Laporan Kolokium Remaja 2010 Anjuran MHTM di Ipoh Perak

IPOH, 25 Julai  – Permasalahan berkaitan remaja Islam yang kian meruncing sering diperkatakan mutakhir ini.  Berbekalkan keyakinan Islam mampu menyelesaikan segala permasalahan manusia khususnya remaja, Muslimah Hizbut Tahrit (MHTM ), cawangan Perak dengan kerjasama Khilafah Centre telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Kolokium Remaja 2010 bertemakan “Wahai Remaja, Kembalikanlah Maruah dan Martabatmu”.  Kolokium yang bertempat di salah sebuah Akademi Pengajian Islam di Ipoh ini telah berlangsung pada 25hb Julai 2010 bersamaan 13 Syaaban 1431Hijrah.

Kolokium yang mensasarkan golongan remaja ini dimulakan pada pukul 8.30 pagi dengan pendaftaran peserta dan seterusnya majlis didahului dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari Surah An-Nisa’, Ayat 1 hingga 6, yang disampaikan oleh adik Nasuha. Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Ustazah Rahmah selaku Pengarah Kolokium yang seterusnya merasmikan Kolokium Remaja 2010 ini.  Di dalam ucapannya Ustazah Rahmah menyeru agar para remaja menanamkan kesungguhan untuk melengkapkan diri dengan fikrah  Islam disamping berperanan menjadi sebahagian dari anggota masyarakat yang wajib melaksanakan tanggungjawab dakwah serta amar ma’ruf nahi mungkar dalam menangani permasalahan remaja yang semakin parah sejak kebelakangan ini.

Dengan menghadirkan dua pembentang iaitu Ustazah Hajjah Husna Abdul Rahman dan Ustazah Hajjah Ummu Hajar, pelbagai isu berkisar permasalahan remaja telah berjaya dikupas dengan menarik.  Selaku pembentang pertama dengan tajuk “Ancaman Gejala Sosial dalam kalangan Remaja Islam”, Ustazah Hajjah Husna telah berjaya menarik perhatian remaja yang hadir dengan membongkar realiti remaja masa kini dengan mengimbas fakta serta bukti  yang menunjukkan bahawa remaja di negara ini sedang menghadapi krisis sosial yang amat parah.  Sebagai perbandingan keadaan remaja kini, pembentang telah mengajak hadirin menelusuri beberapa figura hebat yang terdiri dari para remaja yang berkeperibadian unggul disepanjang zaman kegemilangan Islam seperti Mus’ab bin Umair radiallahu anhu, Saidatina Aisyah bintu Abu Bakar radiallahu anha, Saidatina Fatimah bintu Muhammad Sallalahu alaihi Wassalam dan ramai lagi agar dicontohi dan dijadikan teladan dalam mengharungi kehidupan serba mencabar sebagai remaja masa kini.

Seterusnya pembentangan diteruskan oleh Ustazah Hajjah Ummu Hajar selaku dengan tajuk pembentangannya “Punca Masalah Remaja dan Penyelesaiannya Dalam Islam”.  Pembentangan ini telah menjelaskan bahawasanya Islamlah satu-satunya jalan penyelesaian hakiki kepada permasalahan remaja.  Bermula dari kupasan mengenai punca kepada permasalahan yang dihadapi dalam kalangan remaja serta penyelesaian yang diambil berdasarkan pemikiran sekular-kapitalis sehinggalah kepada  penyelesaian sebenar berdasarkan syariat Islam sedikit sebanyak telah menyedarkan para peserta bahawasa hanya Islamlah satu-satunya solusi yang mampu memberikan penawar kepada segala masalah yang mereka hadapi.  Penyelesaian hakiki yang dipandu oleh wahyu inilah yang sepatutnya diterima pakai sebagai jawapan kepada setiap permasalahan kerana ia menampilkan Islam sebagai sebuah mabda/ideologi dan cara hidup yang lengkap sesuai dengan firman Allah SWT yang maksudnya:

Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmatKu dan telah Aku redhai Islam itu sebagai Agamamu”  [TMQ Al Maidah (5):3].

Acara kemuncak kolokium pada hari tersebut lebih bersemangat lagi apabila semua remaja yang hadir bangun untuk membacakan Deklarasi Remaja 2010.  Bacaan Deklarasi diketuai oleh Puan Fatihah selaku ketua MHTM.  Remaja seterusnya menzahirkan keazaman untuk sentiasa taat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan kembali bersatu dan saling bekerjasama dalam rangka menegakkan semula Daulah (Khilafah Islamiyah) yang bakal menangani permasalahan remaja berdasarkan syariat yang diperintahkan Allah Subhanu wa Taala.  Oleh itu, yakinlah dengan Khilafah Islamiyah, bukan hanya permasalahan remaja sahaja yang akan dapat diselesaikan dengan tuntas bahkan segala permasalahan hidup yang melingkari dan membelenggu manusia yang selama ini diatur oleh sistem sekular iaitu pemisahkan agama dari kehidupan dapat diselesaikan.  Majlis kemudian diakhiri dengan bacaan doa.

Di kesempatan ini MHTM Cawangan Perak merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada AJK dan semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Kolokium Remaja 2010 pada kali ini.  Semoga segala usaha dan pengorbanan mereka yang menjayakannya diberi ganjaran pahala dan diredhai Allah hendaknya.  Wallahu’alam.