Jika dia cetek dalam pemikirannya, kita boleh memperluas dan memperdalamkan pandangannya sehingga kita dapat mengubahnya menjadi seorang pemikir dan bukannya hanya seorang pengikut.

Sesungguhnya potensi ini wujud dalam tubuh umat. Apa yang perlu kita lakukan ialah terus mencari dan memfokuskan diri kita terhadap aspek kebaikan dalam tubuh umat ini dan bukan hanya mencari perkara yang negatif sahaja padanya. Contohnya, jika seseorang Muslim itu tidak ikut sama berdakwah dalam menegakkan Islam, tetapi dia tetap solat dan tersenyum apabila berjumpa saudara-saudaranya demi memperoleh ganjaran dari Allah SWT, maka kita harus melihat aspek kebaikan tersebut dan melihat betapa ia dapat dikaitkan dengan Islam. Kita harus berusaha memahami asas yang dia gunakan untuk  membina kehidupannya dan cuba membetulkannya. Jika ada seorang Muslim yang sombong, namun dalam masa yang sama dia tetap menjaga dan menguruskan keluarganya dengan cara yang baik dan memastikan anak isterinya menutup aurat, kita perlu sedar potensi kebaikan yang ada padanya dan cuba menyedarkan kesilapannya di atas keangkuhan dan kesombongan serta menjelaskan kepadanya tentang bahaya dan akibat (dosa) akan perbuatannya itu, agar ia akan berubah.

Mentaliti “berbaik sangka” seperti ini akan membuatkan kita menjadi seorang pemikir yang produktif dan jika kita berhadapan dengan masyarakat yang rosak dan memiliki pemikiran yang amat rendah,  kita tidak akan pernah merasa putus asa, lemah atau kecewa. Sebaliknya, kita akan dapat melihat dengan lebih jelas dan luas akan pemikiran individu dan masyarakat serta kita dapat melihat pelbagai masalah yang wujud dalam rangka merubah individu dan masyarakat ke arah yang dikehendaki oleh Islam. Lebih luas dan jauh dari itu, dalam konteks yang sama, jika kita melihat kesemua negeri umat Islam tidak menerapkan Islam secara kaffah pada hari ini, namun dalam masa yang sama, kerajaan di pelbagai negeri umat Islam ini masih menggunakan “nama” Islam dalam menjaja pemikiran dan sistem yang rosak dalam negeri tersebut, hal ini menunjukkan betapa kuatnya akar Islam dalam negeri atau masyarakat, walaupun ia mengeluarkan daun dan buah yang cukup pahit. Begitu juga dengan pasukan tentera di negeri-negeri umat Islam yang mempunyai potensi yang cukup besar kerana akidah Islam masih mengakar dalam diri masing-masing. Aspek kebaikan dan potensi inilah yang perlu diperhatikan oleh seseorang pendakwah yang berusaha untuk merubah individu, masyarakat dan negara yang rosak, kepada Islam.

Dalam hal yang sama, setiap pendakwah juga mesti melihat bahawa meskipun seseorang itu tidak memiliki akidah Islam (kafir), orang itu tetap mempunyai potensi untuk berubah. Ini kerana, jika potensi ini tidak wujud pada manusia (yang kafir), maka Islam tidak akan pernah berkembang dan hanya akan wujud dalam diri Nabi SAW sahaja. Hakikat bahawa mesej Islam telah diterima oleh para sahabat, yang sebelumnya kafir dan ternyata diterima oleh berjuta-juta manusia selama beribu tahun lamanya, menunjukkan bahawa potensi untuk berubah, adalah sebuah realiti yang tidak dapat dimungkiri sejak dulu hingga sekarang. Nabi SAW pernah berdoa kepada Allah SWT agar salah seorang dari dua Umar memeluk Islam, samada Umar bin Hisyam (Abu Jahal) atau Umar bin al-Khattab. Seperti yang kita sedia maklum, Umar bin al-Khattab memeluk agama Islam dan telah berubah dari seorang ‘samseng’ yang pernah menanam bayi perempuan hidup-hidup kepada seorang Mukmin yang memiliki ketakwaan dan keperibadian yang cukup tinggi, malah menjadi Amirul Mukminin. Kehebatannya sehingga disebut oleh Rasulullah SAW bahawa, “Apabila Umar melalui satu jalan, syaitan tidak akan melalui jalan tersebut.”

Dari sisi yang lain, walaupun Abu Jahal tidak pernah memeluk Islam, namun Rasulullah SAW ternyata telah melihat potensi untuk dia berubah. Ini kerana, sekiranya tidak, sudah tentu Rasulullah SAW tidak akan berdakwah kepadanya atau berdoa kepada Allah SWT agar dia memeluk Islam. Banyak lagi contoh lain yang ada di sepanjang sejarah Islam yang membuktikan kekuatan seruan Islam dan pengaruh seruan ini dalam mengubah individu, masyarakat dan juga negara. Insya Allah sekiranya kita memahami dan mengamalkan hal ini, maka ia akan menjadikan kita orang-orang yang lebih kukuh dalam menyeru manusia kepada Islam, menyeru manusia agar keluar dari kegelapan dan kesempitan agama-agama kufur kepada cahaya dan keluasan agama Islam.

Perlu difahami bahawa berbaik sangka di sini bukanlah bermaksud yang umat Islam perlu tunduk kepada orang-orang kafir dan tidak perlu melakukan perlawanan terhadap propaganda dan perancangan jahat orang-orang kafir ke atas umat Islam. Bukan juga bermaksud yang umat Islam perlu berdiam diri dan pasrah dengan segala pembunuhan atau kekejaman yang dilakukan oleh orang kafir dan bukan sekali-kali bermaksud yang umat Islam tidak perlu berjihad melawan kaum kafir harbi yang memerangi Islam. Semua ini ada hukumnya yang tersendiri dalam Islam dan semua ini (melawan orang-orang kafir) turut dilakukan oleh Rasulullah SAW. Cumanya, terdapat keadaan di mana umat Islam perlu berbaik sangka terhadap orang-orang kafir yakni dalam rangka mendakwahi orang-orang kafir kepada Islam.

Wallahu a’lam.

[Lajnah Tsaqafiyyah, HTM]