Kaedah لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ (“Tidak boleh ada bahaya dan tidak boleh menyebabkan bahaya”) dan kaitannya dengan Coronavirus serta penjarakan solat

سم الله الرحمن الرحيم

Soal jawab: Kaedah لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ (“Tidak boleh ada bahaya dan tidak boleh menyebabkan bahaya) dan kaitannya dengan Coronavirus serta penjarakan solat

(Terjemahan)

Kepada: Mokliss Amin

===================

Soalan:

Assalamu alaikum

Saya belum mendapat jawapan untuk soalan pertama, dan di sini saya kemukakannya bersama soalan kedua, yang lebih penting dari yang pertama:

Ke hadapan Syeikh kami yang dihormati, semoga Allah merahmati anda.

Saya memerlukan bantuan anda (untuk menjelaskan) sekitar kaedah dharar dan dhirar.

Menurut apa yang dijelaskan dalam kitab asy-Syakhsiyyah al-Islamiyyah Jilid III (berdasarkan kefahaman saya)..

Adakah dharar itu berkaitan dengan benda, dan bukannya perbuatan? Kerana jika bukan demikian (maksudnya jika terpakai kepada perbuatan – pent), maka adakah benar untuk menggunakan kaedah dharar terhadap wabak Coronavirus, dan seterusnya membolehkan penjarakan dalam solat disebabkan oleh kemungkinan adanya dharar iaitu jangkitan?

Saya harap anda dapat memberikan penjelasan berserta dalil.

Jawapan:

Wa alaikum salam wa rahmatullah wa barakatuh

Kami telah pun menjelaskan topik mengenai kaedah dharar dalam kitab asy-Syakhsiyyah al-Islamiyyah (Keperibadian Islam) Jilid III, di muka surat 471-475 (dalam format word) seperti berikut:

[Kaedah dharar mencakup dua hal: Pertama, bahawa sesuatu itu sendiri (sifatnya) adalah dharar (merbahaya), manakala tidak terdapat dalam khitab asy-Syari’ (seruan Pembuat Syariat – Allah) akan tuntutan untuk mengerjakannya, meninggalkan atau memilih (untuk mengerjakan atau meninggalkan). Oleh yang demikian, sifatnya yang dharar itu sendiri menjadi dalil atas keharamannya, kerana asy-Syari’ telah mengharamkan suatu yang berbahaya. Kaedahnya adalah:

الأَصْلُ فِي الْمُضَارِّ التَّحْرِيْمُ

“Hukum asal untuk suatu yang berbahaya adalah haram”

Kedua, bahawa asy-Syari’ telah membolehkan sesuatu secara umum, tetapi terdapat bahaya pada salah satu bahagian dari sesuatu yang mubah (harus) itu, maka kewujudan bahagian yang berbahaya atau yang boleh membawa kepada bahaya itu, menjadi dalil kepada keharamannya. Ini kerana, asy-Syari’ telah mengharamkan bahagian yang mubah tersebut sekiranya bahagian tersebut mengandungi bahaya atau membawa kepada bahaya. Kaedahnya adalah:

كُلُّ فَرْدٍ مِنْ أَفْرَادِ الْمُبَاحِ، إِذَا كَانَ ضَاراً أَوْ مُؤَدِّياً إِلَى ضَرَرٍ، حُرِمَ ذَلِكَ الْفَرْدُ وَظَلَّ الأَمْرُ مُبَاحاً

“Setiap bahagian daripada bahagian-bahagian yang mubah, apabila mengandungi bahaya atau membawa kepada bahaya, maka bahagian tersebut adalah haram, manakala bahagian-bahagian lainnya tetap dalam kemubahannya”

Adapun untuk Kaedah Pertama (yakni sesuatu itu sendiri sifatnya adalah dharar), dalilnya adalah berdasarkan hadis Nabi (saw):

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ فِي الإِسْلاَمِ

“Tidak boleh ada bahaya dan tidak boleh menyebabkan bahaya dalam Islam” [Dikeluarkan oleh at-Thabrani]

Dikeluarkan oleh Abu Daud dari Abu Sirmah Malik bin Qais al-Ansari, ia berkata: Rasulullah (saw) bersabda:

مَنْ ضَارَّ أَضَرَّ اللَّهُ بِهِ، وَمَنْ شَاقَّ شَاقَّ اللَّهُ عَلَيْهِ

“Barangsiapa yang membahayakan (orang lain), maka Allah akan membahayakan dia, dan barangsiapa yang mempersulitkan (orang lain), maka Allah akan mempersulitkan dia.”

Kedua-dua hadis ini merupakan dalil bahawa asy-Syari’ telah mengharamkan hal-hal yang (sifatnya) berbahaya.

Adapun untuk Kaedah yang Kedua (yakni sesuatu itu mengandungi bahaya atau membawa kepada bahaya), dalilnya adalah:

قد كانَ رسولُ اللَّهِ ﷺ حينَ مَرَّ بالْحِجْرِ، نَـزَلَها، واستقى الناسُ من بِئْرِها، فلمّا راحوا قالَ رسولُ اللَّهِ ﷺ: لا تَشْرَبوا من مائها شيئاً، ولا تتوضئوا منه للصلاة، وما كانَ من عَجِينٍ عَجَنْتُمُوهُ فأعْلِفوهُ الإبِلَ، ولا تأكُلوا منه شيئاً، ولا يَخْرُجَنَّ أحدٌ منكُمُ الليلةَ إلاّ ومعه صاحبٌ له…

“Ketika Rasulullah (saw) melewati (sumur) al-Hijr, baginda berhenti di situ dan orang-orang ingin melepaskan dahaga dengan air sumur tersebut. Ketika mereka istirahat Rasulullah (saw) bersabda: ‘Jangan kalian meminum airnya dan jangan berwudhu’ dengannya. Apa-apa bancuhan yang telah kalian buat, berikannya kepada unta. Jangan kalian makan dari bancuhan tersebut. Jangan ada daripada kalian yang keluar pada malam ini kecuali ditemani oleh yang lain…’” [Hadis diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam dalam Sirahnya].

Dalam kisah ini, kita dapat perhatikan bagaimana Rasulullah (saw) mengharamkan salah satu hal yang mubah/harus. Meminum air (sumur) itu adalah mubah, tetapi Rasulullah (saw) menghalang (mengharamkan) mereka meminum air dari sumur Hijr, malah baginda mengharamkan atas mereka berwudhu’ dengan air dari sumur tersebut. Begitu juga dengan keluar malam bersendirian adalah suatu hal yang mubah, tetapi Rasulullah (saw) mengharamkan mereka untuk keluar pada malam tersebut, kecuali dengan teman. Oleh itu, menjadi jelas bahawa haramnya air tersebut adalah kerana adanya dharar (bahaya) yang diketahui oleh baginda, dan haramnya keluar sendirian pada malam itu juga kerana adanya dharar yang diketahui oleh baginda…Jadi, (dari segi hukum) adanya dharar tidaklah mengharamkan apa yang dimubahkan oleh syarak (tidak menjadikan hukum air itu haram, atau hukum keluar pada waktu malam adalah haram), namun adanya dharar pada salah satu bahagian dari suatu yang mubah menjadikan bahagian tersebut sahaja (pada ketika itu) haram manakala bahagian-bahagian yang lain tetaplah dalam kemubahannya, baik itu menyangkut perbuatan mahupun benda.

Hal ini jika perkara yang mubah tersebut mengandungi dharar.

Ada pun jika perkara mubah tersebut membawa kepada dharar (مؤدياً إلى ضرر), maka dalilnya adalah sebagaimana riwayat berikut:

أَنَّ رسولَ اللَّهِ ﷺ أقامَ بِتَبُوك بِضْعَ عَشْرَةَ ليلةً لَمْ يُجاوِزْها، ثـُمَّ انصرَفَ قافِلاً إلى المدينة، وكانَ في الطريق ماءٌ يَخْرُجُ من وَشَلٍ، ما يُروي الراكبَ والراكبين والثلاثة، بِوادٍ يُقالُ له وادي الْمُشَقَّقِ، فقالَ رسولُ اللَّهِ ﷺ: مَنْ سَبَقَنا إلى ذلكَ الوادي فلا يَسْتَقِيَنَّ منه شيئاً حتى نَأْتِيَهُ…

“Bahawa Rasulullah (saw) menetap di Tabuk kira-kira sepuluh malam, tidak lebih, kemudian

baginda kembali ke Madinah. Ketika dalam perjalanan, ada air yang keluar di celah-celah batu di sebuah lembah yang dikenali sebagai Musyaqqaq, yang disampaikan oleh seorang, dua atau tiga orang yang berkenderaan. Maka Rasulullah (saw) bersabda: ‘Siapa sahaja yang mendahului kita di lembah tersebut, maka jangan meminum darinya sampailah kita tiba di mata air tersebut…” [Sirah Ibnu Hisyam].

Dalam hadis ini, Rasulullah (saw) mengharamkan meminum air yang sedikit itu, kerana ia akan membawa kepada hausnya pasukan tentera, sebagaimana perintah baginda:

مَنْ سَبَقَنا إلى ذلكَ الوادي فلا يَسْتَقِيَنَّ منه شيئاً حتى نَأْتِيَهُ

“Siapa sahaja yang mendahului kita di lembah tersebut, maka jangan meminum darinya sampailah kita tiba di mata air tersebut”

Laknat Rasulullah (saw) kepada dua orang yang meminum air tersebut merupakan dalil haramnya meminum air itu sampailah baginda tiba di tempat tersebut. Meminum air (hukumnya) adalah mubah, dan meminum air dari lembah tersebut juga bukanlah suatu yang dharar. Namun demikian, meminum air sebelum Rasulullah (saw) tiba dan sebelum baginda sempat membahagi-bahagi air tersebut kepada pasukan tentera, hal itu membawa kepada kemudaratan untuk pasukan, yakni membawa kepada bahaya (مؤدياً إلى ضرر). Maka, Nabi (saw) mengharamkan meminum air dari lembah tersebut sehinggalah baginda tiba…

Oleh yang demikian, keberadaan perkara yang membawa kepada dharar (مؤدياً إلى ضرر) tidaklah mengharamkan apa yang dimubahkan oleh syarak (tidak menjadikan hukum air tadi haram), tetapi keberadaan salah satu unsur yang membawa kepada dharar tersebut, maka unsur itu sahajalah yang haram, manakala unsur-unsur lainnya tetap dalam kemubahannya, tidak kira sama ada itu berupa perbuatan mahupun benda.

Daripada hadis-hadis dalam kedua-dua keadaan inilah – keadaan sesuatu yang mengandungi bahaya dan keadaan sesuatu yang membawa kepada bahaya – Kaedah yang Kedua telah diistinbat (digali) iaitu:

كُلُّ فَرْدٍ مِنْ أَفْرَادِ الْمُبَاحِ، إِذَا كَانَ ضَاراً أَوْ مُؤَدِّياً إِلَى ضَرَرٍ، حُرِمَ ذَلِكَ الْفَرْدُ وَظَلَّ الأَمْرُ مُبَاحاً

“Setiap bahagian daripada bahagian-bahagian yang mubah, apabila mengandungi bahaya atau membawa kepada bahaya, maka bahagian tersebut adalah haram, manakala bahagian-bahagian lainnya tetap dalam kemubahannya”

Inilah keadaan kedua dari dua keadaan dalam kaedah dharar] Tamat petikan.

Melihat dengan teliti kedua-dua kaedah dharar tersebut, ia jelas tidak boleh diaplikasikan terhadap apa yang anda sebut mengenai Coronavirus dalam soalan anda dari aspek penjarakan solat, kerana sebab-sebab berikut:

1- Untuk mengaplikasi bahagian pertama kaedah tersebut, (syaratnya) ialah tidak ada nas yang memerintahkan untuk melakukan perkara tersebut, atau nas untuk meninggalkannya, atau nas yang memberi pilihan (untuk melakukan atau meninggalkan). Sekiranya ada nas mengenai perkara tersebut, maka naslah yang wajib diikuti, tanpa terus melompat membincangkan mengenai dharar (dengan meninggalkan nas)…Dengan meneliti hal berkaitan saf, maka jelas kaedah dharar tersebut tidak boleh diaplikasikan kepada saf, kerana ada nas mengenai hukum merapatkan saf, yang sekali gus bermaksud adanya larangan untuk merenggang atau menjarakkan saf. Oleh yang demikian, bahagian pertama kaedah tersebut tidak boleh diaplikasikan pada saf dengan menggunakan alasan dharar.

2- Mengenai bahagian kedua kaedah tersebut, perkara (yang ingin dihukumi) itu hendaklah perkara yang (hukum asalnya) mubah, kemudian terdapat larangan pada sebahagian daripadanya (perkara yang mubah tadi). Mengenai perapatan saf, telah pun ada nas yang memerintahkannya sebagai wajib atau mandub/sunat (menurut sesetengah pendapat), dengan kata lain ia bukanlah suatu yang mubah, oleh itu saf tidak termasuk dan tidak boleh dimasukkan dalam pemakaian kaedah ini.

3- Oleh itu, kaedah dharar tidak boleh diaplikasikan di sini (pada solat dan saf), sebaliknya apa yang wajib diaplikasikan ialah hukum syarak mengenai susunan saf solat di masjid (berjemaah)…Setelah diteliti, amat jelas bahawa Rasulullah (saw) mewajibkan solat Jumaat dan hanya membenarkan seseorang untuk tidak pergi solat Jumaat atau solat berjemaah sekiranya dia sakit:

(a) Solat Jumaat merupakan kewajipan berdasarkan firman Allah (swt):

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui” [Al-Jumu’ah (62): 9].

Larangan melakukan perkara yang mubah (jual beli) di sini menjadi qariinah jaazimah (penunjukan yang tegas) bahawa solat Jumaat adalah wajib.

(b) Ada pun orang yang sakit dikecualikan daripada solat Jumaat berdasarkan hadis yang dikeluarkan oleh al-Hakim dari Abu Musa dari Nabi (saw):

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلَّا أَرْبَعَةً: عَبْدٌ مَمْلُوكٌ، أَوْ امْرَأَةٌ، أَوْ صَبِيٌّ، أَوْ مَرِيضٌ

“(Solat) Jumaat merupakan hak yang wajib ke atas setiap Muslim dalam berjemaah kecuali empat golongan: hamba sahaya, wanita, kanak-kanak dan orang yang sakit”

Al-Hakim berkata: Hadis ini sahih memenuhi syarat Bukhari dan Muslim walaupun keduanya tidak mengeluarkannya. An-Nasa’i mengeluarkan dari Ibn Umar dari Hafsah isteri Nabi (saw), baginda (saw) bersabda:

رَوَاحُ الْجُمُعَةِ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُحْتَلِمٍ

“Mandi (menghadiri) Jumaat adalah wajib bagi setiap orang yang telah baligh”

4- Nas-nas mengenai susunan (perapatan) saf adalah jelas. Muslim mengeluarkan dari Jabir bin Samurah, dia berkata bahawa Rasulullah (saw) bersabda:

أَلَا تَصُفُّونَ كَمَا تَصُفُّ الْمَلَائِكَةُ عِنْدَ رَبِّهَا؟» فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللهِ، وَكَيْفَ تَصُفُّ الْمَلَائِكَةُ عِنْدَ رَبِّهَا؟ قَالَ: «يُتِمُّونَ الصُّفُوفَ الْأُوَلَ وَيَتَرَاصُّونَ فِي الصَّفِّ

“Mengapa kalian tidak berbaris sebagaimana para malaikat berbaris di hadapan Tuhan mereka?’ Kami bertanya, ‘Wahai Rasulullah, bagaimana para malaikat berbaris di hadapan Tuhan mereka?’ Baginda menjawab, ‘Mereka melengkapi saf pertama dan rapat dalam saf’”

Imam Ahmad telah mengeluarkan dari Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah (saw) bersabda,

أَقِيمُوا الصُّفُوفَ فَإِنَّمَا تَصُفُّونَ بِصُفُوفِ الْمَلَائِكَةِ وَحَاذُوا بَيْنَ الْمَنَاكِبِ وَسُدُّوا الْخَلَلَ وَلِينُوا فِي أَيْدِي إِخْوَانِكُمْ وَلَا تَذَرُوا فُرُجَاتٍ لِلشَّيْطَانِ وَمَنْ وَصَلَ صَفّاً وَصَلَهُ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى وَمَنْ قَطَعَ صَفّاً قَطَعَهُ اللَّهُ

“Luruskanlah saf, tidak lain kalian (hendaklah) berbaris dengan safnya para malaikat, luruskan antara bahu-bahu, tutuplah celah yang kosong, lenturkan pada tangan saudara kalian dan jangan biarkan ada celah untuk syaitan. Siapa yang menyambungkan saf, maka Allah akan menyambungnya dan siapa yang memutuskan saf, maka Allah akan memutusnya”

5- Kami telah pun memberikan jawapan yang terperinci dalam hal ini, dan kami hanya akan mengingatkan anda tentang dua jawapan kami dalam topik ini:

Jawapan pertama pada 17 Shawal 1441 H bersamaan 8/6/2020 M:

[Kedua: Atas dasar itu, sekiranya mana-mana negeri kaum Muslimin yang memaksa orang-orang yang menunaikan solat agar saling berjauhan antara satu sama lain dengan jarak satu atau dua meter, baik solat Jumaat atau solat berjemaah kerana khuatir penularan, khususnya tanpa ada gejala-gejala patologi, maka dengan itu mereka telah melakukan dosa besar. Ini kerana penjarakan ini merupakan satu bidaah. Saling berjauhan dalam solat itu merupakan satu penyimpangan yang jelas terhadap kaifiyat (tatacara) saf yang mesti dirapatkan sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Rasulullah (saw) dengan dalil-dalil syarie…

Ketiga: Tidak boleh dikatakan bahawa penyakit yang menular adalah uzur yang membolehkan penjarakan dalam solat. Tidak boleh dikatakan demikian. Sebab penyakit yang menular adalah uzur untuk tidak pergi ke masjid (bagi mereka yang sakit) dan bukannya uzur untuk pergi ke masjid tetapi saling berjauhan dengan orang yang solat di sisinya satu atau dua meter!! Penyakit menular (tha’un) terjadi pada masa Rasulullah (saw) dan tidak pernah diriwayatkan daripada Rasulullah (saw) bahawa orang yang terkena tha’un pergi solat (di masjid) dan menjarakkan diri daripada saudaranya sejauh dua meter. Tetapi (yang diriwayatkan ialah) dia diberi uzur untuk solat di rumahnya…Sehubungan itu, orang-orang yang sakit dengan penyakit menular tidak dicampur dengan orang-orang yang sihat, dan untuknya disediakan rawatan yang mencukupi dengan izin Allah (swt). Adapun orang yang sihat, maka mereka pergi ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah seperti biasa tanpa adanya penjarakan (17 Syawal 1441 H bersamaan 8/6/2020 M)] Tamat.

Jawapan kedua pada 14/10/2020 CE, dan saya petik darinya:

[Jelas dari apa yang telah disampaikan di atas bahawa solat Jumaat adalah fardhu ‘ain dan wajib dilakukan dengan kaifiyat (tatacara) yang telah dijelaskan oleh Rasul (saw) dengan rukun-rukun dan syarat-syarat sahnya, disertai dengan merapatkan saf dengan cara yang syarie sebagaimana yang telah dijelaskan dalam jawapan kami sebelumnya…Larangan penguasa untuk melaksanakan solat Jumaat menurut kaifiyat yang syarie merupakan dosa besar yang dipikul di bahunya, sama ada dengan negara menutup masjid-masjid atau melarang pelaksanaan solat menurut kaifiyatnya…

Oleh kerana solat Jumaat adalah fardhu ‘ain, maka setiap Muslim yang mukallaf wajib berusaha untuk menunaikan solat Jumaat dan wajib mengerjakan solat dengan kaifiyat (tatacara) yang syarie dengan memenuhi rukun dan syarat sah solat, merapatkan saf…dsb. Jika seseorang itu tidak mampu melakukannya kerana halangan fizikal atau kerana penguasa zalim yang melarang (menghalang) melakukan solat dengan cara yang syarie, sebaliknya penguasa zalim itu memaksa orang ramai melaksanakan solat secara bidaah dengan memaksakan penjarakan saf, sehingga orang yang solat itu tidak mampu mencegahnya, maka ia hendaklah melaksanakan solat mengikut kemampuannya, dan penguasa zalim itu memikul dosa…

Rasul (saw) bersabda dalam riwayat yang telah dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim (rahimahumallah), dari Abu Hurairah (ra):

وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

“Dan jika aku memerintahkan kalian dengan satu perkara, maka tunaikanlah semampu kalian” (lafaz menurut al-Bukhari).

Oleh itu, jika seseorang Muslim mampu melaksanakan solat Jumaat yang fardhu ‘ain itu dengan merapatkan saf, maka dia wajib melakukannya (merapatkan saf), kerana merenggangkan atau menjarakkan saf adalah bidaah selama dia mampu mengelak penjarakan saf tersebut. Adapun jika dia tidak mampu melakukannya kerana tindakan penguasa yang berdosa itu, maka hendaklah dia mengerjakan solat mengikut kemampuannya. An-Nawawi (w. 676 H) menyatakan di dalam kitabnya, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim ibn al-Hajaj, ketika menjelaskan hadis tersebut dengan lafaz Muslim: Dari Abu Hurairah (ra), Rasulullah (saw) bersabda:…

فإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

“Maka jika aku perintahkan kalian dengan suatu perkara, maka tunaikanlah semampu kalian”

An-Nawawi menjelaskan dalam syarahnya: فإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ (“Maka jika aku perintahkan kalian dengan suatu perkara, maka tunaikanlah semampu kalian”) ini termasuk Qawaa’id al-Islamiy (kaedah Islam) yang penting dan merupakan kalimat yang ringkas tapi padat oleh Rasulullah (saw), merangkumi hukum-hukum syarak yang tak terhitung banyaknya, termasuklah solat dan semua yang terkait dengannya. Oleh itu, jika seseorang itu tidak mampu menunaikan sebahagian rukunnya atau sebahagian syaratnya, maka hendaklah ia tunaikan sisanya (yang mampu ia tunaikan)…Wallahu a’lam]. Tamat.

Saya harap penjelasan mengenai solat ini sudah mencukupi.

Kesimpulannya: Orang yang sihat wajib menunaikan solat Jumaat, manakala orang yang sakit dikecualikan atau dengan kata lain ia tidak perlu pergi bersolat Jumaat (diganti dengan solat Zohor di rumah). Jika sakitnya adalah jenis menular, maka sudah pasti ia tidak perlu pergi ke masjid. Sebagai langkah berjaga-jaga dan dalam rangka menjaga urusan umat, negara perlu menempatkan unit kesihatan di perkarangan masjid pada hari Jumaat sebagai persediaan menangani situasi kecemasan.

Adapun soalan anda berhubung kaedah dharar, apakah terkait dengan benda atau perbuatan, maka (jawapannya) ialah ia terkait dengan kedua-duanya iaitu benda dan juga perbuatan. Hal ini sebagaimana penjelasan kami dalam kitab asy-Syakhsiyyah al-Islamiyyah, Jilid III di bawah tajuk “Kaedah Dharar” dan kami telah pun memberi pencerahan terhadap frasa “sama ada ia termasuk benda atau perbuatan” berdasarkan nas yang telah kami sebutkan bagi mengesahkan hal ini.

Saya harap jawapan ini mencukupi, wallahu a’lam wa ahkam.

 

Saudaramu,

Atha’ Bin Khalil Abu Ar-Rashtah
#Amir_Hizbut_Tahrir
9 Shawal 1442 H
21/5/2021 M

[Sumber asal: https://web.facebook.com/HT.AtaabuAlrashtah/photos/2931079743804697/]