Jelajah MHTM di Kampar Perak

Kampar Perak- Forum jelajah MHTM dengan tema “Kerosakan Demokrasi Dalam Melindungi Remaja dari Pornografi dan Seks Bebas”  telah berlansung di Dewan Rumah Rehat Kampar pada 9 Disember 2012. Forum yang dipengerusikan oleh Puan Aishah ini telah menampilkan Ustazah Aisyah selaku ketua MHTM sebagai pengganti Ustazah Fatihah yang tidak sihat dan Cikgu Rahmah masing-masing  selaku panel pertama  dan kedua manakala Puan Yati bertindak sebagai moderator.

Forum dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran dari surah An Nur ayat 1-10 oleh adik Ainul. Pada pusingan pertama Aisyah telah menerangkan makna dan realiti berkaitan pornografi dan seks bebas dengan memetik beberapa sumber media dan data terkini berkaitan gejala ini. Punca dan faktor penyebab pornografi dan seks bebas termasuk fenomena gaya hidup songsang yang semakin membimbangkan seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) telah dikupas oleh panel kedua, Rahmah.  Sesungguhnya pornografi dan seks bebas adalah gambaran kebebasan bertingkahlaku yang pasti diberi ruang dalam sistem demokrasi yang mengagungkan kebebasan.

Pusingan kedua memaparkan akta dan peruntukan undang-undang yang digunapakai oleh sistem demokrasi untuk membendung gejala pornografi dan seks bebas. Aisyah menegaskan peraturan yang diterapkan ternyata tidak mampu menyelesaikan masalah kerana ianya bukanlah penyelesaian sebenar yang diperintah oleh Allah. Rahmah menjelaskan kita memerlukan sistem Islam untuk menyelesaikan secara tuntas segala masalah yang terhasil dari sistem demokrasi. Sistem Islam akan memastikan setiap individu, anggota masyarakat dan negara memainkan peranan masing-masing dalam menangani gejala pornografi dan seks bebas ini. Dengan diterapkan sistem pendidikan Islam, anak didik akan dibekali pemahaman Islam dan nilai ketaqwaan yang mampu menjadikan halal dan haram sebagai landasan dalam aktiviti sehariannya. 

Masyarakat juga akan sentiasa terdorong untuk saling mengawal dan beramar makruf nahi mungkar manakala negara bertanggungjawab menghapuskan segala bahan atau media yang akan mengakibatkan berlakunya gejala seks bebas di samping menjatuhkan hukuman yang tegas dan adil ke atas segala bentuk penyimpangan dari peraturan Allah SWT. Sebagai kesimpulan kedua ahli panel menyeru hadirin untuk sama-sama menyahut seruan untuk berjuang dalam rangka mengembalikan sistem Islam sebagai penyelesaian kepada seluruh masalah umat manusia seperti firmanNya “Hai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kamu” [TMQ al-Anfal (8):24]. Forum diakhiri dengan soal jawab dari hadirin dan bacaan doa penutup oleh Ustazah Nurul.