Judi Bukan Hak, Tapi Satu Keharaman
JAKARTA 22 Mei – Kumpulan Amnesty International hari ini mengecam hukuman sebat yang dikenakan ke atas 14 individu kerana berjudi di Langsa, Aceh Timur pada Khamis lalu.
Badan itu turut menggesa Jakarta memansuhkan undang-undang kecil itu yang dikuatkuasakan di wilayah separa autonomi tersebut yang menyaksikan sekurang-kurangnya 21 lelaki disebat kerana berjudi pada bulan ini. “Tindakan pihak berkuasa Aceh melaksanakan hukuman sebat di khalayak ramai mencabul undang- undang antarabangsa. “Kerajaan Indonesia perlu bertindak segera menghentikan hukuman yang tidak berperikemanusiaan dan kejam itu. Ia juga merupakan satu bentuk layanan buruk yang boleh disamakan dengan penyeksaan,” kata Amnesty International. Menurut kenyataan itu, seramai 16 individu dihukum sebat pada tahun lalu di Aceh. Jelasnya, hukuman sebat menyalahi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menentang penyeksaan.
Indonesia turut menandatangani perjanjian itu pada 1998 dan menggesa kerajaan pusat mengkaji semula pelaksanannya bagi mematuhi undang-undang dan standard hak asasi manusia antarabangsa. Khamis lalu, 14 pesalah terbabit telah disebat sebanyak enam kali setiap seorang di dataran Masjid Darul Falah, Aceh kerana berjudi. Mengikut kanun 2003 atau undang-undang kecil Islam di wilayah itu, kesalahan berjudi membawa hukuman maksimum 12 sebatan dan minimum satu sebatan. Pada 12 Mei lalu, sekurang-kurangnya tujuh orang yang berjudi telah dikenakan hukuman sebat sebanyak 12 kali. Januari lalu, empat pegawai awam dari Aceh Besar ditahan kerana berjudi, tetapi pelaksanaan hukuman ke atas mereka ditangguhkan kerana menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Syariah wilayah. – AFP
Sumber : Utusan Online, 23/05/2011
“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan anak panah, adalah termasuk daripada perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan…” [TMQ Al-Maidah (5):90].
Islam telah menetapkan bahawa berjudi merupakan salah satu daripada dosa besar jika ia dikerjakan dan ini merupakan suatu ketetapan yang qat’ie daripada asy-Syari’ (Pembuat Hukum @ Allah). Oleh itu, judi adalah merupakan satu keharaman dan kita tidak mempunyai hak untuk melakukannya. Malah, kita diseru untuk mencegah, memerangi dan menghapuskannya. Itulah ‘hak’ yang diberi kepada kita umat Islam. Syariat Allah ini bukanlah sesuatu yang bersifat teori semata-mata, tetapi ia merupakan suatu hukum/undang-undang yang wajib untuk diterapkan dan dilaksanakan oleh negara. Justeru, kecaman Amnesty terhadap perkara tersebut merupakan sesuatu yang tidak mempunyai nilai di sisi Islam, malah tindakan mereka ini boleh dikenakan hukuman oleh pemerintah kerana mereka telah cuba untuk mempersoalkan hukum syariat Islam. Bagi pemerintah pula, sudah tiba masanya bagi kalian untuk membuang jauh undang-undang ciptaan manusia ini dan digantikannya dengan syariat Islam yang penuh rahmat. Hanya dengan penerapan syariat Islam oleh sistem Khilafah sajalah, kemakmuran akan dapat dinikmati oleh seluruh umat manusia.