Janji Tidak Salah Guna ATAU Haramkan ISA?
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, pentadbirannya tidak akan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sewenang-wenangnya tetapi akan mengutamakan prinsip hak asasi manusia dan kebebasan awam. Perdana Menteri berkata, akta itu sedang dikaji untuk memastikan ia mengandungi beberapa peruntukan yang menegakkan prinsip berkenaan.
“Beberapa peruntukan (ISA) akan mencerminkan kehendak kita (kerajaan) untuk menegakkan kebebasan awam dan ada check and balance supaya tidak mudah ada penggunaan ISA secara arbitrari (sewenang-wenang) atau mengikut kehendak pihak berkuasa tanpa melihat kepada hak asasi dan kebebasan awam rakyat Malaysia,” katanya kepada sekumpulan wartawan Indonesia di pejabatnya di sini, semalam. Wakil media Indonesia itu yang berada di ibu negara bagi menghadiri Majlis Anugerah Kewartawanan Kajai di sini malam kelmarin adalah kumpulan wartawan asing pertama menemubual Najib selepas beliau menjadi Perdana Menteri pada 3 April lalu.
Najib berkata, keputusannya membebaskan 13 tahanan ISA baru-baru ini adalah satu isyarat kerajaan yang mementingkan hak asasi dan kebebasan awam dalam masyarakat demokrasi moden, matang dan bertamadun.
Ketika temubual itu, Perdana Menteri turut ditanya mengenai gaya pentadbiran beliau, hubungan dua hala Malaysia-Indonesia, keselamatan serantau dan kebebasan akhbar di Malaysia serta peranan dua Perdana Menteri sebelumnya. Bercakap mengenai slogan ‘One Malaysia. People First. Performance Now’ (Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan) yang diumumkannya sebaik menjadi Perdana Menteri, Najib berkata ia adalah falsafah yang memayungi pentadbiran pimpinan beliau.
Katanya, ia menekankan apa yang harus dilakukan sekarang bagi memacu negara ke arah mencapai hasrat dan visi yang ditetapkan oleh dua Perdana Menteri sebelumnya, iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi agar rakyat Malaysia menjadi bangsa ‘Cemerlang, Gemilang dan Terbilang’, dan Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya Malaysia menjadi negara maju menerusi Wawasan 2020.
Najib juga berkata, gaya pentadbirannya akan menekankan aspek Performance Now supaya rakyat dapat melihat sesuatu yang dirancang benar-benar berlaku. Beliau juga berkata, beliau mahu menjadi Perdana Menteri untuk semua rakyat serta akan berlaku adil dan tidak mahu dilihat sebagai Perdana Menteri memihak mana-mana suku kaum. Menyentuh isu kebebasan dalam sistem demokrasi, Perdana Menteri berkata Malaysia bersikap liberal tetapi mengamalkan kebebasan secara bertanggungjawab, kerana jika tidak, ia akan mencetuskan anarki. – Bernama
Sumber : Berita Harian, 08/04/09
Apa Yang Najib Ingin Lakukan = Apa Yang Dituntut Oleh Islam?
1.NAJIB = Masih mahukan ISA (tapi perlu disesuaikan dengan hak asasi manusia) ….ISLAM = Mengharamkan ISA
2. NAJIB = Slogan: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan….ISLAM = Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
3. NAJIB = Malaysia bersikap liberal tetapi mengamalkan kebebasan secara bertanggungjawab, kerana jika tidak, ia akan mencetuskan anarki…..ISLAM = Sistem pemerintahan ialah sistem Khilafah bukannya demokrasi mahupun anarki
Untuk itu wahai Najib! Gunakanlah kekuasaan yang kamu miliki pada hari ini untuk menerapkan Islam bukannya terus mengekalkan sistem kufur peninggalan penjajah. Renungilah firman Allah SWT: “
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”. [TMQ a-li-‘Imraan(3):26].