Kolokium Remaja 2010 Anjuran MHTM Mendapat Sambutan Para Remaja

Pada 28 Februari 2010 yang lepas, bertempat di Auditorium Abu Zarim, ILSAS, UNITEN, Bangi, Khilafah Centre dengan kerjasama Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) telah menganjurkan satu kolokium khusus untuk remaja muslimah iaitu Kolokium Remaja 2010 dengan tema “Wahai Remaja, Kembalikanlah Maruah dan Martabatmu!”.  Kolokium ini menghadirkan dua pembentang, Puan Hajjah Husna Abdul Rahman dan Ustazah Hajjah Ummu Hajar.

Pendaftaran peserta bermula seawal jam 8.30 pagi di mana sebaik mendaftar, peserta dibekalkan dengan fail berserta bahan-bahan kolokium dan sedikit cenderahati dari pihak penganjur.  Majlis dimulakan pada pukul 9.00 pagi dengan alunan ayat suci al-Qur’an Surah an Nisa’ ayat 1hingga 6 oleh Ustazah Mujahidah. 

Kolokium selanjutnya memberi laluan kepada Ketua MHTM, Puan Fatihah untuk menyampaikan ucapan aluan, sekaligus dengan rasminya melancarkan Kolokium Remaja 2010.  Di dalam ucapan tersebut, Puan Fatihah mengingatkan para remaja akan peranan dan tanggungjawab besar yang menanti remaja di masa hadapan di mana remaja adalah tunggak kejayaan sesebuah Negara di masa hadapan.

Kolokium yang terbuka kepada para remaja, ibu bapa, wakil pelajar dan guru-guru Muslimah ini, telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan.  Dengan kehadiran lebih 100 peserta dari seluruh Lembah Kelang dan kawasan sekitarnya, kolokium ini telah berjaya menarik minat para peserta untuk terlibat secara aktif samada dalam bentuk persoalan yang diajukan kepada pembentang, mahupun dalam bentuk lontaran pendapat yang bernas dari para peserta khususnya remaja.  Rata-rata peserta remaja yang menghadiri kolokium ini, amat prihatin dengan permasalahan remaja yang cuba dikupas oleh kedua-dua pembentang.

Kekuatan kolokium ini dapat dihayati melalui pembentangan kertas kerja yang dikupas dengan baik sekali oleh kedua-dua pembentang.  Puan Hajjah Husna sebagai pembentang pertama telah berjaya membawa peserta untuk menghayati ciri-ciri para remaja di zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, di mana ketokohan para remaja seperti Saidatina Aisyah radhiallahu anha, Saidina Ali radhiallahu anhu, Asma’ Binti Abu Bakar, Mus’ab radhiallahu anhu dan ramai lagi telah diketengahkan dalam pembentangan beliau. 

Kupasan ini sekaligus telah berjaya memberi suntikan semangat kepada para peserta agar menjadikan keperibadian dan keberanian tokoh-tokoh remaja tersebut sebagai teladan.  Buktinya para peserta telah mengambil bahagian secara aktif melalui persoalan-persoalan yang diketengahkan yang bukan hanya mencakup kepada cara mengaplikasikan ketokohan dan keberanian para remaja di zaman Rasulullah malah mencakup juga permasalahan semasa yang menjerat dan membelenggu remaja dari terus berjuang di jalan Allah.  Sungguh, kematangan dan ketajaman minda peserta terlihat jelas dari respons (timbal balas) yang diberikan.

Manakala pembentang kedua, Ustazah Hajjah Ummu Hajar, telah mengupas punca permasalahan para remaja serta bentuk-bentuk penyelesaian yang diambil melalui pemikiran sekular-kapitalis dan penyelesaian hakiki yang sepatutnya diambil mengikut hukum syara’.  Pembentangan dengan lontaran suara penuh semangat terus menggamit perhatian peserta sehingga ke akhir kolokium.  Ustazah Ummu Hajar menekankan bahawa peyelesaian hakiki hanay akan dapat dicapai dengan penerapan Islam secara keseluruhan dan mencakup seluruh aspek kehidupan dan peri pentingnya untuk mewujudkan sebuah negara yang menegakkan sistem Islam yang syumul di mana negara (Islam) tersebut akan memainkan peranan yang besar dalam mencegah dan merawat segala permasalahan yang timbul, termasuklah permasalahan remaja melalui penerapan syariat Islam.

Acara kemuncak Kolokium Remaja 2010, telah menjemput Pengarah kolokium, Puan Zulaikha untuk membaca Deklarasi Kolokium Remaja 2010.  Semua peserta menzahirkan perasaan dan semangat yang satu bila turut sama-sama berdiri dan mengikuti bacaan deklarasi tersebut.  Para hadirin bersetuju bahawa permasalahan remaja yang timbul hari ini tidak lain disebabkan oleh penerapan sistem sekular yang memisahkan agama dari kehidupan.  Untuk itu, remaja Islam perlu bersatu dan bersama-sama bergerak untuk menuju penyelesaian yang satu, melalui penegakan sebuah negara Islam(Daulah Khilafah) di atas jalan kenabian.  Sebaik selesai bacaan deklarasi, Dewan Abu Zarim, bergema dengan laungan takbir, Allahu Akhbar! sebanyak tiga kali dengan penuh semangat oleh para peserta.

Di kesempatan ini, pihak MHTM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang hadir menjayakan program pada kali ini. Syabas juga diucapkan kepada ahli-ahli jawatankuasa kerja MHTM yang bertungkus lumus memastikan kejayaan majlis ini.  Semoga segala usaha di redhai Allah dan diterima sebagai amal soleh di akhirat kelak.  Wallahu’alam.

 

alt

alt

alt

alt

alt

alt