Jawatan Bidang Pemerintahan WAJIB Seorang Muslim

Dalam sistem pemerintahan sekular-demokrasi yang diamalkan di Malaysia, undang-undang tertinggi yang menentukan kelayakkan seseorang untuk menjadi Peguam Negara adalah Perlembagaan Persekutuan. Dalam perlembagaan persekutuan yang telah digubal oleh Suruhanjaya Reid tidak menetapkan adanya syarat mesti seorang muslim untuk menjawat jawatan sebagai Peguam Negara. Siapa sahaja yang dicalonkan oleh Perdana Menteri termasuk rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam layak untuk dilantik sebagai Peguam Negara. Berdasarkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, proses pelantikan Peguam Negara Malaysia tidak ada kaitan langsung dengan ajaran Islam yang terkandung dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Al-Quran mahupun As-Sunnah tidak dijadikan panduan atau rujukan sama sekali dalam menentukan kelayakan seseorang untuk menjadi Peguam Negara. Ini kerana undang-udang tertinggi yang menjadi rujukan adalah Perlembagaan Persekutuan. Semua perkara termasuk suruhan dan larangan Allah SWT yang terkandung dalam Al-Quran dan As Sunnah mesti tunduk dengan Perlembagaan Persekutuan. Umat Islam di Malaysia boleh mengamalkan atau melakukan perintah dan larangan Allah SWT sebatas yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Ini adalah hakikat yang harus disedari oleh umat Islam di Malaysia.

Berbeza halnya dalam sistem pemerintahan Khilafah yang menjadikan Al-Quran dan As Sunnah sebagai rujukan undang-undang tertinggi negara. Dalam ajaran Islam dibezakan antara bidang pemerintahan (al-hukm) dan bidang pentadbiran/administrasi (al-idarah). Badan pemerintah merupakan pihak yang berkuasa membuat dan menetapkan polisi serta undang-undang negara. Jawatan yang termasuk dalam bidang pemerintahan ialah Khalifah, Muawin Tafwidh (Pembantu Pemerintahan), Wali (Gabenor), Amil (Ketua Daerah) serta mereka yang terkait rapat dengan Khalifah seperti Muawin Tanfiz (Pembantu Pentadbiran), Qadhi Qudhat (Ketua Hakim) dan juga Qadhi Mazhalim (Hakim Kezaliman). Mereka yang layak untuk memegang tampuk bidang pemerintahan mestilah memenuhi tujuh syarat in’iqad (keabsahan) iaitu Muslim, lelaki, baligh, berakal, adil, merdeka dan mampu.

Apa jua jawatan yang berkaitan dengan bidang pemerintahan, maka WAJIB ianya seorang muslim. Syarat Muslim bagi semua jawatan yang melibatkan pemerintahan tersebut ialah berdasarkan firman Allah SWT,

“Dan Allah sekali-kali tidak akan menjadikan jalan bagi orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang mukmin” [TMQ an-Nisa’ (4):141].

Ibnu Mundzir juga menegaskan dengan berkata; “Seluruh ahli ilmu bersepakat bahawa orang kafir sama sekali tidak boleh menjadi pemimpin bagi kaum Muslim dalam keadaan apa pun” [Ibn Qayyim Al-Jauziyyah, Ahkam Ahl Al-Dzimmah, jilid II hlm. 414].

Meskipun, Imam al-Mawardi dalam kitabnya Adab Al-Wazir mengharuskan perlantikan bukan Muslim dalam jawatan Mua’win Tanfiz, namun, kedudukan Mua’win Tanfiz sebagai bithanah (orang kepercayaan)  kepada Khalifah dan mengetahui pelbagai rahsia urusan pemerintahan, maka sewajibnya beliau seorang Muslim. Allah SWT melarang umat Islam mengambil bithanah daripada kalangan non-muslim seperti dalam firman-Nya: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian mengambil orang-orang di luar daripada kalangan kalian sebagai teman kepercayaan (bithanah) kalian; (kerana) mereka tidak henti-henti menimbulkan kemudaratan bagi kalian…” [TMQ Ali- Imran (3):118].

Dalam bidang pentadbiran/administrasi (al-idarah), syarat Muslim tidak terpakai, dengan kata lain dibolehkan seorang yang bukan beragama Islam (kafir) untuk memegang jawatan dalam administrasi (al-idarah) negara. Sekiranya kita mengkaji realiti dan kedudukan jawatan seperti Pengarah, Ketua Jabatan, Vice Chancellor Universiti, Pengetua sekolah dan sebagainya, kita akan dapati bahawa kesemua jawatan tersebut adalah dalam  bidang al-idarah (pentadbiran) dan bukannya bidang pemerintahan. Maka, jawatan-jawatan tersebut tidak menjadi masalah untuk dijawat oleh orang kafir kerana tiada larangan daripada Al-Quran dan As Sunnah.

Yang menjadi masalah utama dan menimbulkan kekeliruan ialah apabila menyamakan jawatan Peguam Negara dengan jawatan Pengetua Sekolah atau Ketua Jabatan. Ini kerana Peguam Negara merupakan pihak yang bertindak sebagai orang kepercayaan (bithanah ) kepada Ketua Negara, malahan sangat dekat dan dapat mempengaruhi urusan pemerintahan negara khususnya yang berkaitan dengan perundangan. Maka peranan kedua-duanya jelas sama sekali berbeza dan sudah tentu hukum-hakamnya juga berbeza.

Adapun firman Allah SWT dalam Al-Quran Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil[TMQ Al-Mumtahanah (60): 9]. Ayat ini adalah berkaitan dengan tiadanya larangan kepada umat Islam untuk berbuat baik terhadap orang kafir yang mempunyai ciri-ciri seperti dalam ayat tersebut. Mengunakan ayat ini dalam membincangkan hukum orang kafir menjawat jawatan dalam bidang pemerintahan (al-hukm) jelas sekali keliru dan mengelirukan.

Pengajarannya ialah, umat Islam harus sedar bahawa sistem pemerintahan yang diamalkan di Malaysia ketika ini adalah sistem sekular-demokrasi bukannya sistem pemerintahan Islam. Sistem sekular-demokrasi secara prinsipnya direka untuk mengembangkan cara hidup yang berasaskan sekular. Islam dan umat Islam hanya akan terbela apabila menjadikan Al-Quran dan As Sunnah sebagai rujukan utama dalam sistem pemerintahan. Oleh itu, kembalilah kepada sistem pemerintahan Islam iaitu sistem Khilafah agar hidup umat Islam dapat diurus dengan berpandukan wahyu daripada Allah SWT yang terkandung dalam Al-Quran dan As Sunnah. Sistem pemerintahan Khilafah bukan sahaja akan memberikan keadilan dan kesejahteraan hidup yang hakiki kepada umat Islam tetapi juga kepada seluruh manusia yang hidup dibawah naugannya.

Mus’ab
Pimpinan Pusat HTM